Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

Setapak Dalam Gelap oleh Ocik Baim

1:05:00 PG Hasif Hamsyari 1 Comments Category :


Kompilasi kisah seram karya Ocik Baim ini menampilkan 34 cerita seram pendek yang berkait dengan pelbagai tema meliputi persahabatan, kekeluargaan dan banyak lagi. Naskhah setebal 176 halaman terbitan penerbit buku alternatif yang makin meningkat naik, Buku Pojok, pastinya menjanjikan kelainan untuk pembaca-pembacanya.

Saya mencapai naskhah ini ketika di Karnival Karangkraf di Kompleks Karangkraf 28 Februari lalu. Sambil ditemani Pengurus Besar Grup Buku Karangkraf, Puan Sri Diah Shaharuddin dan Penerbit Eksekutif Karangkraf, Puan Firdaus Hussamuddin, saya diperkenalkan dengan beberapa terbitan baharu Buku Pojok.


Saya melihat kehadiran Buku Pojok menyemarakkan penulisan indie yang lebih terbuka, sempoi dan santai sekali gus bersifat straight forward. Apatah lagi, konsep atau trend bahan bacaan begini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat buku.

Berbalik kepada naskhah ini, pujian wajar diberikan untuk penulisnya. Bukan mudah untuk menulis kisah seram. Walaupun saya boleh sifatkan tahap keseraman apabila membaca ini kebanyakannya berada pada tahap biasa, namun dari segi idea dan penulisannya saya kagumi. Bergantung pada korang yang membaca. Kalau korang boleh kaitkan cerita dengan kehidupan korang, barangkali ada persamaan barang sedikit, maka satu-satu cerita itu akan jadi lebih seram. Secara peribadi, saya seram dengan kes pemanggil di radio (saya tak ingat judulnya).

Ideanya nampak segar walaupun latar belakangnya tampak sudah kebiasaan macam kisah seram di asrama, hospital, patung dan sebagainya. Sekurang-kurangnya, penulis bijak mencambah ideanya. Barangkali, saya berpendapat yang penulis boleh memanjangkan lagi babak yang saspens atau seram supaya seram itu sampai ke tahap bulu roma merinding. Penghayatan pembaca seperti saya lebih mendalam dan mendebarkan bila makin didalami sesuatu babak seram itu.

Tapi, kalau korang jenis suka baca yang pendek-pendek, buku ni mungkin boleh penuhi minat korang. Sejujurnya, saya banyak isi masa terluang saya dengan habiskan satu-satu cerita sebab cerpen-cerpen dalam ni bukanlah jenis cerpen yang panjang-panjang. Boleh jadi dua tiga muka surat je. 

Ada antara ideanya saya fikir cukup bernas kalau dipanjangkan menjadi novel. Bukan apa, saya terkagum sendiri dengan idea-idea dalam cerpen seperti 'Kultus' dan 'Delisha'.

Secara keseluruhan, naskhah ini wajar dimiliki mereka yang meminati genre seram. Saya rasa tidak semua cerpennya ialah seram yang 'kosong', tapi 'terisi' dengan 'sesuatu' yang boleh difikirkan. Walaupun tidak semua, penulis pada saya berjaya mengotakan matlamat untuk cuba keluar daripada stereotaip cerita seram yang biasa.

Syabas untuk penulis dan produksi Buku Pojok! Moga terus maju dan sukses!

Untuk naskhah ini, saya berikan 4 bintang!

RELATED POSTS

1 komen

Tinggalkan komen di sini.