Infantisid oleh Rozlan Mohd Noor
HEHE. Untuk novel ni, saya bangga sikit. Pra jualannya kalau tak silap di UiTM Lendu, Melaka, kampus saya! Maka, saya kuat merasakan bahawa saya adalah antara orang terawal yang dapat beli dan baca naskhah ini. YEAH!
KAVER
Bukan susah nak kenal buku terbitan FIXI. Pertama, font yang digunakan pasti sama kecuali untuk beberapa novel yang diterbitkan semula untuk movie tie-in macam PECAH dan ZOMBIJAYA. Itupun kaver asal tetap menggunakan jenis font yang sama. Kedua, judulnya mesti satu perkataan saja. Ketiga, rekabentuk kulit depan dan belakangnya sama kecuali kaver.
Untuk novel Infantisid, kavernya kali ini ialah empat ekor anjing. Perkataan Infantisid dan gambar empat ekor anjing mempunyai perkaitan jelas mengenai jalan cerita - kisah penyiasatan jenayah pembuangan dan pembunuhan bayi (atau penulis menggunakan akronim BTS - Bayi Tong Sampah) yang menjadi makanan anjing jalanan.
CERITA
Penulis, Rozlan Mohd Noor mungkin tak asing dalam novel genre penyiasatan Bahasa Inggeris berdasarkan profilnya yang aku baca. Abang besar FIXI, Amir Muhammad nyata memanfaatkan penulis untuk menulis novel berbahasa Melayu pula dan nyata, naskhah Infantisid adalah sangat cemerlang bagi saya.
Kisahnya di luar kebiasaan - sebab namanya FIXI (Aku mula sukakan FIXI sejak ZOMBIJAYA dan seterusnya aku melabelkan FIXI sebagai syarikat yang menerbitkan cerita yang hebat dan unik-unik belaka). Membaca naskhah ini sebenarnya membuatkan aku teringat siri penyiasatan CSI cumanya dilaraskan dengan suasana tempatan.
Usai menghabiskan novel setebal 318 halaman ini, aku mula sedar yang Infantisid penuh dengan konflik-konflik yang pada sesetengah penulis yang gagal membawanya dengan baik, naskhah akan menjadi berat dan membingungkan, cacamarba. Di tangan Rozlan Mohd Noor, Infantisid dilihat sangat santai, menepati suasana tempatan dan cemerlang dari aspek pembawaan penyiasatan dan merungkai persoalan serta memberikan jawapan. Awal cerita mungkin sedikit terganggu dengan istilah-istilah penyiasatan yang digunakan tapi masih tidak keterlampauan dan kewujudan istilah-istilah itu sebenarnya membantu mengukuhkan cerita supaya lebih realistik di mata pembaca.
Bayi Tong Sampah (BTS) dimamah anjing jalanan digambarkan dengan tragis dan meraih publisiti meluas. Ia kemudian membawa kepada sensitiviti antara agama dan pencinta haiwan yang mana sebilangan masyarakat khususnya Melayu mendesak agar anjing-anjing jalanan dibunuh. Ini kemudian menjadi konflik baru. Ditambah pula dengan unit forensik mengesahkan bahawa bayi terbunuh adalah hasil sumbang mahram - adik-beradik. Tambah menyulitkan keadaan ialah bapa bayi berkenaan adalah penghidap Sindrom Down. Penulis merungkai permasalahan sebilangan besar masyarakat yang tidak suka dengan kelahiran bayi Sindrom Down. Haris, bapa bayi berkenaan yang menghidap Sindrom Down melalui pengalaman yang pahit - namun baginya menyeronokkan - akibat sikap bapa yang mahu menjadikan anaknya lelaki dewasa sempurna - dengan mengajarkan 'permainan' yang disalah anggap oleh satu-satunya anak lelakinya itu. Manakala Fauziah, ibu bayi yang sempurna juga menjadi mangsa akibat sikap tidak berperikemanusiaan David Sulaimen.
-SPOILER WARNING-
Peleraian novel bagaimanapun agak mudah tapi masih boleh diterima apabila Haris mati dibunuh secara tidak sengaja oleh David Sulaimen yang marah apabila Haris mendedahkan bagaimana David Sulaimen mengajarkannya 'permainan' itu dengan kakaknya, Fauziah. David Sulaimen pula lumpuh dari leher ke bawah dan menjadi gila apabila kononnya Haris membalas dendam - digambarkan lebih teruk daripada menanggung kematian - poetic justice. Fauziah mengaku bersalah kerana menyembunyikan kelahiran dan tinggal bersama bapa saudara dengan ikat jamin berkelakuan baik selama dua tahun.
KESIMPULAN
Tabik spring untuk penulis sebab pada pandangan aku, bukan senang mencipta naskhah penyiasatan dengan cemerlang. Bonus untuk penulis ialah beliau pernah berkhidmat 11 tahun lamanya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Manfaat kepakarannya dapat dilihat melalui penceritaannya. Aku terkesan dengan cerita yang dipaparkan. Sekurang-kurangnya, novel begini akan membuka mata pembaca terhadap logik sesuatu perkara yang membangkitkan suara nasional dan kesulitan yang perlu difahami warga polis.
Cuma aku agak terkilan sebab penulis pada halaman Nota Penulis menyatakan kemungkinan Infantisid adalah novel berbahasa Melayunya yang pertama dan terakhir. Sebab usai membaca Infantisid, I'm looking forward to his next novel, in Bahasa. Apatah lagi, aku adalah antara pembaca terawal naskhah ini.
BINTANG
4.9/5 Tahniah! :)
===================================
HASIF BACA adalah entri ulasan buku (fiksyen dan bukan fiksyen).
Jika anda ada cadangan atau mahu saya mengulas karya anda
(buku yang telah diterbitkan secara sah sahaja),
(buku yang telah diterbitkan secara sah sahaja),
hubungi saya di hasifhamsyari@yahoo.com. Terima kasih!
0 komen
Tinggalkan komen di sini.