Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

6 Idea Hotel Hopping di Macao yang Awesome!

1:05:00 PG Hasif Hamsyari 32 Comments Category : ,

Kalau korang membayangkan sebuah bandar yang ideal, yang bersih dan cantik di mana bangunan moden dan mewah berdiri seiring bangunan lama dan bersejarah, bercutilah ke Macao. Pasti tak mengecewakan!

Bandar yang sering disebut sebagai Las Vegas of Asia ini jugak rupanya ada banyak tarikan yang bukan setakat unik, bahkan mengujakan! Dari Paris ke Venice, segalanya ada 'bahagian' tersendiri di Macao.

Dan kalau ditanya apa aktiviti menarik di Macao, salah satu yang wajib mestilah hotel hopping! Macao cukup kaya dengan hotel mewah sehinggakan ada kawan beranggapan satu kekurangan kalau tidak menginap di salah satu antaranya kalau ke Macao. Tapi memandangkan harganya yang mahal, cukup berbaloi dah kalau buat hotel hopping!

Nope! Hotel hopping bukanlah membosankan seperti yang ramai bayangkan sebab setiap hotel ada tarikan yang pasti akan buat korang tersenyum, tergamam dan terasa mewah. Eh! 

Berikut aku nak cadangkan antara lokasi untuk hotel hopping yang sempat aku singgah dalam trip ke Macao baru-baru ini.

1. The Parisian Macao

Pemandangan daripada bawah replika Eiffel Tower.
Pemandangan Eiffel Tower yang besarnya separuh daripada saiz asal memang takkan dapat dielakkan kalau ke Macao. Justeru, mana mungkin lokasi ini boleh terlepas daripada senarai 'wajib singgah'?

Aku berkesempatan berkunjung sendiri ke Eiffel Tower ini dan alang-alang dah sampai, mestilah kena naik sampai ke dek tinjau di tingkat 37! Dari atas ini, korang boleh menikmati pemandangan 360 darjah di sekitar Macao dan melihat sendiri sepanjang Cotai Strip yang popular!
Dari kiri: Tiket masuk; Pintu ke Eiffel Tower Macao dari Shoppes at Parisian.

Atas:Pemandangan resort dari Tingkat 37 Eiffel Tower Macao. Bawah: Pemandangan Cotai Strip.
Di sini juga ada pertunjukan cahaya setiap hari bermula jam 6.15 petang hingga 12 tengah malam dengan diiringi muzik setiap 15 minit.

Percaya atau tak, Eiffel Tower ini cuma sebahagian daripada hotel resort The Parisian Macao. Di bawah bumbung The Parisian Macao ini ada lebih kurang tiga ribu bilik termasuk suites, ruang mesyuarat dan dewan, restoran antarabangsa, kelab kanak-kanak, kelab kesihatan, spa, kolam renang dengan taman tema air selain panggung teater yang boleh memuatkan 1 200 orang!
Sekitar kawasan The Parisian Macao yang cukup eksklusif.
Ini antara lokasi yang akan buat korang terpegun dengan dekorasi luar biasa mewah di bahagian luar dan dalamnya yang tepu dengan pengaruh seni reka Perancis. Untuk nota, The Parisian Macao ini terinspirasi daripada magis "City of Light".

Luangkan masa juga untuk berjalan di Shoppes at Parisian! Lebih daripada window shopping, pastikan korang amati betul-betul lelangit mall yang merupakan imej langit membiru janaan komputer. Di setiap pertukaran waktu, imej jam mewah akan menghiasi ruang langit ini. Mengagumkan betul!
Persembahan tarian di bahagian lobi.
Shoppes at Parisian yang cukup cantik!
Harga tiket ke dek tinjau Eiffel Tower Tingkat 7 & 37
Dewasa: MOP100 (kira-kira RM49)
Kanak-Kanak: MOP80 (kira-kira RM39)
Pakej Keluarga 2 Dewasa 2 Kanak-Kanak: MOP288 (kira-kira RM140)

Waktu Perkhidmatan: 11 pagi hingga 11 malam (bergantung keadaan cuaca; kemasukan akhir 10.30 malam)

Laman Web: www.parisianmacao.com

2. Studio City Resort

Pemandangan dari taman di Studio City.
Terletak di Cotai, Macao, Studio City Resort adalah resort yang pertama di Asia menggabungkan elemen produksi televisyen dan filem dalam kemudahan, permainan, kedai dan hotelnya sendiri. Dengan kos US$2 billion, resort ini secara rasminya dibuka pada 2015.

