Eksplorasi Taman Negara [PART 1]
Dinamakan sebagai hutan hujan tropika tertua di dunia, Taman Negara Pahang adalah destinasi eko-pelancongan yang menawarkan pengalaman luar biasa dengan khazanahnya yang sangat berharga. Jom ikuti pengalaman saya dan kawan-kawan meneroka destinasi ini.
Antara 14 sampai 17 Februari lepas, saya dan kawan-kawan ke negeri Pahang. Bermalam di Jengka sebelum menghabiskan tiga hari dua malam di Taman Negara Pahang. Kenapa tidur dekat Jengka, kenapa tidak terus ke Taman Negara? Sebab kami dah janji untuk meet-up kat sana memandangkan kami semua daripada berlainan negeri. Lagipun, kalau pada hari nak ke Taman Negara (keesokannya) baru nak bertolak dari negeri masing-masing, risau terlepas bas.
Dan percayalah, perjalanan kami cuma menggunakan bas dan teksi je. Ala backpackers sangat.
Lokasi tempat kami bermalam ialah di Hotel D'Kolam, kira-kira lima minit perjalanan teksi dari Stesen Bas Jengka. Bayarannya cuma RM45 semalam. Lengkap pendingin hawa, hot shower, TV dan keperluan asas yang lain walaupun biliknya agak sempit sikit.
Inilah 'rumah' tidur kami. Jangan salah faham, dalam satu bangunan berwarna macam dalam gambar ni, ada tiga bilik. Jadi, konfemlah yang lelaki sebilik, perempuan sebilik. |
Paginya, kami bertolak dari Jengka ke Jerantut dengan menaiki teksi. Kalau ikutkan bas yang available untuk ke Taman Negara dari Jerantut ialah pada 12.30 dan 1.30 tengah hari. Tapi, kami dapat shuttle bus dengan harga standard ke Taman Negara menggunakan bas iaitu RM7 je. Jadi, kami dapat jimat masa dan jimat duit. Bertolak dari stesen bas Jerantut pada 10.40 pagi dan kami sampai dalam 12.30 tengah hari.
Sampai-sampai je, kami terus check-in chalet. Chalet yang kami dah booking melalui agen ni ialah Mahseer Chalet. Kenapa kami pilih chalet ni? Sebab di Mahseer Chalet ni ada wi-fi percuma! Selain tu, kadar bayaran satu kepala cuma RM20 je. Dua malam maknanya RM40 je! Keperluan asas lain lengkap termasuk pendingin hawa cuma tak ada hot shower. Tapi apa kisah! Tiga hari dua malam bukan untuk berseronok di chalet, tapi aktivitinya nanti. Yeah!
Bila sentuh pasal wi-fi, ada sedikit tips. Dekat sini, line yang boleh dipercayai ialah Celcom sahaja. Selain tu, payah. Haha.
Lepas check-in chalet, kami lapor diri ke pejabat agen percutian yang akan kendalikan aktiviti kami iaitu Tembeling Lake Travel & Tours Sdn. Bhd. Pakej yang kami pilih cuma berharga RM120 seorang tak termasuk bayaran penginapan, makanan dan tiket-tiket. Kalau ikutkan pakej ini cuma dua hari satu malam tapi kami tambah sehari lagi sebab ada perancangan lain yang akan saya ceritakan pada hujung nanti. Tapi yang penting, pakej ini sebenarnya sangat murah!
Lepas selesai, kami makan tengah hari dekat kedai-kedai makan berdekatan. Memandangkan aktiviti kami akan bermula pukul 3 petang, maka kami rehat dan santai-santai sahaja dulu.
Rapid Shooting: Kombo untuk Keseronokan Bermain Air dan Menikmati Keindahan Sungai Tembeling!
Here we go! |
Kami janji untuk berjumpa dengan pemandu pelancong kami di salah sebuah restoran terapung di tepi-tepi Sungai Tembeling. Di sinilah kami diperkenalkan dengan Abang Aidil tapi dipanggil Eddy. Penduduk kat sini panggil dia Panjang.
