Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

Magic of the Night 2016

7:40:00 PTG Hasif Hamsyari 4 Comments Category :

Ada satu event best yang penuh warna-warni di Putrajaya berlangsung saban tahun dan saya dah lama menunggu masa dan kesempatan untuk menyaksikannya sendiri. Dan akhirnya pada tahun keenam penganjurannya, saya dapat peluang tu!

Event yang saya maksudkan ialah Magic of the Night 2016! Acara anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia ni berlangsung selama sembilan hari dan bakal berakhir 4 Jun 2016. Jadi kalau korang masih punya masa, jangan lepaskan peluang untuk saksikan sendiri! Perarakan bot atau flotilla berhias akan bermula 9 malam hingga 10 malam setiap hari sampailah 4 Jun tu nanti.
Teruja gila akhirnya dapat saksikan perarakan cukup istimewa ni!
Pertunjukan bunga api seusai kesemua 14 flotilla berarak di Tasik Putrajaya. Cantik, kan?!
Memandangkan saya berada di hari pertama, jadi di situ juga ada majlis pelancarannya. Pastinya pertunjukan bunga api juga paling dinantikan semua!

Tahun ni ada 14 flotilla yang dihantar oleh hampir semua negeri di Malaysia. Setiap flotilla ni memaparkan keunikan masing-masing dengan mengikut tema 'Retro Magic'.

Kenapa korang kena datang? Sebab korang kena saksikan sendiri kecantikan flotilla-flotilla ni. Kemeriahannya tambah dirasai dengan mainan lampu LED yang melatari perakan flotilla dan suasana penuh fotogenik di atas Tasik Putrajaya. Apalagi, berlatar belakangkan Jambatan Putrajaya yang ikonik pastinya buatkan korang, para fotografer untuk tak melepaskan peluang merakamkan gambar yang cantik-cantik!

Tak percaya? Jom layan gambar-gambar ni dan baca sikit keterangan masing-masing.

1. Melaka
Keindahan budaya negeri Melaka sangat terserlah. Tak hairanlah Melaka diiktiraf Bandar Warisan Dunia!
Floatilla negeri kelahiran saya ni mempamerkan keindahan kepelbagaian budaya di Tanah Melaka. Dari Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Chetti dan Portugis, keindahannya sangat ditekan dalam pararakan kali ni. Tak cukup dengan tu, lagu Dondang Sayang yang merupakan lagu yang cukup sinonim dengan Melaka juga diperdengarkan. Sebab itu korang boleh nampak alat muzik Dondang Sayang macam violin, gong, rebana kompang dan rebana keras. Nampak tangga Melaka dan kereta lembu dengan bumbung runcing macam tanduk tu? Ha, itupun antara trademark yang sinonim dengan Melaka. Penggayaan yang sarat unsur tradisi. Cantik!

2. Johor
Semangat kejayaan Johor terakam indah di atas flotilla ini.
Johor dengan penuh kebanggaannya membawakan tema 'Mack Truck' sebagai kenderaan rasmi Kembara Mahkota Johor 2016, pasukan bola sepak JDT dan sejarah harimau Selatan dan juga burung Angry Bird sebagai simbolik Taman Tema Angry Bird dengan gambus, alat muzik tradisional Johor. Turut boleh dilihat ialah sepuluh lagi bendera mewakili daerah-daerah Johor. Tak hairan lagi, Johor adalah negeri yang penuh dengan kebanggaan yang membanggakan! 

3. Kelantan
Kelantan bersederhana dengan nilai Islam dan flora atas sebuah flotilla yang cukup indah.
Jom selami kebudayaan Kelantan! Saksikan replika Muzium Islam Negeri, bersesuaian jolokan Kelantan sebagai Serambi Mekah. Turut menambah nilai sejarah pada flotilla indah ni adalah Memori Perang Dunia ke-2, Menara Jam Tuan Padang dan meriam British. Beca pun terkenal di Kelantan yang masih digunakan.

