Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

Jalan-Jalan di Aceh, Indonesia Part 1

10:21:00 PG Hasif Hamsyari 26 Comments Category : , , ,


Aceh sejujurnya memang salah satu destinasi yang dah lama ada dalam bucket list aku. Bandar yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah ni memang terkenal dengan banyak perkara. Antaranya keunikan budaya, keunggulan sejarah dan keindahan alam semulajadinya.

Jadi, bila dapat ditawarkan untuk ke sini, aku memang cukup teruja. Tak perlu masa yang lama pun untuk aku terus RSVP yang aku mahu menyertai trip yang satu ini.

Jadi inilah catatan aku tentang lokasi yang aku singgah dalam trip ini.

Day 1

Bandar Udara Sultan Iskandar Muda

Inilah sebahagian rupa lapangan terbang yang unik ni!
Lapangan terbang di mana-mana sekali pun bukan setakat pintu masuk, tetapi satu simbolik untuk memberikan impresi terbaik lagi-lagi untuk pelancong luar.

Dalam kes Bandar Udara Sultan Iskandar Muda ni, benar-benar memberikan impresi yang unik bagi aku. Mana taknya, aku belum pernah lagi melihat sebuah lapangan terbang yang bentuknya mirip senibina sebuah masjid - lengkap sekali dengan kubahnya!

Hal ini bertepatan dengan Aceh yang majoriti penduduknya beragama Islam. Staf yang ada di sini juga semuanya ramah dan fasiliti di sini juga dikira selesa.

Solong Coffee

Arah jam dari atas kiri: Inilah kopi yang popular di Aceh! ; Kudapan untuk minum tengah hari. ; Rupa kedai Solong Coffee.
Solong Coffee di Lampuneung ialah lokasi pertama yang aku singgah. Bagus juga disambut dengan secawan kopi yang terkenal di Aceh. Buat penggemar kopi, ini mungkin satu sebab untuk korang datang dan cuba sendiri kopinya.

Sebenarnya di sepanjang jalan di sini boleh jumpa banyak kedai kopi. Tak cukup tu, ada juga hidangan kudap-kudapan yang sesuai untuk menjadi sampingan atau minum petang.

Muzium Tsunami Aceh

Muzium tsunami Aceh dari luar.
Siapa sangka, tragedi tsunami 2004 memberi hikmah cukup besar untuk Aceh. Hari ni, ada banyak tarikan berkenaan tsunami yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam mahupun luar negara.

Salah satunya ialah Muzium Tsunami Aceh ini. Di sini, aku berpeluang mendapat pandangan lebih jelas lagi realistik akan sejarah ngeri yang mengorbankan lebih 170,000 penduduk wilayah ini.

Dari pandangan atas, muzium tsunami ni menyerupai gelombang ombak. Lebih menarik, dari pandangan bawah pula, ia kelihatan macam kapal penyelamat. Desain unik ini diilhamkan seorang arkitek bernama Ridwan Kamil.

Ada lima bahagian dalam muzium ini. Tapi tiga yang cukup terkesan bagi aku ialah
  • Space of Fear yang mana aku kena lalui satu jalan sempit dengan suasana cukup suram. Boleh dengar bunyi gemerecik air pagi. Ini dikatakan bayangan pagi sebelum tsunami menghentam Aceh.
  • Sumur Doa yang mana nama mereka terkorban diabadikan dengan bahagian siling tertulis kalimah Allah SWT siap diiringi bacaan ayat Al-Quran.
  • Satu ruangan yang mengibarkan bendera-bendera negara luar (termasuk Malaysia) yang membantu Aceh atas nama solidariti kemanusiaan terbesar dalam sejarah manusia.
Arah jam dari atas kiri: Space of Fear; Ruangan di mana bendera-bendera negara yang membantu digantungkan; ruang Sumur Doa yang cukup sayu dengan bacaan ayat suci Al-Quran.
Muzium ini sendiri dilengkapi dengan sistem yang mampu menjadikannya kukuh dan selamat sebagai pusat perlindungan sekiranya tsunami membadai kembali.

