Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

DIARI WIRA - 7

8:01:00 PG Hasif Hamsyari 0 Comments Category :


Lagu Tema: Tentang Kita
Lagu: Hasif Hamsyari
Lirik: Mohd Haniff Mohamad Yusoff


Pilih Bab Pilihan:
1  2  3  4  5  6  7  8  9  10  11  12  13  14  15

<<< Klik untuk baca DIARI WIRA - 6


Rabu, 1 Mei
Bergerak seawal lapan pagi untuk mengambil mak ndak aku dan anak-anaknya, Hanis Humairah dan Sufiyah. Anak lelakinya, Daniel tak ikut. Sebab kami akan singgah ke rumah sepupu-sepupu kami jugak.

Bergerak ke Kuala Lumpur lebih kurang pukul sembilan dan sampai lebih kurang 10.30 pagi. Pukul 11 pagi, aku, abah dan sepupu aku, Hazmi mula gerak dan naik komuter dari Salak Selatan hingga PWTC. Hazmi ada saudara kembar namanya Hazwan yang sedang menyiapkan kerja sekolah di tepi tasik di Bandar Permaisuri. Alasan naik komuter semata-mata mahu mengelakkan kesesakan yang memang sudah dijangka. Tapi apa yang berlaku adalah lebih teruk lagi.

Turun sahaja daripada komuter, kesesakan di stesen PWTC sangat luar biasa! Terbatal rancangan mahu beli token balik nanti awal-awal sebab terlampau sesak.

SESI AUTOGRAF DAN HADIAH PEMBACA


Meneruskan perjalanan hinggalah tiba di booth KarnaDya Solutions yang terletak di Dewan Tun Abdul Razak 3. Seronok tidak terkata apabila terlihat Auntie Aina Emir dan Auntie Mimie Afinie, penulis senior yang sangat aku kagumi. Baru aku sedar, aku lupa nak bawa buku terbaharu Auntie Aina, Beautiful Asmara yang aku dah beli awal-awal. Dan aku dapat naskhah percuma karya terbaharu Auntie Mimie, judulnya Aku, Dia dan Bintang yang hanya mula dijual di pesta buku ini.

Guess what? Perkataan ‘bintang’ pun akan digunakan untuk novel keempat aku, Bintang Madu. Insya-ALLAH, aku jangka akan diterbitkan dalam awal Februari 2014. Haha!
Banyak yang aku borakkan dengan Auntie Mimie sementara Auntie Aina sangat sibuk melayan peminat-peminat novelnya. Dalam pada itu, kami tetap menurunkan autograf pada buku-buku kami.

Aku agak kecewa sebenarnya sebab tidak dapat menunaikan permintaan Auntie Aina Emir dan Auntie Mimie Afinie yang mahu bergambar dengan keadaan aku yang botak. Terutama Auntie Mimie Afinie yang awal-awal lagi teruja mahu lihat kebotakan seorang Hasif Hamsyari di Facebook. Hahaha. Tapi aku berterus-terang yang aku betul-betul malu. Kalau Auntie Aina dan Auntie Mimie baca ini, maka saya minta maaf banyak-banyak, ya? Rasanya cukuplah melihat kebotakan saya di e-book ini walaupun keeksklusifannya sudah tiada sebab bukan dilihat secara live di depan mata. Hehehe.

Aku sangat bersyukur dan gembira melihat ramai yang masih membeli novel Kopi Manis. Ada pula yang masih membeli Bagaikan Mimpi dan Bagaikan Mimpi: Srikandi Cintaku.
Tapi adalah seorang pembaca yang telah membawakan aku beg berisi hadiah dan surat! Nama pembaca itu ialah Adlina, seorang Cassiopeia (nama kelab peminat kumpulan penyanyi legenda Korea, TVXQ). Aku katakan demikian sebab namanya di Facebook. Dari situ juga aku agak, Adlina ini peminat Changmin dan Jaejoong TVXQ. Kalau Adlina baca ini, betul kan tafsiran saya ni. Aiseyh...


Terima kasih daun keladi. Walaupun kedatangan aku di pesta buku ini adalah tidak dirancang awal-awal dan boleh dikatakan mengejut, masih ada yang membawakan cenderahati. Dan hadiah itu berupa bekas pensil bercorak anak patung beruang yang sangat comel. Adlina memberi nama bekas pensil itu Gyu. Ya, saya akan jaga Gyu baik-baik! Comel betul ni!

Dan ada pula pembaca lelaki yang membeli Kopi Manis tapi meminta aku menurunkan autograf yang ditujukan untuk seorang perempuan.

“Adik ke?”

“Err... Ya, adik.”

Ceh. Kawannya di belakang pecahkan rahsia dengan berkata, “Hmm... Untunglah dah ada awek.”

Hahaha. Aku diam sahaja. Tapi kes begini bukan pertama kali aku alami. Pesta buku tahun lepas juga, ada pembaca lelaki yang meminta autograf untuk dihadiahkan kepada teman wanitanya.

DEMI AIN MAISARAH

Aku tak sempat berjalan-jalan lagi. Lebih kurang 1.30 petang, aku mula meninggalkan booth KarnaDya. Satu keseronokan tidak terungkap dapat berjumpa dan berbual lagi dengan Auntie Aina Emir dan Auntie Mimie Afinie lagi tahun ini.

Dan booth yang aku singgah seterusnya ialah booth Blink Book yang merupakan booth rasmi untuk novelis remaja pujaan Malaysia, Ain Maisarah. Setakat hari ini, beliaulah satu-satunya novelis Malaysia yang mempunyai peminat melebihi 200 000 di Facebook dan itu satu pencapaian yang luar biasa!