Tak banyak cakap, kitorang terus duduk dalam bot dan pakai jaket keselamatan.
Menyusuri Sungai Tembeling adalah antara pengalaman yang cukup best untuk memulakan eksplorasi di Taman Negara. Dalam bot yang serba sederhana, pemandangan yang korang akan peroleh macam kelas pertama.
Apa yang seronok dengan rapid shooting? Selain menikmati pemandangan cantik sepanjang perjalanan, korang jugak akan berbasahan dengan air sungai. Ada ketika, Abang Eddy akan celup tangan dalam air sungai sekali gus menyebabkan kami yang dekat belakang ni basah sebab bot laju.
Ada kala bot lalu dengan air yang tenang. Tapi kalau sampai dekat tempat yang berbatu, air sungai pun mulalah bergelora. Mulalah bot terumbang-ambing dan basah lencunlah baju korang terkena percikan air. Inilah pengalaman yang pelancong yang datang ke sini wajib rasakan!
Awesome experience! |
Beginilah keadaan yang korang kena rasa sendiri dalam aktiviti rapid shooting. |
Semua kami terpegun dengan keindahan sepanjang Sungai Tembeling. |
Sebab itu untuk aktiviti ni, kami cuma pakai selipar je. Untuk elakkan kasut kami daripada basah. Iyalah, kasut itu nanti akan banyak digunakan untuk aktiviti besok.
Kalau korang bawak kamera atau telefon bimbit, korang akan disediakan plastik. Lagi pulak, masa pergi cuaca okey. Masa nak balik pulak hujan. Nasib baik hujan biasa-biasa.
Pergi dan balik, saya hanyut dalam menikmati suasana hijau kiri dan kanan selain membiarkan udara yang cukup segar menampar tubuh. Nikmat yang jarang diperoleh.
Melawat Perkampungan Kaum Asli Batek
Antara rumah yang boleh dibilang banyaknya di Kampung Dedari. |
Nampak daif tapi inilah kehidupan mereka yang cukup untuk keperluan asas sahaja. |
Destinasi yang kami tuju menaiki bot rapid shooting ini ialah Kampung Dedari. Apa yang istimewanya kampung ini sampai dijadikan destinasi pelancongan wajib pelancong ke Taman Negara ni?
Kalau nak tau, inilah dia salah satu kampung orang asli daripada suku kaum Batek. Kaum Batek ini adalah daripada suku kaum Negrito. Lihat saja pada ciri fizikal mereka macam berambut keriting, berkulit hitam manis, juga berwajah bulat lebar.
Apa yang pasti, kaum Batek, menurut Abang Eddy antara suku kaum asli yang sangat pemalu. Dalam erti kata lain, diorang bukan mudah untuk didekati. Saya pun agak kecewa juga sebenarnya sebab tak dapat bergambar dengan diorang, terutama anak-anak kecil.
Kalau korang ke sini, korang bukan je dapat pengetahuan tentang suku kaum asli di Tanah Melayu bahkan dapat melihat sendiri kehidupan mereka dengan lebih dekat dan jelas. Jangan lepaskan peluang jugak untuk tengok skil diorang menghidupkan api secara manual dalam masa kurang seminit. Power gila! Tak cukup tu, korang boleh merasai sendiri pengalaman menyumpit, salah satu aktiviti kaum Batek ketika berburu di dalam hutan.
Alang-alang dah sampai sini, wajiblah mencuba untuk menyumpit! |
Papan sasar berupa patung 'Angry Bird'. Haha. |
Kapak (nama lelaki kaum Batek ini) sedang menunjukkan cara menghidupkan api menggunakan utas batang pokok rotan yang digesek pada tapak daripada kayu meranti. |
Kapak sedang meniup bara yang terhasil pada habuk kayu. |
Taraa! Dah terhasil pun apinya! |
Rumah mereka juga nampak sangat daif tapi itulah sebenarnya kehidupan mereka. Tiada TV, tiada radio, tiada telefon bimbit atau PSP, kehidupan mereka nampak jelas mementingkan semangat kekitaan yang tinggi. Demikian cerita Abang Eddy, semangat kekeluargaan di sini sangat kuat.
