Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

Biohazard oleh Kushairi Zuradi

9:25:00 PTG Hasif Hamsyari 0 Comments Category :


Sejujurnya, saya membeli naskhah ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 yang lalu untuk menggenapkan tiga buku (harga diskaun) selain mahu mencuba mengkaji novel sai-fai (fiksyen sains) yang pada saya masih ketinggalan berbanding kebanyakan negara lain. Tapi harus saya nyatakan, antologi cerpen ini adalah koleksi cerpen sai-fai yang cukup kreatif, berani dan perlu dimiliki terutama bagi penggemar genre yang demikian.

Berketebalan 300 halaman, naskhah ini cukup padat dengan koleksi cerpen sains yang cukup menarik. Penulis Kushairi Zuradi nyata berjaya menangkap saya untuk terus membaca selepas cerpen pertama berjudul Doa untuk Malaysia yang dengan berani mengangkat konflik antara dunia Islam (Khilafah Islam) dengan rejim Israel berlatarbelakangkan masa hadapan. Israel mahu mencipta senjata biologi untuk memusnahkan umat Islam. Penulis turut menceritakan kedudukan Malaysia yang mahu menjadi negara berkecuali (neutral) dalam konflik itu, walaupun Malaysia sendiri telah dijatuhkan bom aerosol mengandungi virus dinamakan NiV oleh Rusia selain beberapa bandar Islam yang lain. Pemimpin Malaysia hanya mampu mengecam ketika rakyatnya mahukan Malaysia berpihak sepenuhnya dengan dunia Islam dinamakan Khilafah Islam. Cerpen ditutup dengan Malaysia menghantar formula ubat anti-viral untuk virus itu kepada  Syria yang menerimanya dengan menitipkan doa supaya Malaysia kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat.

Termasuk Doa Untuk Malaysia, ada 14 cerpen kesemuanya. Antara lain ialah Pandemik, Bunuh Yahudi, Tahi dan Hati, Hantu Lombong, Tegang dan Longlai serta Mangga dan Penjajahan Dunia. Dari perihal politik sehinggalah perihal kemanusiaan semudah sebaran virus dan bakteria dalam kehidupan seharian yang tidak kita sedari, penulis pada saya berjaya menghidupkan setiap cerpen dengan kupasan fakta yang cukup kuat.

Sepanjang pembacaan, saya sudah terfikir besar kemungkinan penulis adalah seorang doktor atau setidak-tidaknya guru biologi. Walaupun telahan saya salah, penulis sebenarnya masih dalam bidang yang serupa. Beliau adalah pelajar di sebuah fakulti perubatan dan mempunyai minat mendalam terhadap organisma halus. Ada ketika saya sedikit terganggu dek fakta-fakta dengan nama-nama organisma yang agak mengelirukan tetapi saya meletakkan salah itu pada saya mungkin atas faktor mengantuk (biasanya saya baca buku sebelum tidur, dan membaca salah satu cara saya untuk mudah tidur) dan bukan sebab naskhah ini tidak menarik. Mungkin juga saya beranggapan nama-nama bakteria dan virus ini tidak penting, kecuali peranannya tanpa sedar nama itulah yang membuatkan saya mampu mengenal dan membezakan peranan mereka. Cuma untuk digunakan jangka masa panjang, nama berkenaan barangkali sukar untuk tersimpan dalam kepala saya.

Mungkin kepada pelajar perubatan, naskhah ini boleh mengembalikan dengan berkesan memori-memori anda pada terma-terma yang dimuatkan. Pun begitu, bagai diakui penulis, naskhah ini adalah fiksyen yang walaupun berlandaskan fakta yang diselidik dan dipelajari sendiri, sebenarnya ada fakta yang tidak sepenuhnya dijelaskan. Justeru, sebagai bahan rujukan peperiksaan, buku ini tidaklah sesuai.

Tidak terhad dengan watak berupa manusia, penulis nyata sangat kreatif menceritakan kehidupan virus dan bakteria yang diberikan pula sifat seperti manusia, mampu berkata-kata, berkeluarga dan sebagainya. Ada mencuit hati dan ada pula yang lebih berupa analogi.

Di tangan penulis, setiap cerpen pada saya bukan sahaja mempunyai fakta yang menarik dan dekat dengan pembaca, bahkan mesejnya adalah jelas dan membuatkan kita terfikir pada akhir cerita. Ada beberapa cerpen yang membuatkan saya tersentap dan saya yakin ini adalah bagus dalam proses kita mengenal kelemahan dan kekuatan diri. Penulis tidak hanya mementingkan penceritaan dunia perubatan yang canggih dengan istilah dan teknologinya, bahkan turut mengimbangkan karyanya dengan pendekatan syariah dan membawa pembaca mendekati Tuhan.

Saya kagum dengan jiwa besar penulis mahu menyampaikan mesej betapa kekuasaan Allah itu bukan sahaja terletak pada sebesar-besar ciptaan alam semesta, bahkan sekecil-kecil sel darah merah dalam badan kita.

Ada beberapa kelemahan teknikal pada buku ini yang bukanlah hal besar dan boleh diperbaiki andai dicetak semula. Antaranya ialah kesalahan ejaan yang pada saya tidaklah banyak terutama di kisah-kisah akhir seperti surat bapa Najmi dalam cerpen Anak Bapak dan pada kebanyakan pembaca ia boleh diabaikan pun.

Secara keseluruhan, novel ini membuatkan saya kagum dengan genre sai-fai. Tidak keterlaluan jika saya katakan, Kushairi Zuradi adalah sebab untuk saya berharap genre sai-fai di Malaysia akan lebih mendapat perhatian dan diletakkan di tempat yang lebih tinggi. Untuk sebuah karya pertama, naskhah ini memang cemerlang dan sewajarnya diberikan pujian. Jadi, tahniah saya ucapkan untuk penulis. Saya pasti akan memandang ke hadapan untuk (siapa tahu) novel sai-fai beliau pula.

Antara buku terawal di bawah penerbitan baharu Simptomatik Press, naskhah ini saya berikan 4.5 daripada 5 bintang.

 ===================================
HASIF BACA adalah entri ulasan buku (fiksyen dan bukan fiksyen). Jika anda ada cadangan buku untuk diulas, beritahu saya di laman-laman sosial saya. Terima kasih!

RELATED POSTS

0 komen

Tinggalkan komen di sini.