Rumah Makan Syiah Kuala

Atas: Rumah Makan Syiah Kuala dari luar. Bawah: Antara menu yang disajikan di sini.
Menjelang tengah hari, aku dan delegasi media dibawa menjamu selera di sini. Kedai makan dengan konsep ruang makan terbuka ini menghidangkan menu lokal yang pastinya menjadi sebab korang kena ke sini kalau ke Aceh.

Terletak di Jalan Syiah Kuala, Lamdingin, antara menu harus cuba ialah Ayam Kampoeng Panas, Ayam Gulai Lemak Kampoeng dan Asam Kepiting.

Kapal PLTD Apung

Arah jam dari atas: Kapal PLTD Apung dari luar; Informasi di sini bukan sahaja tentang kapal ini bahkan tragedi tsunami secara menyeluruh. ; Rupa ruang dalam kapal ini.
Perjalanan aku memahami bencana tsunami di Aceh diteruskan ke Kapal PLTD Apung. PLTD ialah akronim bagi Pembangkit Listrik Tenaga Diesel yang menjelaskan bahawa kapal ini membekal tenaga elektrik (sehingga 10,5 megawatt) dahulunya di wilayah Ulee Lheue, lokasi asal kapal ini.

Monumen bersejarah ini menjadi saksi dahsyatnya tsunami ketika itu sampaikan kapal sepanjang 63 meter, seluas 1 900 meter persegi dan seberat 2 600 ton ini terdampar sejauh 5 kilometer dari lokasi asalnya, membawa ia betul-betul ke tengah Banda Aceh.

Dari 11 orang anak kapal dan beberapa lagi orang di dalamnya, hanya seorang yang terselamat.

Aku sempat melihat dalam kapal dan menjejakkan kaki ke bahagian atas, meninjau suasana sekitar kawasannya. Sayu.


Masjid Raya Baiturrahman

Arah jam dari atas: Rupa terkini Masjid Raya Baiturrahman. ; Ruang dalaman yang cantik dengan seni Kesultanan Aceh. ; Ruang solat utama.
Tersenarai sebagai salah satu masjid tercantik di Indonesia, masjid ini menyimpan keunikan lebih daripada pesona kecantikannya semata-mata. Sejak 1612 masjid ini dibina, ia telah menyaksikan lembaran sejarah yang menjadikan Aceh hari ini. Dari zaman perang yang menyaksikan masjid ini dibakar hinggalah sewaktu tsunami melanda, masjid ini kekal kukuh dan menjadi lokasi cukup penting sepanjang zaman untuk penduduk Aceh.

Masjid ini baru siap renovasi Mei lalu dan wajah barunya menjadikan ia lebih luar biasa berbanding sedia ada. Ada 12 payung elektrik yang baru dipasang menjadikannya sekilas pandang mirip Masjid Nabawi di Madinah!

KLIK SINI untuk baca pengalaman aku di masjid ini dengan lebih banyak gambar.

Masjid Rahmatullah, Kampung 'Turki' Lampuuk 

Atas: Masjid ini sekarang turut menjadi sekolah agama untuk kanak-kanak di sini. Bawah: Antara struktur kesan daripada tsunami yang dikekalkan untuk tatapan pengunjung.
Inilah masjid yang menjadi viral sebaik tsunami surut, satu petanda kekuasaan Allah yang menyelamatkannya sebagai satu-satu bangunan yang masih tersisa walaupun jaraknya cuma 500 meter dari Pantai Lampuuk. Memikirkan ketidakmasuk akalnya memang boleh buat kita meremang - tiada asas logik yang boleh terlintas.

Sebelum tsunami, perkampungan di sini dihuni enam ribu orang namun yang terselamat dalam bencana itu cuma sekitar 700 orang.

Selepas tsunami, ini direnovasi dan diperbesarkan dan dua menara kembar ditambah. Demi memperingatkan kesan tsunami, ada beberapa sisi masjid yang sedikit terjejas dikekalkan.

