Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009

9:10:00 PTG Hasif Hamsyari 2 Comments Category : ,

Tanggal 23 Januari 2010 menjadi detik bersejarah dalam diri saya apabila buat pertama kalinya diberi pengiktirafan dalam sebuah anugerah sastera berprestij yang julung-julung kalinya diadakan.


Bersama penerima anugerah. Dari kiri: Wakil Joseph Selvam, Faisal Tehrani, Sasterawan Melaka Mokhtar Yassin, Hasif Hamsyari dan Lala Zehan. Gambar ihsan Melaka Hari Ini.

Mengambil tempat di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, saya dianugerahkan Hadiah Galakan Penulis Remaja, antara empat kategori anugerah pada malam berkenaan. Selain saya, ada empat orang lagi penerima anugerah bagi kategori masing-masing iaitu Sasterawan Melaka Mokhtar Yasin (Anugerah Sasterawan Negeri Melaka), Faisal Tehrani (Anugerah Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009), Joseph Selvam (Anugerah Tokoh Penulis Bukan Melayu Negeri Melaka 2009) dan Lala Zehan yang turut menerima Hadiah Galakan Penulis Remaja Negeri Melaka 2009.

Anugerah Sastera Negeri Melaka ini dianjurkan buat pertama kali oleh Kerajaan Melaka dengan kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Persatuan Penulis Melaka (PENAMA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

Majlis disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob.

Malam yang meraikan penggiat sastera kelahiran Melaka ini menyaksikan kehadiran ramai penulis lama dan baharu antaranya termasuklah Sasterawan Melaka A. Samad Said. Sempat saya merakamkan kenangan dengan tokoh sastera terkenal tanah air ini. Satu penganugerahan berganda sebenarnya dapat berborak dengan tokoh seperti Pak A. Samad Said, berkongsi meja dan pentas dengan penulis mapan seperti Cikgu Mokhtar Yasin serta penulis tersohor Faisal Tehrani malah berkenalan dengan ramai penggiat sastera yang bukan calang-calang nama mereka.

Atas penganugerahan yang diberikan, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Melaka. Insya-ALLAH semoga dengan anugerah ini saya akan lebih giat menulis dan menghasilkan karya berkualiti seterusnya membanggakan Melaka.

Terima kasih jugak kepada mak abah saya, Mohd Jelani Yusop dan Aini Musa yang menemani saya sepanjang malam itu. Hadiah ini untuk mak dan abah. :)

RELATED POSTS

2 komen

Tinggalkan komen di sini.