Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

Jalan-Jalan di Aceh, Indonesia Part 2

5:07:00 PTG Hasif Hamsyari 4 Comments Category : , , ,


Day 2

Hari kedua kalau nampak dalam itinerary yang diorang bagi memang tak kurang menarik! Sebab tu masing-masing malam tadi macam tak tenang tidur sebab teruja bukan main. Haha. Kali ni, kami ke pulau paling Barat di Indonesia, Pulau Sabang!

Pelabuhan Ulee Lheue

Arah jam dari atas kiri: Inilah bot Expres Bahari yang aku naik; Tiket yang berharga 100,000 Rupiah; Captain on duty! Haha; Inilah momen masa nampak ikan lumba-lumba tu!
Untuk ke Sabang, aku dan rakan media kena ke Pelabuhan Ulee Lheue ni untuk menaiki bot ekspres. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam. Bot yang selalunya menjadi pilihan baik dari lokal dan pelancong ialah Express Bahari.

Aku dapat VIP Room yang harganya 100,000 Rupiah (lebih kurang RM32). Lebih selesa, berpendingin hawa dan siap set TV.

Aku sempat meninjau ke dek open-air bahagaian atas ni yang ada ramai lagi penumpang lain. Cuma agak panas sikit. Tapi pemandangan terbuka macam ni sebenarnya lagi best.

Bilik VIP pulak dekat dengan ruang kapten kapal jadi aku dapat izin untuk ke bahagian tu jugak. Haha. Merasalah kemudi bot ni dan meninjau laut yang membiru dari bahagian tepi tu. Tapi sememangnya aku takkan lupakan masa kat sini, pertama kali aku melihat ikan lumba-lumba di habitat liar secara langsung!

Cuma aku dan rakan media lain tak sempat nak tangkap gambar sebab laju sangat. Adalah dalam tiga ekor.

Sebab tu aku nak bagi tips kalau naik bot ni, cubalah jangan tidur sepanjang perjalanan dan tinjau-tinjaulah ke luar tingkap korang. Mana tau ada rezeki boleh nampak dolfin ni jugak?

Tugu I LOVE SABANG

Atas: Inilah tugu yang cukup ikonik di Sabang! Bawah: Ruang untuk menikmati keindahan menakjubkan dari taman tugu ini.
Dibangunkan sejak 2015, ikon Sabang ini memang menjadi satu kewajipan kalau ke Sabang. Spot yang cukup perfek kalau korang nak bergambar kenangan atau bukti dah menjejakkan kaki ke sini.

Tak sekadar bergambar kenangan, aku cukup kagum dengan pemandangan dari tugu di atas bukit ni. Sebelah kiri akan nampak Danau Aneuk Laot manakala sebelah kanan terbentang teluk Sabang dan pergunungan Iboih yang mempesonakan.

Aku dimaklumkan yang tempat ni juga antara spot melihat matahari terbenam yang cantik kat sini!

Putro Ijo

Arah jam dari atas: Pemandangan sebaik sampai di sini; Dengan penyambut tamu, si burung helang; Ada banyak kolam ikan patin di sebalik pokok-pokok kelapa tu.
Putro Ijoe ni ialah persinggahan untuk makan tengah hari aku. Sama macam di Banda Aceh, makanan di sini macam masakan Padang. Ada banyak menu dihidangkan.

Lebih daripada tu, tempat ni memang cantik. Ada barisan pokok kelapa yang tersusun dan banyak kolam ternakan ikan patin. Betul-betul suasana kampung yang cukup ideal. Ruang untuk bersolat juga disediakan.

Tak cukup dengan tu, restoran ni juga terletak di sebelah Danau Aneuk Laot yang cukup menenangkan.

Danau Aneuk Laot

Beginilah pemandangannya yang menakjubkan!
Tasik yang menjadi sumber mata air bagi penduduk Pulau Weh ni memang lokasi terbaik untuk aku tenggelam layan perasaan beb. Sebab suasana dia memang menenangkan. Cantik pun cantik. Udaranya pun memang cukup menyamankan.

Aku ada buat kajian sikit dan terjumpa sesuatu yang agak dekat dengan sejarah negeri aku sendiri Melaka.

Danau Aneuk Laot ni pernah menjadi sumber Laksamana Cheng Ho mendapatkan persediaan air sebelum meneruskan pelayaran ke Afrika. Dalam erti kata lain, Pulau Weh ini memang pernah menjadi tempat persinggahan Cheng Ho.

Ada bukti parit yang digali masih wujud di sini namun parit itu tidak sempurna di Lueng Cina. Dikatakan pengikut Cheng Ho tanpa sengaja menebas hingga putus seekor ular dalam menyiapkan parit itu lalu segera ia dibatalkan. Ular pada budaya Cina waktu itu dikatakan makhluk yang dihormati.

Antara lain, Cheng Ho dikatakan turut mengembangkan dakwah Islam, belajar strategi perang, membuat senjata dan belajar mengaji di Sabang.

Gua Sarang

Antara panorama-panorama sekitar Gua Sarang yang cukup memukau.
Gua Sarang ni antara tarikan terbaru juga di sini. Ia disebut-sebut sebagai 'Raja Ampat' Aceh. Tak tau apa istimewanya Raja Ampat yang juga di Indonesia ni? Boleh Google sendiri. Haha. Raja Ampat ni memang salah satu lokasi impian aku jugak. Cuma belum ada rezeki.

