Catatan Fikir Dua Penulis oleh Hilal Asyraf dan Zahiruddin Zabidi
JUDUL: Catatan Fikir Dua Penulis
PENULIS: Hilal Asyraf dan Zahiruddin Zabidi
PENERBIT: Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf
GENRE: Motivasi Islamik
TAHUN TERBITAN: 2015
MUKA SURAT: 255
HARGA: RM19 (Semenanjung Malaysia) / RM22 (Sabah/Sarawak)
Saya membeli buku ini semasa di Pesta Buku Antarabangsa 2015 yang lepas, namun saya cuma berkesempatan membacanya beberapa hari lepas. Begitupun, saya menghabiskan pembacaan saya dari sebelum tidur, sampailah beberapa jam selepas Solat Subuh. Begitulah lebih kurang tekunnya saya menghabiskan buku ini.
Saya tertarik pada buku ini kerana ia secara umumnya bercerita tentang dunia penulisan yang mana saya berkait secara langsung sebenarnya. Sebagaimana Tuan Hilal Asyraf dan juga Tuan Zahiruddin Zabidi, saya juga seorang penulis cuma saya amatlah kerdil dibandingkan dengan prolifiknya dua orang penulis yang saya kagumi ini.
Buku di bawah imprint Kauthar (Motivasi Islamik) Karya Bestari ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama ditulis oleh penulis yang tidak asing lagi di Malaysia iaitu Tuan Hilal Asyraf manakala bahagian kedua ditulis oleh penulis yang saya kira sangat kritis iaitu Tuan Zahiruddin Zabidi.
Bahagian pertama berat pada penceritaan pengalaman Tuan Hilal Asyraf seawal sebermulanya beliau melangkah ke dunia penulisan melalui blognya yang cukup popular, LangitIlahi.com . Sebagai rakan penulis, saya tidak boleh lari daripada mencari titik persamaan, apatah lagi, Tuan Hilal Asyraf bermula menulis pada 2009, tahun sama saya menjadi penulis cuma saya ketika itu berusia 14 tahun dan Tuan Hilal Asyraf berusia 20 tahun. Dan saya ketemukan perkara yang hampir serupa antaranya titik mula kami adalah perkenalan dengan orang industri yang mengetengahkan bakat dan minat kami, Alhamdulillah.
Barangkali saya kagum dengan pendekatan buku sebegini. Lain penulis, lain pengalamannya. Barangkali lain juga cara penulisan dan proses penulisannya. Maka kalau adalah lebih banyak buku begini, saya pasti akan membacanya. Seronok sebenarnya membaca pengalaman penulis lain apatah lagi kerana kita berada di bawah tanggungjawab yang sama.
Sebagai penulis, saya masih juga terinspirasi dengan kisah-kisah pengalaman penulis lain. Daripada kisah JK Rowling, Stephanie Meyer mahupun Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan lain-lain penulis, sekarang saya terinspirasi dengan Tuan Hilal Asyraf dan Tuan Zahiruddin Zabidi pula. Ironinya, lebih daripada penulisan mereka, kegigihan dan usaha mereka, liku dan cabaran mereka untuk menjadi penulis saya lihat juga sangat terkesan pada saya.
Seawal 130 halaman pertama, Tuan Hilal Asyraf menulis catatannya dalam gaya lebih straight-to-the-point, seolah-olah membaca sebuah buku panduan penulisan namun digarap dengan penuh nilai Islami, dengan hadis dan potongan ayat Al-Quran, juga pengalaman peribadi yang menjadikan penulisannya lebih lengkap, praktikal dan menyedarkan. Cara penyampaian yang lebih santai juga membuatkan saya terasa seolah-olah sedang berada dalam seminar penulisan yang dikendalikan beliau.
Bahagian kedua terisi dengan perkongsi ilmu penulisan daripada Tuan Zahiruddin Zabidin. Saya mengenali Tuan Zahiruddin Zabidi di Facebook, yang mana pernah juga mendapat pelawaan untuk menulis buku berbentuk motivasi tapi saya menolak, setidak-tidaknya buat masa ini. Saya belum bersedia. Pernah juga terserempak di Kompleks Karangkraf semasa bertemu dengan Pengarah Eksekutif Karangkraf ketika itu, Puan Firdaus Hussamuddin.
Tiga bab pertama diisi dengan catatan sepintas tentang bagaimana terkaitnya kehidupan beliau melalui penulisan, dari permulaan sajak yang mendapat tempat di hati kawan-kawan, surat pembaca yang dibawa ke hadapan oleh autoriti bahkan menyiapkan 'proposal' semalaman untuk seorang gadis yang kini bergelar isteri. Betapa romantis!
Begitupun, secara peribadi, saya rasa penulisan Tuan Zahiruddin Zabidi lebih kritikal, mengambil dan mengekstrak ilmu daripada pembacaannya sendiri dengan disulami pandangan peribadi. Tepu dengan perincian penulisan yang mendokong cita-cita sebuah buku yang menepati tanggungjawab sebagai hamba, patuh syara' dan berkesan di jiwa pembaca.
Saya harap anda tidak salah faham. Bukannya Tuan Hilal Asyraf tidak kritikal, pada saya dua cara penulis ini menyampaikan mesej adalah jelas tetapi dengan penyampaian yang tersendiri. Saya percaya, Tuan Hilal Asyraf tampak lebih terkesan dengan penulisan yang lebih 'mesra remaja' sebagaimana lebih 25 karya yang dihasilkannya setakat ini manakala Tuan Zahiruddin Zabidi pula lebih terfokus pada para sarjana dan ilmuwan.
Di sinilah terletaknya kekuatan naskhah ini. Dua perspektif berbeza membawa ilmu dengan mesej dan tanggungjawab yang menyedarkan kita sebagai hamba ALLAH. Saya kira inilah yang cuba ditekankan buku ini, apatah lagi dalam keadaan industri penulisan kita hari ini yang makin berlambakan buku-buku yang lebih banyak melalaikan dan rendah nilai Islaminya. Nauzubillah.
Buku ini bukan sahaja sesuai untuk dibaca sesiapa yang berkeinginan menjadi penulis, bahkan untuk yang telah bergelar penulis juga. Kacamata seorang penulis berbeza-beza namun semuanya pasti ada titik persamaan khususnya objektif penulisan mereka. Maka tiada salah untuk kita memperkaya ilmu dengan membaca pengalaman dan perkongsian orang lain. Saya kira, pembacaan saya kali ini cukup menyedarkan betapa peri penting dan besarnya tanggungjawab penulis.
Untuk buku ini, saya berikan lima bintang.
1 komen
terbaik bro hasif..saya mahu cuba dptkn buku ini. terima kasih atas perkongsian . saya juga mempunyai hasrat untuk menulis sebuah karya yg memberi motivasi secara islamik. dn sememangnya ini sgt membantu.
BalasPadamTinggalkan komen di sini.