Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

DIARI WIRA - 4

7:31:00 PG Hasif Hamsyari 0 Comments Category :


Lagu Tema: Tentang Kita
Lagu: Hasif Hamsyari
Lirik: Mohd Haniff Mohamad Yusoff



Pilih Bab Pilihan:
1  2  3  4  5  6  7  8  9  10  11  12  13  14  15

<<< Klik untuk baca DIARI WIRA - 3


Rabu 24 April

Teori Wirajaya, kami masuk dalam hutan dan belajar tentang selok-belok hitam. Wirajaya adalah cabaran terakhir setiap pelatih di sini nanti di mana setiap orang akan bergerak dalam kompeni masing-masing dan survive dalam hutan untuk beberapa hari atau dalam kes-kes tertentu, seminggu sebelum sampai ke destinasi yang dituju!

Apa sahaja yang dipelajari baik di dalam atau di luar kelas, akan dipraktikkan dalam aktiviti Wirajaya ini. Pengetahuan kompas, pertolongan cemas dan semuanya!

Tapi apa yang lebih penting ialah makanan. Kami didedahkan dengan cara masakan gaya tentera iaitu mengharapkan makanan dalam tin. Aku dapat rasanya sendiri dan apa aku boleh cakap tentang rasanya ialah setakat boleh kenyang. Itu sahaja.

Basuh pinggan mangkuk pun dengan menggunakan tanah dan air. Teknik menjimatkan lilin yang disediakan juga diajar.

Selain makanan, aku dapat rasa air minuman yang warnanya macam air teh tapi rasanya berkali-kali ganda lebih teruk daripada teh.

Kemudian tentang penginapan dalam hutan. Kami diberikan model sebuah penempatan kompeni yang ada banyak khemah, tempat menyidai pakaian, tempat membasuh pinggan mangkuk ala pantri dan tandas. Ha, macam mana tandas dalam hutan? Sangat teruk!

Dengan hanya berdindingkan kain-kain jalur biru gelap, terang dan putih itu, dengan sebuah lubang yang digali ke dalam, sesiapa pun takkan selesa!

Khamis, 25 April

KALUT TEMUDUGA
Petang sebelum makan malam, aku ambil kesempatan untuk menelefon mak aku. Bukan apa, aku agak risau juga sebab hal-hal berkaitan UPU dan Matrikulasi sedang jadi topik hangat dekat sini. Semakan UPUlah, semakan matriklah.

Selain dah lupa nombor pin dan kata laluan, aku lebih mengharapkan bantuan mak dan kakak aku. Hahaha. Sebab minggu pertama dulu, mak aku pesan jangan risau pasal UPU ke, Matrikulasi ke, Maktab ke sebab dia akan uruskan dengan kakak aku. Alhamdulillah...

Aku dulu ada beli kad telefon Helo tu. Tapi aku jual dekat Wan, rakan sedorm dengan aku. Sebab bila aku fikir-fikir balik, aku tak pakai sangat pun kad tu sebenarnya. Aku mana ada awek. Kalau ada awek pun aku takkan bazirkan kad telefon tu untuk dia melebihi kegunaan untuk menghubungi famili aku. Hahaha. Aku cakap berdasarkan pemerhatian. Memang ada yang beli kad tu dan habiskan masa melepas rindu dengan awek masing-masing. Tak tipu.

Jadi untuk hubungi mak aku ni, aku guna syiling saja. Kebetulan, aku agak sakit hati sebab dompet aku banyak sangat duit syiling. Inilah masa nak manfaatkan. Haha.

“Helo. Assalamualaikum,” sapa aku. Nun di hujung talian, aku mendengar jawapan salam daripada abah.

“Waalaikumussalam.”

“Abah, ni Hasif ni.”

“Angah!” Abah bersuara kuat, jelas teruja. Perasaan gembira meleretkan senyuman dekat bibir aku. Seperti biasa, aku bertanya khabar, dan apa-apa yang berlaku dekat rumah. Dan aku menerima berita yang membuatkan aku gembira juga.