Aku memilih Entertainment Pass 'Ride and Fly' yang harganya MOP200 (kira-kira RM98) untuk Batman Dark Flight dan Golden Reel.
Pintu depan Batman Dark Flight yang akan terus membawa ke dalam Wayne Industries.
Batman Dark Flight antara bahagian yang aku paling suka. Tak kisahlah korang minat pada superhero Batman atau tak, aku yakin mesti ramai antara korang akan suka jugak.

Batman Dark Flight ialah simulator penerbangan 4D daripada superhero DC Comics yang pertama di dunia. Aku dan pengunjung yang lain seolah-olah dalam misi evakuasi Gotham City dengan dieskort oleh Batman sendiri. Sepanjang perjalanan inilah kami berjumpa dengan watak villains yang terkenal macam Joker dan Harley Quin!

Pengalaman dia memang cukup rare - serius tak tipu. Terasa cukup realistik! Rakaman di bahagian dalam tidak dibenarkan jadi kalau nak tahu, kena alami sendiri kat Studio City ni.

Golden Reel pula ialah permainan roda Ferris berbentuk lapan yang pertama di dunia. Dan ia juga direkodkan sebagai yang tertinggi di Asia dengan ketinggian 130 meter! Terletak di antara dua menara berkembar resort, Golden Reel ini juga memiliki 17 kabin yang setiap satunya boleh memuatkan 10 orang dalam satu-satu masa.
Komen aku, ia sememangnya pengalaman cukup unik. Dari atas ini, aku dapat lihat pemandangan sekitar Macao dari angle yang berlainan. Dalam kabin siap ada lantai kaca yang tembus pandang jadi kalau korang berani, boleh je berdiri dekat atas tu! Hehe.
Suasana di dalam gondola.
Good to know: Kalau ada masa lebih, cuba juga Warner Bros. Fun Zone yang mana korang boleh nikmati taman tema berdasarkan DC Comics dan Looney Tunes.

Beli tiket atas talian di studiocity-macau.com .

3. MGM Cotai

∞Harmony karya Wang Kaifang menampilkan gerakan sutera dengan menggunakan 24 tan besi tahan karat dan 80 ribu helaian daun emas 24k!
Dengan menelan belanja US$3.4 billion, MGM Cotai adalah satu lagi produk mega daripada MGM di China yang baru dibuka pada Februari 2018. Dan apa yang membuatkan hotel ini lain daripada yang lain ialah ia menampilkan tarikan seni dan hiburan. Bayangkanlah, ada 300 karya seni di dalam bangunan berbentuk kotak mekap ini.

Tambah menarik lagi, tema yang dibawakan ialah menyatukan Timur dan Barat, tradisi dan teknologi - Dunia yang Terjalin Melalui Seni. Jangan terkejut tapi MGM Cotai juga ialah salah satu penyimpan koleksi seni terbesar yang kekal di Macao!
Antara sudut skrin LED yang di Spectacle.
Episentrum kepada hotel unik ini sudah semestinya Spectacle - ruang tertutup setinggi empat tingkat dengan 25 skrin LED kekal terbesar di dunia. Di setiap skrin ini pula menampilkan karya-karya seni digital dari artis-artis terkenal dunia termasuklah Garth Williams, Rob Kesseler dan Wolfgang Stuppy. Ia dipaparkan dengan menggunakan studio Obscura Digital yang menggabungkan elemen teknologi inovatif dengan kesenian sebagai memberi pengalaman cukup eksotis kepada setiap yang memandang.
Water in Drippling - Rippling karya Zheng Lu yang mengangkat subjek percikan air yang melawan kontras pergerakan, jisim berat, cahaya dan statik.
Antara tiga karya dari Imperial Workshops of Beijing. Arah jam dari kiri: Nine Dragons and the Eight Auspicious Symbol; Om Mani Padme Hum; The Golden Palace.
Dari kiri: Rise of Sentient Being karya Lin Guocheng; Eight Views of Macau karya Xue Song.
Arah jam dari kiri: Antara chocolate fountain tertinggi di dunia di Janice Wong MGM; Terpesona dengan keluasan Spectacle yang memukau; Antara sudut dengan tumbuh-tumbuhan segar.
Tak cukup dengan tu, MGM Cotai juga memiliki taman bunga tertutup terbesar di dunia yang disebut Nature's Art di Spectacle. Di sini nanti akan menghimpunkan dua ribu koleksi spesis tumbuh-tumbuhan termasuk 200 spesis orked dan beberapa spesis yang sudah pun pupus dari abad ke-19 dan ke-20! Macam kedengaran tak masuk akal, tapi di MGM Cotai, ia bukannya mustahil!