4. Sarawak
Ringkas tapi sarat simbol perpaduan rakyat Sarawak. - Foto ihsan Facebook Tourism Malaysia.
Untuk tahun 2016, Sarawak memilih Buaya Bubu sebagai maskot pelancongan diorang diabadikan dengan kepelbagaian etnik di Sarawak termasuklah Iban, Bidayuh, Melayu, Cina dan Orang Ulu. Sementara tu, bandar Kuching pulak sinonim dengan 'kucing', juga satu simbolik pintu masuk ke Sarawak yang banyak tarikan. Burung enggang atau Rhinoceros Hornbill jugak dipamerkan. Tahukah korang enggang di Sarawak ialah antara enggang dengan paruh atau 'hornbill' terbesar di dunia? Now you know. Industri tembikar Sarawak jugak antara tarikan negeri ini yang sarat menekan unsur budaya Sarawak yang sangat unik!

5. Kedah
Flotilla Kedah yang sangat menarik!
Kedah, Di Mana Semuanya Bermula. Cewah. Dengan tema tu, Kedah menekankan sejarah pembangunan negerinya. Simbol geografik turut diperkenalkan iaitu ombak dan pokok kelapa. Turut kelihatan ialah Masji Zahir, Menara Alor Setar dan Air Terjun Teluk Wanjah selain beberapa lagi tarikan lain. Burung helang tanpa perlu diperkenalkan ialah identiti eksklusif Langkawi, selain turut menyingkap semangat sukan bola sepak Kedah.

6. Negeri Sembilan
Keunikan tersendiri dalam kesederhanaan. Negeri Sembilan.
Negeri Adat Perpatih, Negeri Sembilan mempamer kekayaan budaya unik mereka dengan keindahan flora fauna serta tarikan pelancongan tersendiri seperti Port Dickson, Balai Cerap BaitulHilal, Gua Pelangi, Sungai Menyala yang semuanya antara yang harus dilawati kalau singgah ke negeri ini.

7. Selangor
Legenda bola sepak, Super Mokh mengemudi flotilla Selangor.
Nampak tak figura Super Mokh, lejen bola sepak Malaysia? Ha, kedudukannya tu sebenarnya simbolik untuk mengemudi flotilla Selangor kali ni tau. Drum adalah mesej untuk sokongan atas kejayaan yang membanggakan. Sementara tu, Centung Buluh memaparkan sejenis buluh yang digunakan etnik Mah Meri. Topeng tu pulak menonjolkan semangat Kelolong dan Moyang Lebu oleh Mah Meris. Dan bunga tanjung atau Spanish Cherry ialah bunga rasmi Selangor.


8. Pulau Pinang
Flotilla Pulau Pinang sangat terang dan berwarna-warni!
Pulau Pinang meraikan kepelbagaian budaya negerinya melalui flotilla kali ini, tampil juga keindahan flora dan fauna dengan tema Retro Music. Sebab itu Pulau Pinang membawakan antara lagu-lagu nostalgia popular penyanyi dari negeri itu termasuklah Allahyarham P. Ramlee, Alleycats, Hail Amir, Razis Ismail dan Nassier Wahab.

9. Perak
Wow, cantiknya flotilla Perak!
Di atas flotilla Perak, tersergam Dutch Fort yang dibina masa abad ke-16, TT5 atau kilang terapung di Tanjung Tualang, Hutan Royal Belum yang dipercayai lebih tua berbanding Amazon dan Congo serta Lembah Lenggong yang sangat sinonim dengan artifak 'Perak Man'. Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Zoo Taiping dan Night Safari, Stesen Keretapi Tanah Melayu di Ipoh juga disertakan dalam sebuah flotilla yang sangat menarik!

10. Sabah
Keindahan flora dan fauna di Sabah yang unik menjadi tarikan utama flotilla Sabah!
Sabah yang terkenal sebagai syurga botanikal dengan kepelbagaian flora fauna antara yang paling unik di dunia pastinya takkan mengecewakan korang. Semuanya dimuatkan dalam sebuah flotilla serba indah! Antara fauna unik yang sukar dijumpai di dunia selain di Sabah ialah burung Whitehead Tragon dan Biawak Agamid. Kalau flora pulak, korang boleh nampak bunga terbesar dunia, Raflesia, cendawan bio-luminescent yang bercahaya dalam gelap dan orkid unik yang sukar dijumpai.