Apa yang menarik tentang Gua Sarang ni ialah ia terletak antara laut yang sedia maklum cun gila dan gunung.

Sebelum ke Gua Sarang, aku nampak ada satu spot yang memang sangat cool. Ada buaian menghadap pemandangan luar biasa lautan yang membiru.

Perjalanan ke Gua Sarang kena menuruni gunung ni. Tangga disediakan tapi agak banyak juga anak tangganya. Tak cukup tu, kena lalui laluan berbatu di tebing laut sebelum nanti akan nampaklah sebuah kawasan yang memang cantik sangat! Maknanya korang dah sampailah lokasi yang dituju. Memang berbaloi penat lelah!

Untuk pulang, kena lalu semula jalan yang sama. Dalam erti kata lain, kena daki pula anak tangga. Aduhai! Mujur atas tu ada warung kecil, boleh dapatkan minuman sejuk kalau kehausan. Haha.

Tugu Nol Kilometer Indonesia

Satu lagi tugu yang cukup ikonik selain Tugu I LOVE SABANG.
Ini satu lagi lokasi pelancongan yang akan menjadi satu penyesalan kalau tak singgah. Tugu Nol Kilometer inilah titik paling barat di Indonesia di mana pengiraan kilometer di Indonesia bermula. Korang yang berjaya sampai ke sini akan dapat sijil sebagai bukti. Macam aku dah dapat!

Ia dirasmikan pada 1997 oleh wakil Presiden Republik Indonesia ketika itu iaitu Bapak Try Sutrisno.

Sewaktu aku datang, mereka masih dalam proses membaik pulih dan membesarkan tugu ni. Tapi kalau dah siap, aku yakin mesti cun dan lebih ramai lagi pengunjung di sini.

Ada beberapa kedai makan dan cenderahati. Aku sempat merasa rojak buah dengan air kelapa sambil menikmati angin laut di sini. Oh, sebab ia di tebing gunung, pemandangan lautnya memang cantik tak terungkap!
Dekat sini ada satu spot yang memang cukup cun nak bergambar tapi silakan berhati-hati!

Sabang Fair

Melihat keindahan matahari terbenam di Sabang Fair.
Matahari terbenam memang momen yang aku suka. Mujur dalam itinerary trip kat sini memang disertakan sekali. Semalam di Banda Aceh, hari ni di Pulau Weh.

Salah satu spot yang terbaik untuk menikmati matahari terbenam ialah di Sabang Fair ni, tak jauh dari Pantai Kasih yang tak kurang cantiknya.

Sabang Fair ni selalunya memang ramai orang. Masing-masing datang ke sini atas satu tujuan iaitu nak melihat matahari terbenam, tak kira sama ada dengan kawan ke, kekasih ke mahupun keluarga. Untuk photo traveller pun, ini boleh jadi spot yang best untuk halakan kamera masing-masing.

Kencana Cafe

Kiri: Muka depan Kencana Cafe. Kanan: Antara menu yang aku cuba.
Masa untuk makan malam! Aku dibawa ke Kencana Cafe, salah satu restoran pilihan ramai kalau ke Sabang. Bahkan, kafe ni pun pernah menerima kunjungan daripada Presiden Jokowi sekitar Mac 2016.

Menu di sini ialah makanan Jawa menjadikannya lain daripada kedai makan yang ada. Antara menunya ialah sayur kangkung, tauhu, tempe goreng dan beberapa lagi menu yang tampak sangat ringkas tapi sedap!


The Point Sabang

Rupa di sekitar bilik aku.
Okey, dah penat berjalan dengan cuaca panas yang agak menyengat jugaklah. Untuk malam ni, aku menginap di The Point Hotel. Ini salah satu penginapan yang kerap menjadi pilihan kalau ke Sabang. Ia terletak di hujung selatan Pantai Sumur Tiga (yang aku akan pergi esok). Ini jugaklah resort paling besar di Pulau Weh! Apa yang lagi best, bilik aku menghadap pemandangan laut yang cukup nyaman!

Kalau hari-hari bangun pagi dengan pemandangan macam ni mesti 'syurga'!
Pemandangan awal pagi dari bilik aku.
Sejujurnya, kemudahannya kira asas. Taklah eksklusif tapi masih kira selesa. Bilik ada pendingin hawa, pemanas air, TV semua. Okey sangat untuk menginap di sini. Kafe pun tersedia. Dan ruangan kafe ni Wi-Fi kuat, jadi malam tu kitorang lepak kejap kat sini. Ambil angin malam sambil kemaskini Instagram. Haha.

Pilih entri tentang perjalanan aku ke Aceh: PART 1 - PART 2 - PART 3
___________________________________________________
Entri ini terhasil dengan kerjasama daripada Wonderful Indonesia dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur. Terima kasih!

RELATED POSTS

4 komen

  1. teringat pulak moment kat sana. best gila kat sabang. Air jernih dan cuaca tak panas..

    BalasPadam
  2. Makan hati tengok! Ah The Point Sabang seems like a cool place to stay je

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ahaha.. One day Pojie mesti sampai jugakkk. Yup, The Point pemandangan dia cun!

      Padam

Comment