Selain koleksi seni karya agung macam lukisan dan seumpamanya, MGM Cotai turut gah dengan seni kulinari, membawakan restoran daripada chef terkemuka di dunia termasuklah Chef Mauro Colagreco (Grill 58), Chef Mitsuharu Tsumura (Aji) dan Janice Wong (Janice Wong MGM) yang memiliki salah satu chocolate fountain terbesar di dunia!

Walau bagaimanapun, aku sempat menikmati makanan di Restoran Coast daripada selebriti Chef Graham Elliot daripada rancangan terkenal Top Chef dengan menu makanan California kontemporari.
Muka depan Restoran Coast dan antara makanan yang aku nikmati. Bawah dari kiri: Shrimp Taco with Mango Salsa & Shredded Coconut; Charred Octopus with Crushed Potato & Salsa Verde; Macanese Tiger Prawn Curry.
Justeru, kalau korang pencinta karya seni termasuklah seni kulinari, MGM Cotai semestinya takkan mengecewakan korang!

Ketahui lebih lanjut tentang MGM Cotai di www.mgm.mo/en/cotai/.

4. The Venetian Macao

Bergambar dengan Armillary Sphere di bawah kubah dengan lukisan 'Four Heroic Episodes'.
Kalau korang peminat drama Korea, ketahuilah bahawa di sinilah penggambaran drama tersohor Boys Over Flower dilakukan! Kalau tak ingat, ini antara karya daripada Korea Selatan terbaru yang menggunakan latar tempat di The Venetian Macao (dan The Parisian Macao juga); lagu New Face nyanyian Psy.

The Venetian Macao yang juga resort bersepadu pertama di Macao, pada pandangan aku ialah salah satu spot paling Instagrammable korang akan jumpa. Ia juga tercatat sebagai antara tujuh bangunan dengan keluasan lantai paling besar di dunia, iaitu kira-kira 980 000 meter persegi!

Jadi, bersiap sedialah untuk sesat dalam kerumunan manusia kalau korang masuk ke sini. Haha.

Sebaik masuk ke dalam bangunan ini, aku terpukau dengan desain lobi yang cukup megah dan mewah, terutama lukisan dalam kubah (dome), 'Four Heroic Episodes' salah satu karya agung Giambattista Tiepolo. Di bawah kubah ini pula ada replika Armillary Sphere yang pernah digunakan berabad lamanya untuk kajian tentang langit dan angkasa lepas. Dan ini cuma sebahagian antara mercu tanda di dalam bangunan ini!

Salah satu lagi port yang cukup mengagumkan ialah di sebuah terusan sungai buatan yang menyerupai terusan semulajadi di Venice, Italy. Untuk pengalaman lebih unik dan jika mempunyai masa, naiklah gondola unik yang akan membawa korang ke sekitar kawasannya. Sambil itu, pendayung gondola akan bernyanyi lagu klasik Itali sekali gus memberi aura seolah-olah berada di Venice!

Oh, dan mirip macam The Parisian Macao, bumbung The Venetian Macao juga dihiasi dengan 'langit' janaan komputer yang tak kurang memukau.
Shoppes at Venetian yang menjanjikan pengalaman beli belah yang cukup unik!
Aku sempat menikmati makan tengah hari di salah satu restoran kat sini iaitu The Golden Peacock. Ini adalah restoran India pertama yang dianugerahkan satu bintang Michelin di Asia. Buat yang tak tahu, bintang Michelin adalah penarafan bintang untuk restoran-restoran di dunia yang meletakkan pengiktiran antarabangsa.
Rupa luar dan dalam Restoran The Golden Peacock.
Lebih lanjut tentang The Venetian Macao, layari www.venetianmacao.com.