11. Terengganu
Terengganu pun tak kalah dalam menonjolkan keistimewaan flora dan fauna di negeri cukup cantik ni!
Sempena Tahun Melawat Terengganu 2017, korang boleh intai serba sikit tarikan Terengganu melalui flotilla yang berwarna-warni ni. Karakter gajah menampilkan Pusat Konservasi Gajah Kenyir. Tak lupa ada replika Air Terjun Lasir, ikan kelah dan ikan toman yang boleh korang jumpa di Tasik Kenyir. Burung, orkid dan rama-rama tu pulak mewakili Taman Burung Taman Orkid, Rama-rama dan Herba yang juga termasuk dalam pakej island hopping di Kenyir. Dan yang menariknya, tarikan terbaharu iaitu Kenyir Water Park juga dipamerkan. Cayalah, Terengganu!

12. Pahang
Keterujaan bagi kaki travel pastinya menantikan Tahun Melawat Pahang 2017 nanti.
Dengan tema Hogoh Pahang, flotilla kali ini menonjolkan bagaimana Pahang bermula dengan sebuah pokok yang tumbuh di tebing sungai yang menyimpan rahsia tersendiri hingga ke hari ini. Pokok Mahang secara simbolik ialah nama asal negeri yang cukup bertuah ini. Kenapa bertuah? Pahang dirahmati dengan kepelbagaian biodiversiti yang sangat memukau yang pastinya cukup mengundang untuk sesiapa yang melihatnya. Hogoh Pahang!

13. Perbadanan Putrajaya
Perbadanan Putrajaya tampil dengan flotilla yang comel antara semua!
Retro Magic of Putrajaya jelasnya mempamerkan keunikan seni bina menara Putrajaya yang sangat ikonik! Empat menara yang diadaptasi daripada agensi kerajaan di Presint 4 menekankan konsep 'Adik-Beradik 4G (4 Gees). Apa maksudnya tu? Ha, kalau nak tau, 4G tu ialah empat pejabat kerajaan yang menempatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Keempat-empatnya berdiri di Jambatan Putra iaitu antara jambatan terawal dibina di Precint 1, Putrajaya.

14. Tourism Malaysia
Tourism Malaysia tampil dengan flotilla yang cukup meriah!
Siapa gadis atas flotilla yang meriah ni? Itulah Miss Sofia, ikon shopping di Malaysia sejak 1 Mac 2016 lalu. Reka bentuk flotilla ni diilhamkan daripada logo terbaru Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Ada hornbill dan juga rama-rama mewakili Taman Rama-Rama Kuala Lumpur, rumah untuk 5 ribu spesis rama-rama yang diiktiraf Discovery Channel! Turut kelihatan ialah Gunung Kinabalu, Bangunan Sultan Abdul Samad, KLCC selain turut dipamerkan tiga kempen membeli belah yang utama iaitu 1Malaysia Super Sale, The 1Malaysia Mega Sale Carnival dan 1Malaysia Year-End Sale. Nampak tak betapa Malaysia ini sebuah negara yang mewah untuk membeli-belah?!

Ha, dah tengok sendiri kecantikan flotilla-flotilla ni kan? Sekarang apa kata jalankan tanggungjawab korang sebab sebenarnya, ada pertandingan yang mana korang adalah penentunya! Pertandingan tu ialah Pertandingan Flotilla Paling Popular yang mana korang kena undi dengan LIKE gambar flotilla pilihan korang DI SINI ! Cepat sebab undian akan tamat pada 12 tengah hari 4 Jun nanti.

Kalau korang nak datang sendiri menyaksikan keajaiban malam ni boleh segera pergi sekarang sebab ia akan tamat pada 4 Jun jugak. Sesuailah untuk beriada dengan famili waktu cuti sekolah ni!

Tonton video Magic of the Night dalam video Eat.Travel.Doodle 2016! KLIK SINI (link belum tersedia)

Impian saya ini terlaksana terima kasih kepada majalah Gaya Travel. Ini adalah salah satu aktiviti sempena program Eat.Travel.Doodle 2016.

RELATED POSTS

4 komen

  1. menarik bukan. Tapi sayang kurang promosi Magic Of The Night tahun ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. betul. event macam ni perlu promosi kaw-kaw sebab sangat berpotensi sebenarnya tarik pelancong.

      Padam
  2. Balasan
    1. Moga jumpa lagi Magic of the Night 2017 pulak. Kita tunggu apa2 kejutan lain atau perubahan. Haha.

      Padam

Tinggalkan komen di sini.