Waktu saya melihat Kapak menghidupkan api, hujan turun agak lebat juga. Lihat jelah dalam video yang saya sediakan. Tapi mana boleh kami lepaskan peluang untuk meninjau-ninjau kehidupan masyarakat asli di sini. Sekalipun mereka jauh ketinggalan, merekalah antara keunikan yang menjadikan Taman Negara tumpuan masyarakat dunia.
Bila hujan cermin mata pun asyik nak jatuh je. Haha. |
Berjalan-jalanlah kami dalam suasana hujan ini. |
Haruslah rakam kenangan di perkampungan unik ini! |
Belum masuk hutan lagi dah nampak tapir depan mata. |
8.00 malam, kami dibawa Abang Eddy untuk aktiviti seterusnya iaitu Night Jungle Walk. Kehidupan di Taman Negara akan lebih jelas bila tiba waktu malam. Sebab itu Night Jungle Walk ini antara tarikan yang sangat sukar untuk dilepaskan. Di sinilah korang boleh lihat sendiri haiwan liar macam tapir, babi hutan dan rusa.
Sebelum masuk ke trek lagi, turun je bot lepas menyeberangi Sungai Tembeling terus nampak seekor tapir dekat restoran di Mutiara Taman Negara. Abang Eddy mengingatkan kami untuk tidak menyentuhnya sebab tapir ni masih lagi liar walaupun nampak tak berbahaya. Lagipun, bau manusia akan menyebabkan nanti tapir ini dicederakan bila kembali ke hutan.
Tapi, di badan tapir ni sendiri ada kesan luka yang nampak masih baru. Kata Abang Eddy, tapir ini buta. Sebab itu bila tapir ni nak masuk ke kawasan restoran, ada seorang penjaga menyeret tin untuk menghasilkan bunyi yang boleh menjauhkan tapir ini.
Trek yang disediakan sangat memudahkan pelancong. Sejauh pengamatan saya, cuma kami saja pelancong warga tempatan. Selebihnya adalah pelancong luar yang agak ramai juga.
Perjalanan malam itu agak menyeronokkan juga. Selain meninjau haiwan di sekitar trek, kami juga ke menara tinjau atau disebut juga Bumbun Tahan. Dari menara ni, kami dapat lihat rusa-rusa liar sedang minum air. Di kawasan ini kaya dengan mineral yang mana sebab itu banyak binatang liar suka datang untuk mendapatkan nutrien ini. Cuma saya tak bawak DSLR dan tak terakam oleh GoPro saya. Kalau bernasib lagi baik, korang sebenarnya boleh juga nampak beruang atau babi hutan di kawasan ini.
Selebihnya kami lebih banyak nampak serangga liar macam serangga lidi (stick insect), labah-labah dan kala jengking. Kala jengking ini besar-besar sebenarnya cuma diorang ni pantang dengar bunyi bising. Kalau suluh barulah nampak itu pun bukannya full.
Kalau korang ke sini, jangan lupa bawak lampu suluh. Kalau tak, rugilah tak dapat tengok dengan lebih jelas.
Labah-labah. |
Serangga yang nampak macam stik kayu. |
Banyak kala jengking boleh jumpa tapi kebanyakannya tersorok. Yang warna hijau tu dialah. Sebab kena suluh dengan lampu khas. |
Demikian untuk hari pertama di Taman Negara Pahang. Ada banyak lagi aktiviti best macam Canopy Walkway, mendaki Bukit Teresik dan jungle treking jadi nantikan entri seterusnya!
3 komen
Hai nak tanya , aktiviti semua awk book awal ke .
BalasPadamHai! Ya, saya book awal.
Padamada sesiapa boleg beri info sya nk book mcm mne yea?
BalasPadamTinggalkan komen di sini.