Maka, tidak hairanlah jalan ke boothnya sahaja cukup sesak dengan pembaca-pembaca cilik yang merebutkan peluang untuk membeli novel baharu Kak Ain dan bersua muka pula dengan Kak Ain dan penulis-penulis bersamanya.

Selepas mencapai dua novel baharu Kak Ain, aku beratur untuk bertemu dengan beliau. Tak sangka terjumpa Abang Azanil Fitri, penulis bersama Kak Ain yang setia berjaga di tepi booth. Sempat aku bergambar dengannya.

Agak lama juga aku menunggu giliran sampailah Abang Aman Wan, juga penulis dan pelukis komik di bawah Blink Book serta pengarah filem pendek popular di YouTube, tersedar dengan kehadiran aku. Dan akhirnya aku dibenarkan masuk dan duduk di VIP seat. Hehehe...

Seronok sangat dapat berborak-borak dengan Abang Aman Wan. Macam-macam perkara juga yang kami bualkan. Ditambah pula dengan kehadiran Kak Izanor Sharif, juga penulis bersama Ain Maisarah yang menambah kegembiraan menjadi berganda-ganda.

Kak Ain juga awal-awal dah sedar kehadiran aku tapi aku sangat faham dengan situasinya sekarang yang sedang tak menang tangan untuk menurunkan autograf.

Lebih kurang lima belas minit juga, barulah aku dapat duduk di kerusi eksklusif itu bersama Kak Ain.

Aku sudah tidak ingat berapa kali aku sudah bertemu Kak Ain tapi setiap kali berjumpa, seolah-olah aku bertemu dengan Kak Ain untuk pertama kali. Timbul rasa kagum dan hormat yang begitu tinggi untuk figura yang sangat disegani ini.

Aku tak jalan sepenuhnya sebab keadaan semakin sesak jadi abah putuskan sudah masa untuk aku pulang. Aku agak sedih juga tapi kira berbaloi jugalah. Lebih kurang pukul 2.15 petang, aku keluar dari PWTC.

Sekali lagi, stesen komuter sangat sesak yang amat. Dekat 40 minit aku habiskan di stesen ini sahaja. Pukul 3.00 petang barulah lega dapat naik komuter dan meneruskan perjalanan. Hari ini sangat gila!

Sampai di rumah makcik saudara, aku mengisi perut yang lapar. Dan akhirnya lebih kurang pukul 4.30 petang, bergerak ke rumah Mak Anjang aku di Sungai Besi. Seronok juga bertemu dengan sepupu-sepupuku yang jarang sekali berjumpa. Adakala waktu hari raya sahajalah bersua muka.

Sebelum Maghrib, aku luang masa untuk berjalan-jalan di pasar malam berdekatan. Dan aku membeli epal Fuji, antara buah yang paling aku suka. Dan lebih kurang pukul 8.00 malam, kami bergerak meninggalkan Kuala Lumpur.
   
Khamis, 2 Mei

Aku cadang hari ni nak keluar berjalan-jalan dengan kawan-kawanku di Melaka. Iyalah, esok sudah hari Jumaat. Demi menghormati penghulu segala hari ini, maka aku selalunya tidak keluar rumah pada hari Jumaat. Tambahan pula, waktu agak terbatas untuk bergembira dengan kawan-kawan. Cuma hari ini sahajalah masa yang ada sebab lusa pula sudah 4 Mei, hari yang diarahkan aku untuk kembali menjalani latihan di kem.

Aku terpaksa akur. Tidak ada jodoh agaknya untuk aku keluar hari ini. Maka aku rilek-rilek sahaja di rumah.

Tapi, nak kata rilek sangat pun tidak juga. Sebab aku diserang sakit kepala yang bukan kepalang. Sudah lebih kurang tiga hari sebenarnya aku sakit kepala, terutama di sebelah pagi. Berdenyut-denyut. Maka istilah 'rilek' itu mungkin lebih cenderung membawa maksud berehat.

Atau kata lainnya, tidur. Cara itu sahaja yang aku rasa berkesan menghilangkan sakit kepala aku ni.

NENEK TERCINTA

Malam itu, aku mendapat permintaan daripada Nenek Saniah, nenek aku, sebelah emak. Memandangkan hari ini pun emak aku ada mesyuarat berkenaan pilihan raya yang bakal tiba di rumah Atuk Long aku, maka aku fikir ada baiknya juga aku menziarahi nenek aku.
Maka aku ke rumah nenek aku. Seperti biasa, semenjak cuti semester ini, seboleh-bolehnya aku akan pakai snowcap. Tapi demi nenek aku, aku serlahkan kebotakan ini juga. Kalau dulu Sharifah Amani berani tayang walhal dia seorang perempuan, aku yang lelaki pula apa salahnya.

Haha. Kalaulah aku ada semangat seperti itu di hadapan Auntie Mimie Afinie semalam. Hihihi.

Tapi aku sangat sakit kepala. Aku berborak dengan nenek aku tak lama pun. Sedikit hal keluarga yang tak manis pula kalau dicoretkan di sini dan selebihnya mengenai aku di PLKN. Sesudah itu, aku baring dan tidur.

Sejak mula lagi aku sangat pelik dengan sakit kepala aku ini. Sebab sakit ni datang tiba-tiba, sehari selepas aku balik ke kem semasa temuduga TESL kelmarin. Masalahnya, aku sihat dan tidak pula demam. Cuma batuk dan selesema. Tapi aku tak putus-putus berdoa dijauhkan daripada sebarang penyakit, tidak kisahlah berbahaya atau tidak. Semata-mata mahu menjalani kehidupan tanpa masalah, semata-mata mahu buat emak tidak gusar dan bimbang berlebihan terhadap aku.

RELATED POSTS

0 komen

Tinggalkan komen di sini.