Sekarang, selain tempat ibadah, masjid ini menjadi sekolah agama untuk kanak-kanak di kampung ini. Sempatlah aku merakamkan kenangan dengan mereka yang semuanya ramah dan ceria.

Sungguh, menziarahi rumah Allah yang satu ini memang ternyata menginsafkan. Kekukuhan masjid ini sedang ia tak jauh dari pantai di mana tsunami bermula memang satu keajaiban dan peringatan yang cukup menyedarkan.

Pantai Lampuuk

Atas: Pemandangan Pantai Lampuuk yang cukup mendamaikan. Bawah: Struktur bukit yang menjadikan pantai ini lebih cantik.
Tercatat sebagai salah satu kawasan pelancongan paling teruk terjejas semasa tsunami, Pantai Lampuuk hari ini walau bagaimanapun tampak makin pulih dari traumanya. Tragedi tsunami menambah sebab kenapa korang perlu ke sini kalau ke Aceh.

Tak banyak kesan tsunami yang nampak di sini tapi pemandangannya sememangnya luar biasa. Cukup cantik dan sangat tenang kala melihat matahari terbenam. Angin di sini memang cukup kuat dan ombak pun boleh tahan kuat. Tak hairanlah ia menjadi lokasi sukan surfing.

Ada beberapa chalet dan resort di sini dan ada juga kedai-kedai makan sekiranya mahu berehat dan sekadar menikmati pemandangan cantik di sini.

Rumah Makan L'Pante

Atas: Pemandangan menakjubkan matahari terbenam dari sini! Bawah: Makanan yang cukup menyelerakan untuk makan malam kami.
Untuk makan malam, kami singgah ke sini. Sebelum menikmati makanan lazat yang dah terhidang, aku dan beberapa rakan media sempat menghayati pemandangan matahari terbenam dekat sini. Memang cantik gila weyh!

Aku dimaklumkan yang rumah makan ni masih baru tapi lekas menjadi popular kerana menghidangkan menu makanan selera Aceh yang asli dan beraneka.

Selain tu, ruang solat turut disediakan.

NA Coffee

Arah jam dari atas: Bar yang memberi sentuhan hipster pada kafe ini. ; Secawah kafe latte yang cukup mengundang. ; Antara sudut yang memang cukup Instagram-worthy.
Indonesia sememangnya dirahmati dengan tanah cukup subur hingga setakat yang aku pergi, mesti popular dengan hidangan air kopi, termasuk di Aceh ini.

Kalau seawal sampai ke Aceh tadi aku dah rasa keenakan kopi Aceh, malamnya aku dibawa ke satu lagi lokasi yang nampak lebih sedikit moden, barangkali pilihan untuk korang yang suka sebuah restoran dengan konsep hipster. Salah satu ciri restoran yang hipster pada mata aku sebagai orang muda mestilah kena ada banyak ruang yang Instagram-worthy dan NA Coffee ni tak terkecuali.

Aku turut menyaksikan demonstrasi penyediaan kopi daripada barista berpengalaman di sini.

Hermes Palace Hotel

Rupa bilik tidur aku yang luas dan selesa.
Ini ialah hotel lima bintang yang boleh korang jumpa dan inap kalau di Banda Aceh. Ia terletak kira-kira 7km dari Muzium Aceh dan 4km dari Masjid Raya Baiturrahman.

Hotel dengan konsep moden ni memang cukup selesa. Biliknya dilengkapi dengan Wi-Fi percuma, TV, minifridge, tea dan coffeemaker dan room-service pun 24 jam. Ada kolam, spa, dewan dan ruang perjumpaan yang menjadikannya bukan setakat sesuai untuk merilekskan diri, tapi sesuai juga untuk kunjungan korporat.

Sebab aku dah penat sebab seharian berjalan tambah pulak tak tidur menunggu penerbangan di KLIA2 tadi, aku tak fikir panjang. Lagipun, esok ada banyak lagi aktiviti best. Masa untuk tidur!