Hendak dijadikan cerita, aku telah mendapat temuduga untuk Asasi TESL di UiTM Lendu, Alor Gajah Melaka. Bila telefon di sebelah sana bertukar tangan dengan emak aku, emak aku memaklumkan yang dia sudah pun menghantar faks kepada pengurusan Kem Nasuha semalam, hari Rabu. Tapi aku risau sebab aku tidak mendapat apa-apa makluman menyatakan aku akan ada temuduga.

Aku cuba bertanya dengan yang lebih senior, Iqbal. Sebab minggu lepas dia pun ada dapat temuduga. Bezanya, dia dapat temuduga biasiswa Jepun manakala aku dapat temuduga untuk sambung belajar. Kata dia, aku perlu memaklumkan kepada Ketua Jurulatih, atau OC kompeni aku, Cikgu Dollah atau Cikgu Ramadan.

Tapi aku bertanya dengan Iqbal malam itu, lepas solat Maghrib. Jadi, agak sukar sebenarnya aku mahu mencari insan-insan berkenaan dengan secepatnya. Tambah-tambah, temuduga itu pula akan jatuh pada hari Sabtu ini. Dan ayah aku maklumkan yang dia akan ambil aku esok, petang selepas Solat Jumaat!

Aku agak menggelabah. Nasib baik di Dewan Makan, aku bertemu dengan Ketua Jurulatih. Beliau memang seorang yang suka bergurau. Terutama dengan perempuan. Walaupun beliau pernah bertegas dengan kitorang, aksi lembut yang beliau buat agak mencuri tumpuan juga. Maka beliau berkata-kata dengan aku dengan cara itu juga.

Bila aku menyuarakan hal sebenar, Ketua Jurulatih terus berubah muka. Dia agak cemas bila mengetahui aku akan balik esok. Jadi beliau meminta aku ke pejabat pengurusan 8.30 pagi esok, ketika pelatih-pelatih lain akan berada di kelas.

-------------------------------------------------------
TIPS!
Adalah penting untuk sentiasa up-to-date dengan sebarang berita berkaitan permohonan UPU, Matrikulasi atau Maktab atau apa sahaja berkaitan pengajian. Jangan risau, PLKN akan faham dan ambil berat kebajikan pengajian anda selagi anda mengingat dan merujuk jurulatih/individu yang sewajarnya.
--------------------------------------------------------------------

RAKAN DORM BARU
Kompeni Bravo akan menerima tiga orang ahli baharu. Dua orang daripada kompeni Charlie, dan seorang dari kompeni Delta. Hal ini berlaku sebab mereka tiga orang menumpang di bilik rehat. Jadi, mereka perlu berpindah bilik yang membawa maksud, mereka perlu menyertai kompeni lain. Dalam kes ini, kompeni Bravo.

Ah Chan, yang katilnya berdepan dengan katil aku, selalunya memang suka tidur di Dorm 33 sebab disana ada satu katil kosong dan ada pula rakan-rakannya di sebelah tu.

Dan ahli baharu itu bernama Shahrul. Aku tak tahu apa sebabnya, tapi Shahrul ini juga popular dengan gelaran Botak.

----------------------------------------------------------------
TIPS!
Setakat yang aku perhatikan, bilik yang disediakan sebenarnya mematuhi rukun 1Malaysia dengan adanya pelbagai bangsa. Jadi, elakkanlah daripada berpindah bilik dan bergaullah tanpa diskriminasi.
---------------------------------------------------

Jumaat, 26 April

Soal siasat berkenaan salah seorang ahli dorm aku menjadikan aku juga antara orang yang terlibat sama. Pada hari ini, aku dan rakan Dorm 32 yang lain termasuk ahli baharu telah mengangkat sumpah dan menurunkan tanda tangan mengatakan kami tidak mengetahui sebarang aktiviti menghisap, menjual dan sebagainya berkaitan rokok dan individu berkenaan, baru-baru ini.

