Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

DIARI WIRA - 15

10:39:00 PG Hasif Hamsyari 0 Comments Category :


Lagu Tema: Tentang Kita
Lagu: Hasif Hamsyari
Lirik: Mohd Haniff Mohamad Yusoff


Pilih Bab Pilihan:
1   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11   12   13   14   15

<<< Klik untuk baca DIARI WIRA - 14

Khamis, 23 Mei (Hari Terakhir)

Inilah katil saya, sebelah pintu di Dorm 32...
Sejujurnya, ini adalah hari yang sangat menyedihkan kami. We called it ‘A Very Heart-Breaking Day’. Memandangkan malam tadi kami tidur hingga jam dekat pukul 2.00 pagi menyelami hati dan perasaan masing-masing, maka pagi terakhir aku di kem ini menjadi pagi paling lambat untuk aku bangun tidur. Apapun, aku masih sempat menjadi makmum dan aku jalankan tuntutan untuk mengejutkan ahli dorm aku yang lain buat kali terakhir. Demi terkenangkan kata-kata Efy dan Bob yang masing-masing mengatakan ‘Seriously, aku rasa Hasif dan macam mak dalam dorm kita ni,’ dan ‘Aku harap Hasif yang kejutkan aku buat kali terakhir dia kat kem ni esok pagi.’

Berlainan daripada pagi biasa, kali ini, sarapan kami adalah pada pukul tujuh pagi. Macam tahu-tahu saja nasi lemak adalah favourite kitorang dekat sini, maka nasi lemaklah yang dihidangkan untuk sarapan terakhir kami yang berlepas awal ini. Sungguh, sambalnya memang luar biasa sedap!

Dan kemudian, kami beratur dan berkawad ke dataran Dewan Kuliah untuk Majlis Perbarisan Perpisahan Pelatih-Pelatih Pelepasan Awal Kumpulan 2 Siri 10 Tahun 2013. Langkah memang terasa berat.

Majlis berlangsung dengan sangat lancar. Sehinggalah tamat perbarisan, barulah kemuncaknya dirasai.

Untuk kurang dua bulan, hubungan kami sesama pelatih di kem ini sudah menjadi seperti adik beradik. Di kem ini seperti di rumah anak-anak yatim di mana-mana cikgu-cikgu di sini sahajalah yang menjadi ibu bapa kami. Maka ikatan antara kami itu terlalu kuat untuk dileraikan.

Penuh rasa jujur dalam hati, awalnya memang aku teruja untuk balik dan sambung studi. Tapi ketika mana tibanya saat ini, aku tersepit antara dua situasi yang pilihannya memang sudah pasti. Segagah-gagah wira dan setabah-tabah wirawati, kami merelakan air mata tumpah dan kalau pun tidak jatuh ke bumi, kami tidak peduli betapa basah lencun sekalipun bahu-bahu kami.

Dan selama hayatku, ini adalah keharmonian yang tidak pernah aku gambarkan tetapi sangat menyamankan. Pelatih-pelatih yang berlainan agama, bangsa dan budaya saling berpelukan dengan penuh perasaan. Sekalipun warna kulit yang berbeza tetapi jernih air mata kami adalah sama.

Ya, kami saling berpelukan. Dan ini adalah perpisahan yang sebenar-benarnya antara kami sebagai pelatih di kem ini. Mungkin benar, untuk jangka masa yang tidak pasti, bila-bila masa sahaja kami akan berjumpa lagi. Tapi suasananya tidak akan pernah seharmoni sepanjang kami berada di sini.

118 pelatih termasuk aku sendiri, tiada pilihan lain selain meninggalkan kem ini dengan 1100 kenangan yang akan sentiasa segar terpahat dalam memori. Atas cikgu-cikgu yang sangat berbaik hati lagi memahami, dan wira dan wirawati yang aneka ragam dan menambah warna untuk aku menjadikannya pengalaman paling berharga, aku ucapkan terima kasih. Berbilion-bilion lemon. Tsk... Tsk...

Segalanya tamat pada lebih kurang pukul 9.30 pagi. Ketika pelatih lain diminta memasuki kelas Kenegaraan, kami yang dibenarkan balik kurang lima jam lagi, akan memulangkan semua baju dan seluar celoreng biru serta tali pinggan hutan dan kasut spike boot yang memang menjadi lambang dan identiti kebanggaan PLKN.

Sekali gus, kami diberikan telefon bimbit. Dan inilah masanya untuk kami merakamkan gambar kenang-kenangan sebanyak yang mungkin.