Pilih entri tentang perjalanan aku ke Aceh: PART 1 - PART 2 - PART 3
___________________________________________________
Entri ini terhasil dengan kerjasama daripada Wonderful Indonesia dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur. Terima kasih!

RELATED POSTS

26 komen

  1. Bila baca aceh , terus rasa nak baca . bandar bersejarah tsunami kan . Alhamdulillah sekarang dah membangun balik . suatu hari nak juga pergi melawat

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah.. Kalau pergi ke sini mesti akan rasa semangat mereka dalam membangunkan kembali tanah mereka yang dulu macam padang jarak padang tekukur!

      Padam
  2. tak sangka kan tempat yang pernah musnah dulu ada tempat cantik cantik macam gambar kat atas. terus rasa nak saving dan melawat acheh.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah.. mereka banyak belajar dari tragedi dulu dan makin bersemangat membina hidup baru. :)

      Padam
  3. Cantiknya muzium dia, nak masukkan dalam bucket list jugakla. Solong Coffee menarik, terasa nak cuba.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Muzium Tsunami memang sangat luas dan cantik. Saya bukan peminat kopi tapi rasanya boleh tahan sedap juga! ;)

      Padam
  4. Bestnya dapat jalan merata-rata dah jauh lak tu hehehe makan sedap tempat cantik tung badan satu hari nak juga lah jalan macam...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hihi.. dekat je bang. InsyaAllah, nanti abang pun mesti kena jalan2 juga!

      Padam
  5. Teringin nak pergi ke Aceh... Baca artikle ini, banyak memberi kesan yang mendalam terutamanya tentang tragedi Tsunami yang berlaku dulu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau pergi ke sini lebih mendalam lagi bro, kesannya. Memang cukup menginsafkan. T_T

      Padam
  6. Waa bestnya dapat jejalan kat sana. Sis teringin juga nak p sana nak cuba makanan Aceh. mcm sedap..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Makanannya boleh tahan sedap juga. Tapi saya rasa yang lagi best tentang Aceh ialah tempat tarikan dia yang memang memukau!

      Padam
  7. Teringinnya nak pi ke Aceh. Tengok gmbar pantai-pantai dia pun boleh tahan cantik kan...
    Part yg muzuim tsunami tu macam sayu ja kan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pantai di sini cantik kak! Entri akan datang saya akan share pula tentang pulau-pulau yang memang terkenal untuk snorkeling dan diving. Ya, dan muziumnya memang cukup menghibakan.

      Padam
  8. Seronoknya dapat melihat keindahan negara luar

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah... Lagi-lagi di bumi Aceh ini memang cukup membuka mata kita dengan kekuasaan Dia.

      Padam
  9. Banyaknya tempat menarik di Aceh. I plan to go there for holiday next year.

    BalasPadam
  10. Beruntungnya dapat berjalan merata tempat dn mempelajari budaya dn menikmati keindahan tempat tersebut.
    Kalau sis ada peluang pun..mmg teringin nak ke Aceh ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah, moga suatu hari nanti sis pun sampai ke sini. Seronok. sambil melancong dapat belajar sesuatu di sini. :)

      Padam
  11. tempat yang menarik dan penuh dengan informasi.. abah akak pernah sampai sini dan katanya memang terkesan tgk peninggalan tsunami kat sana..

    thanks for the sharing.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, betul tu. Moga nanti you pun sampai ke sini. :)

      Padam
  12. Melawat Muzium Tsunami pasti membuatkan saya menangis apabila mengenangkan musibah mereka. Pasti jua membuatkan kita makin bersyukur dengan kehidupan.

    BalasPadam
  13. Bestnya jalan-jalan. Tak dapat pergi acheh tapi baca cerita pasal acheh pon jadilah ☺

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah suatu hari nanti mesti sampai juga. Aminnn...

      Padam

Comment