DIARI WIRA - 8
Lagu Tema: Tentang Kita
Lagu: Hasif Hamsyari
Lirik: Mohd Haniff Mohamad Yusoff
Pilih Bab Pilihan:
<<< Klik untuk baca DIARI WIRA -7
Jumaat, 3 Mei
Aku sakit kepala lagi. Tinggal berseorangan di rumah maka untuk pagi itu, aku membaca novel Auntie Mimie Afinie yang dihadiahkannya semasa pesta buku kelmarin bertajuk Aku, Dia dan Bintang. Tidak sedar aku terlelap sampailah emak yang balik ke rumah semasa waktu rehatnya kejutkan aku.
Usai Solat Jumaat, aku baring dan selesaikan pembacaan novel Auntie Mimie Afinie. Ya, aku berjaya menghabiskan pembacaan novel romantik itu dalam sehari ini saja. Dan komen aku untuk novel itu, sangat membuai perasaan dan minda. Ayatnya memang jiwang habis dan lawaknya memang sempoi habis. Aku rasa, Auntie Mimie Afinie sememangnya sangat konsisten dengan momentumnya yang bijak memukau pembaca sejak dari novelnya yang pertama. Tahniah, auntie! Tahniah berbilion-bilion lemon (hanya Auntie Mimie dan pembaca-pembaca novel Aku, Dia dan Bintang sahaja faham maksudnya)! :D
Dan petang itu, aku menyiapkan resume seperti yang diminta emak supaya senang untuk dibawa ke mana-mana kelak. Tak lama pun buat resume itu. Maka selebihnya aku manfaatkan untuk menyambung penulisan novelku. Ya, walaupun aku tahu, esok novel itu akan terbengkalai semula sebab Kem Nasuha dah memanggil-manggil aku. Rindu katanya. Haha.
Sabtu, 4 Mei
Pagi tu, aku ke rumah Pak Lang Samsuddin dan Mak Lang Azizah yang masing-masing aku lebih selesa aku sapa sebagai Abah Sudin dan Mama Zizah. Abah Sudin dan Mama Zizah sudah aku anggap macam mak abah aku yang kedua sebab merekalah yang selalu bela dan jaga aku sejak aku masih bayi. Hubungan aku juga rapat dengan ketiga-tiga anak perempuannya yang kini masing-masing bekerjaya selepas kesemuanya tamat pengajian daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Aku panggil mereka dengan panggilan Kak Naz, Kak Liyana dan Kak Nadia.
Disebabkan faktor tiada anak lelakilah aku menjadi anak angkat Abah Sudin dan Mama Zizah walaupun hakikatnya aku adalah anak buah mereka sahaja. Pertemuan aku dengan keluarga Abah Sudin ni hanya sekadar melepas rindu. Lagipun, mengenai hala tuju dan masa depan aku, aku suka merujuk pada Abah Sudin yang berpengalaman.
Kemudian, aku balik rumah dalam pukul 10.30 pagi. Dua petang nanti aku kena bertolak balik ke kem. Haisy, malas betul. Hendak tak hendak, aku rajinkan juga diri untuk pek barang, mana yang patut.
Aiman dan Aidil pergi mengaji. Tapi sebab Aiman lambat, maka Aidil ikut sama-sama dengan mak dan abah aku hantar aku ke kem. Aiman akan ditinggalkan di bawah pengawasan Hamizan. Hahaha. Kesian dia.
Dalam 4.30 petang, aku sampai ke kem. Baru aku sedar yang duit poket aku dah tinggal RM7. Cepat-cepat aku telefon mak aku. Kalau telefon abah aku yang tengah memandu tu, sah-sah dia lagi akan marah.
Tapi akhirnya, abah jugalah yang hantarkan duit kepada aku. Dan kebetulan, aku berjumpa dengan Cikgu Rosni, cikgu sekolah menengah aku. Cikgu Rosnilah yang banyak menguruskan hal berkaitan program Tokoh NILAM Peringkat Negeri dan Kebangsaan yang aku sertai tahun lepas selain Cikgu Diana. Cikgu Rosni juga adalah emak saudara kepada Iqbal. Sebab itulah dia ada di sini.
Habis selesai semua, aku solat bersendirian di dalam surau sebelum balik ke bilik. Semua tengah bermalas-malasan di atas katil. Satu dua tengah kemas locker. Aku pun dah tak larat maka berbaring sahajalah di atas katil yang sangat tak empuk itu.
PECAH
Petang itu tak ada yang luar biasa pun sebenarnya. Aku baru nak gosok gigi dan basuh muka maka aku minta bantuan Orang Tua Bob untuk jagakan telefon bimbit aku. Guess what? Balik saja daripada tandas, telefon bimbit aku dah kena hurung. Terima kasih kepada Khairul Azhar yang dah tau sebelum balik cuti hari tu yang aku ini seorang penulis novel. Dialah dalang yang dah dedahkan video profil aku sebagai penulis. Tak pasal-pasal aku jadi perhatian dan kena interviu.
Ahad, 5 Mei
Pagi ni, budak Delta yang bertugas kejutkan kitorang supaya bangun tidur. Tapi diorang kejut gaya macam nak kiamat! Tapi budak-budak dorm aku, termasuk aku tetap buat tak tahu saja. Hahaha. Sampailah Ketua Wira, AJ yang datang dan aku bangun dengan mudahnya untuk bukakan pintu. Aku rasa inilah kali pertama dekat kem ni aku rasa tenang bila bangun pagi. Hahaha.