Aku tidak pernah masuk ke dorm lain selain dorm jiran yang sebelah-menyebelah iaitu Dorm 31 dan Dorm 33. Maka bila aku ke Dorm 35, rupanya sangat terang lagi cantik daripada Dorm 32, dorm aku yang malap dek terlindung dengan hutan dan tidak pula bertile. Apapun, di Dorm 32 inilah yang menjadi antara dorm paling terkenal dalam pelatih wira dengan pelbagai ragam dan aneka cerita, serta penuh dengan insan-insan istimewa. Hihi.

Bersama Timbalan Komandan Latihan.



KEBANGGAAN DAN MEMBANGGAKAN

Pelatih-pelatih pelepasan awal diberi sijil tamat latihan. Inilah masanya untuk kami yang tidak dapat berkawad pada akhir latihan 21 Jun, untuk menggunakan pengetahuan kawad kami untuk koman selaku penerima sijil. Dan sebelum itu, ada sesuatu yang sangat mencurigakan.

Kapten Hamizan, Timbalan Komandan Pengurusan menyatakan bahawa sebenarnya kami belum lagi tamat latihan. Tarikh tamat latihan kami adalah pada 26 hari bulan. Justeru, kami masih diiktiraf sebagai pelatih PLKN walaupun pada hari ini. Walau bagaimanapun, penjelasan beliau sedikit sebanyak melegakan kami. Rupa-rupanya, Tuan Komandan Latihan yang tidak dapat hadir kerana mesyuarat telah berbaik hati menggunakan kuasanya untuk memberi kami cuti awal tiga hari.

Majlis makan perpisahan ini bermula pukul 12 tengah hari. Tidak hanya dihadiri  jurulatih dan kami yang bakal pergi awal ini, pelatih yang kekal juga ada!

Setamat penerimaan sijil, maka kami dijamu dengan nasi minyak berlauk ayam masak merah dan... air suam. -.-‘

Di Dewan Makan ini jugalah, terdedahlah rahsia kepada hampir semua ahli kompeni Bravo dan beberapa ahli dari kompeni lain bahawasanya aku seorang penulis novel. Kebetulan, waktu itu aku membawa novel-novel aku untuk dihadiahkan kepada Tuan TKL sebagai penghargaan kepadanya.

Memang aku jenis yang suka melakukan sesuatu untuk membanggakan sesuatu yang aku banggakan. Oleh kerana aku bangga dengan semangat yang ada dalam Kem Nasuha ini, maka aku putuskan untuk membanggakannya pula dengan menghasilkan e-book yang kau orang sedang baca ini. Sedikit sebanyak, bau harum Kem Nasuha tidak hanya terletak pada rempah ratus dan herbanya semata-mata, bukan? Haha. Dan kalau boleh, semerbaknya melangkaui daerah Pagoh ini. Yeah!

Kami berehat-rehat di dorm. Dan kesempatan inilah kami gunakan untuk bergambar lagi.


----TIPS!

Bagi yang tiada akaun FB, YM, Twitter, Instagram, WeChat, WhatsApp atau apa sahaja media sosial, persiapkanlah sebelum pergi PLKN. Bukanlah nak elak dikatakan kolot, cuma tak naklah terus lost contact habis PLKN nanti, iya tak?
----------------------------------------------------------------------------------------------------
 
Dan ketika mana pelatih yang kekal mahu ke kelas untuk meneruskan rutin biasa – menyambung kelas Kenegaraan – kami beriringan bersama-sama dengan mereka. Aku dan pelatih pelepasan awal kini menunggu di sekitar kawasan pejabat untuk dibawa pulang oleh keluarga kami.

Berita tentang aku seorang penulis novel dan latar belakang aku terus menular. Kali ini, Cikgu Burn, Ustaz Alwi, Cikgu Abdullah, Cikgu Ramadan dan ramai lagi juga sudah mengetahuinya. Tidak ada lagi rahsia. Dan semuanya teruja meminta dengan harapan aku dapat menghasilkan buku. Aku pernah katakan akan menghasilkan buku itu dalam bentuk e-book dan inilah buku yang aku janjikan itu. Ya, yang sedang kau orang baca ini.