Sejujurnya, aku memang tidak mahu ambil tahu tentang aktiviti-aktiviti berbahaya begini. Aku seboleh-boleh tidak mahu menimbulkan sebarang masalah. Apalagi terlibat dengan masalah. Walau apapun, ini tanggungjawab aku juga untuk menyelesaikan masalah lebih-lebih lagi demi membantu rakan dorm aku.

Harap-harap kesnya cepat diselesaikan dan dia tidak perlu memakai baju loreng yang merimaskan itu lagi.

Oh, ya. Aku dengar dari kawan aku yang ditempatkan di kem lain, hukuman sementara bagi yang terlibat dengan masalah disiplin berbeza mengikut tempat. Misalnya, di kem aku ini, pelajar yang bermasalah akan dikenakan denda sementara (sepanjang tempoh siasatan) iaitu memakai baju celoreng penuh. Korang bolehlah bayangkan betapa panas dan rimasnya memakai baju itu. Tambah-tambah dalam setiap perbarisan ketika yang lain memakai baju kelas atau baju sukan misalnya, sesiapa yang pakai baju celoreng pasti stand out sebab lain daripada yang lain.

Akibat soal siasat ini, aku tidak sempat bertemu dengan Ketua Jurulatih. Bilik Disiplin dan pejabat memang sangat berdekatan. Aku melihat sendiri Ketua Jurulatih meninggalkan aku dan jasadnya berlalu dibawa van PLKN lebih kurang pukul 9 pagi, ketika aku masih berbaris di depan Bilik Disiplin.

Lepas semuanya selesai, aku bertanya dengan Cikgu Ghaffar, jurulatih. Dia mencadangkan aku berjumpa Cikgu Dollah atau Cikgu Ramadan yang kebetulan ada di depan pejabat.
Alhamdulillah, rupa-rupanya faks aku memang dah diterima. Dan aku diberi pelepasan bermula pukul tiga petang ini hingga 5 petang esok, 27 April. Aku agak terkilan jugak. Sehari je ke?
Aduhai. Patutlah pun. Pagoh, Johor dengan Malim, Melaka tak adalah jauh mana pun sebenarnya.

BALIK!
Biasalah. Yang lain pasti akan mengesan sesuatu apabila melihat ada yang berpakaian berbeza daripada mereka. Ketika yang lain memakai baju dan seluar sukan (PT), kerana sepatutnya petang ini ada program Mentor Mentee, aku pula pakai baju kelas dan beg galas.

Aku sakit hati jugak dengan Orang Tua Bob, sebab dia kata mahu doakan aku tak dapat temuduga tu. Alasannya dia mahu aku tamatkan PLKN tiga bulan genap dengannya. Tapi sakit hati manja saja sebab aku tau, Bob bukan jenis yang menyimpan cemburu dan hati sebusuk itu. Sedikit sebanyak, aku terharu juga apabila dia mahu aku habiskan PLKN tiga bulan dengannya. 

Dalam pukul 4.01 petang, abah aku datang dengan adik pertama aku, Hamizan. Hendak dijadikan cerita, abah sendiri berjumpa dengan pegawai dalam pejabat itu, Ustaz Alwi dan meminta cuti hingga Ahad ini, 28 April. Lulus!

Aku gembira senang hati. Walaupun kalau ikutkan, aku masih berfikiran, menyambung terus ke cuti semester pastinya lebih baik. Iyalah, 28 April aku kembali ke sini, ke kem ini balik. Dan 30 April aku kembali ke Melaka balik untuk cuti semester (fulamak istilah dia 'semester!').

Syukur tetap syukur. Tapi mana boleh menidakkan sedikit kecewa yang terdetik di dalam hati...

RELATED POSTS

0 komen

Tinggalkan komen di sini.