Memandangkan malam tadi rahsia dah bocor, maka mulalah usikan geng dorm aku terutama Wan dan Azhar yang tak habis-habis menyebut 'artis' atau kadang-kadang bunyinya macam 'retis'.
VIRAL
Tentang aku, seorang novelis muda, mula tersebar luas dan menjadi semakin viral dalam sekelip mata. Jadi dari muka surat ini, plot yang aku rancang dah terganggu. Apa boleh buat? Benda dah jadi. Tapi setakat ni, yang tahu hanya dalam kalangan budak-budak Bravo dan dorm-dorm terdekat saja.
5.30 petang, kitorang pulangkan telefon bimbit. Macam rutin dah, setiap kali nak pulangkan telefon bimbit, waktu itulah jugak nak bergambar sakan. Hahaha.
6.30 petang, sepintas tengok keputusan pilihan raya umum. BN nampaknya mendahului. Isy.. Isy.. Bahaya bila buka topik sebegini.
Isnin, 6 Mei
Kelas Multiskill sangat berbeza hari ini sebab menggabungkan semua kelas. Hari ni memang banyak permainan! Walaupun kelas aku agak pemalu lagi, tapi diam-diam ubi berisi. Sekurang-kurangnya, kitorang menjadi satu-satunya kelas yang dapat selesaikan permainan SUDOKU. Yeah!
Petang itu, ada tempur tanpa senjata atau dekat sini lebih popular disebut TTS. Kalau dulu, TTS terpaksa dilakukan dengan separuh mati, tapi kali ini aku agak senang hati. Semua okey. Cikgu Burn pun tak marah-marah hari ini. Siap puji lagi. Dengan suasana yang begini, TTS hari ini memang tidak rasa sangat kepenatannya.
Semua wirawati sedang menjalani latihan tali rendah, latihan yang kami, semua wira akan lakukan pada petang esok.
Tahu keputusan pilihan raya umum malam itu. BN menang. Tapi daripada pembacaan di akhbar The Star, ada perkara lain yang mencuri perhatian. Baru aku tahu, tahun ini adalah tahun pertama Datuk Siti Nurhaliza mengundi. Mungkin sebab tahun ini beliau sendiri menjayakan iklan Kami Pilih Mengundi. Yang lebih menarik, komen Datuk Siti Nurhaliza yang pada aku bersifat matang, full of manners dan menang-menang.
Biar aku alihbahasakan. "Tak kisahlah siapa pun pemimpin terpilih, asalkan mereka bekerja keras untuk mentadbir negara."
Lepas TTS, kitorang balik dorm. Ada seorang member dari kompeni lain datang ke dorm aku bawak kala jengking. Ini betul-betul buat aku tak keruan sebab inilah kali pertama aku tengok kala jengking sebesar itu dekat depan mata aku. Yalah, kalau pergi zoo pun, kala jengking macam ni aku lihat dengan dipisahkan kaca.
Walau bagaimanapun, kala jengking tu dah hilang 'bisa' sebab tempat sengatan iaitu hujung ekornya dah pun dikerat.
Aku menolak daripada nak memegangnya walaupun aku taklah takut sebenarnya. Serius tak tipu!
MALAM
Aku enggan nak tulis mengenai seorang cikgu ni kali ni. Sebab menulis dengan niat tak baik (apalagi dengan amarah) adalah tak baik bagi aku. Itu adalah etika asas (basic code) untuk menjadi penulis yang baik.
Tapi sejujurnya, aku betul-betul bengang. Dan perasaan itu bukan ditanggung oleh aku seorang.
Mungkin pumping dua kali adalah normal. Tapi penantian menunggu command tu adalah penantian yang azab. Mungkin PT10 atau nama biasanya, lompat bintang adalah lompatan yang menceriakan tapi sebenarnya memenatkan. Mungkin juga lompat tikus adalah lompatan yang comel tapi... Argh. Menyeksakan. Sedangkan ahli-ahli kompeni lain tengah berehat dan ada pula yang dah syok tidur, kitorang kena macam-macam PT dan berkawad lagi. Nasib betul-betul tak baik sebab terlanggar Hanzalah. Sakit kepala aku.
Hanzalah berkali-kali minta maaf. Sedangkan memang salah aku pun. Cuma aku jawab acuh tak acuh sebab... hehe. Biasalah, orang tengah panas hati. Tapi bukan pada Hanzalah. Korang tahu sendirilah. Jadi, Hanz, aku minta maaf kalau buat kau rasa bersalah. Haha.
Malam tu, semua budak dorm aku rapat katil dan cerita-cerita hantu berkumandang. Tak pasal-pasal semua orang kecut segala anggota. Hahaha. Padan muka.
2 komen
Assalammualaikum,awak pernah jadi tokoh nilam kan.Apa kata kongsikan sikit tips untuk menjadi tokoh nilam.
BalasPadamseronok benar membaca Diari wira ni hehe bestlah! Terima kasih batch 1997 akan mengikut panduan ini hehe
BalasPadamTinggalkan komen di sini.