Dan ketika mana ayah aku sampai dengan adik bongsu aku, Aidil, beberapa pelatih yang kekal berkejaran menampal poster. Pilihan raya peringkat Kem Nasuha (satu projek kelas untuk modul kenegaraan: kerajaan) sudah dilangsungkan dengan peringkat awal, sudah pastilah perang poster. Yang aku tahu, parti terlibat adalah Parti Traktor dan Parti Kunci. Belum apa-apa lagi, sudah ada gosip yang aku dengar mengenai pilihan raya ini. Haha.

Aku teruskan langkah. Memang, masih banyak yang aku ingin alami di sini. Tapi kesempatan itu tidak ada lagi untuk aku. Sudah tiba masanya aku mencapai matlamat hidup yang aku idamkan sejak anak-anak lagi.

Selamat tinggal, Kem Nasuha. Insya-ALLAH, panjang umur aku akan datang lagi. Kalaupun tidak sebagai pelatih, pelawat atau sukarelawan pun, jadilah. 

PENUTUP


Kami mungkin bukan lagi sesiapa di luar nanti. Mungkin kami hanya insan biasa dan tidak dikenali. Tapi selagi kenangan ini kekal mewangi, kami akan sentiasa menjadi insan dikenali lagi istimewa, walapun hanya dalam kalangan kami sendiri.

Diari Wira saya berakhir di sini. Terima kasih. 

ENCORE PENULIS 

Sekali kau masuk PLKN, maksudnya kau kena lupakan cara hidup normal ala noble life. Sama ada untuk seketika atau selamanya, bergantunglah pada pilihan kau apabila meninggalkan kem nanti. Mungkinlah agak membebankan sepanjang tiga bulan, lebih atau kurang - dengan budak-budak yang gila-gila sekeliling korang atau jurulatih-jurulatih yang selalu akan menguji kesabaran korang dengan nonsensical-but-useful physical trainings atau kata-kata kasar yang mungkin akan mereka tuturkan atau dengan kelas yang selalu membuatkan korang rasa mengantuk tapi kau tak ada pilihan kecuali untuk memasang telinga. Kalau tak kena marah pun, mesti yang tidur akan dikejutkan juga. Tapi seseorang pernah beritahu saya, kalau kau memang dah tak larat dan tak mampu bertahan, kenapa tidak kau nikmati dan bergembira dengannya saja?

Percayalah. Saya telah lakukannya dan saya rasa saya perlu berterima kasih kepada orang itu apabila saya teringat nanti. Saya betul-betul tak boleh tahan pada mulanya, tapi saya jadikannya sebagai sesuatu yang boleh dinikmati dengan senang hati.

PLKN bukan Pusat Latihan Kanak-Kanak Nakal atau Patut Lah Kau Nakal atau Pakai Lorenglah Kau Nanti atau Pasti Lelah Kau Nanti. Tapi pada aku, PLKN lebih simbolik dan bermakna daripada kata-kata gambaran negatif itu.

Andai kata ada antara korang akan terpilih sebagai pelatih PLKN, maka set your mind yang PLKN adalah program yang menyeronokkan serta sangat bermanfaat. Jalanilah tanggungjawab yang diberikan oleh negara kepada kita dengan melibatkan diri seratus peratus dalam setiap aktiviti. Hanya dengan cara itulah kita akan bangga dengan pencapaian kita pada akhirnya nanti. Kalau tidak, korang akan merasakan PLKN sebagai program yang membosankan dan penglibatan korang adalah sia-sia dan bukan setakat merugikan masa dan tenaga korang sahaja, bahkan wang negara.

Diharapkan korang mendapat manfaat daripada diari saya yang korang baca tadi. Ini bukanlah pendedahan dan perkongsian secara holistik. Ecewah... Iyalah, saya tamatkan latihan sebulan lebih awal. Saya percaya, sebulan yang saya tidak sempat tempuhi itu pastinya ada banyak lagi perkara-perkara menyeronokkan macam khidmat komuniti, kembara halangan, pertandingan kawad, latihan renang, wirajaya dan macam-macam lagilah! Apapun, sejujurnya, bukan semua yang saya ceritakan adalah benar tapi saya berani jamin bahawa 99% adalah pengalaman saya yang sebenar. Tapi atas setiap kelemahan ini, saya yakin, Insya-ALLAH, sedikit sebanyak catatan ini boleh menjadi panduan berguna untuk korang semua selain menjadi galakan bahawasanya PLKN bukanlah seteruk dan seburuk yang disangka!

Jadi, ayuh kita sahut cabaran

-TAMAT-

RELATED POSTS

0 komen

Tinggalkan komen di sini.