5. Ponte 16 Resort

Syok pula main G Racing Simulator di Ponte 16.
Sebagaimana resort-resort lain yang aku pergi dalam senarai ni, Ponte 16 Resort pun tak kalah dengan keunikannya sendiri sebagai resort berkelas dunia.

Di bawah Ponte 16 Resort ini ada hotel lima bintang iaitu Sofitel Macau, tujuh restoran dan bar dan empat tarikan untuk hiburan iaitu G Racing Simulator, Angry Bird Play Center, Gift Gallery dan The 16 Foot Massage.

Aku sempat mencuba permainan G Racing Simulator. Agak mengejutkan sebab aku bukanlah penggemar sukan lumba kereta pun tapi aku suka dengan thrill dia, apalagi bila berlumba dengan kawan-kawan kan! Dan hasilnya, untuk percubaan pertama, aku berada di kedudukan nombor dua daripada tujuh.

Kira pencapaian peribadi jugaklah untuk aku! Haha.

G Racing Simulator di Ponte 16 ini ialah satu-satunya fasiliti perlumbaan secara virtual yang ada di Macao, mengambil signifikan penganjuran sukan paling dinanti-nantikan saban tahun di Macao iaitu The Macao Grand Prix. Ada 16 stesyen yang memberikan aku dan geng pengalaman cukup menakjubkan seumpama berlawan di litar sebenar dengan paparan skrin berkualiti 4K!
Angry Birds Play Center yang bakal dibuka tak lama lagi.
Selain itu, aku sempat menjadi antara yang pertama melawat Angry Birds Play Center. Ini ialah satu-satunya taman permainan daripada inspirasi permainan mudah alih Angry Birds di Macao. Untuk kanak-kanak, tempat ini cukup sesuai, seronok dan selamat.

Angry Birds Play Center dijangka akan dibuka kepada umum bila-bila masa dalam tahun 2018 ini juga.

Lagi informasi tentang Ponte 16, layari www.ponte16.com.mo/en/.

6. Macau Fisherman's Wharf

Jalan-jalan di sekitar Macau Fisherman's Wharf.
Terletak cuma 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Macao, lokasi ini sebenarnya bukan hotel. Ia adalah sebuah kompleks yang memiliki tiga hotel iaitu Legend Palace Hotel, Rocks Hotel dan Harbourview Hotel selain ruangan pameran dan konvensyen, pangkalan kapal persiaran, kemudahan pusat membeli belah dan restoran.

Semestinya ini juga antara spot yang aku ingin rekomenkan sebab ketiga-tiga hotel ada keunikan tersendiri.
Muka depan hotel yang aku inap, Legend Palace Hotel.
Sepanjang aku di Macao, aku menginap di Legend Palace Hotel, sebuah hotel deluxe lima bintang yang bersebelahan dengan salah satu tarikan Macau Fisherman's Wharf ini iaitu replika Roman Amphitheatre yang terdapat di Rome. Ia menyediakan dua ribu tempat duduk dan menjadi spot cukup santai untuk persembahan seperti tarian dan konsert.

Rocks Hotel memiliki daya tarikan era Victoria seperti di abad ke-18 manakala Harbourview Hotel pula megah dengan desain Prague juga pada abad ke-18.

Lebih informasi tentang Macau Fisherman's Wharf, layari http://www.fishermanswharf.com.mo/en/.

Itulah antara pengalaman hotel hopping aku di Macao. Seperti yang korang dah baca, Macao serba-serba mewah dengan banyak pengiktirafan 'pertama atau terbesar di dunia'. Sebab itu, pengalaman percutian korang akan lebih unik di Macao!

Entri ini terlaksana dengan kerjasama Macao Government Tourism Office. Segala pandangan penulis bukanlah mewakili pandangan penganjur.

RELATED POSTS

32 komen

  1. Ahh jealous. Bella cuma pergi 3 tempat yg ada dalam list ni. Bella suka MGM tu, makanan di restaurant dia sedap. And of course, Venetian mmg awesome. Berangan ada Lee Min Ho dekat bridge tu, Hehehe.. Masuk casino tak? :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hari tu dapat rasa satu restoran je kat MGM tu. But really interesting lah sebab makanan Californian kan. And Venetian tu rasa nak lagi lama je. Banyak sangat spot yang best-best!

      Padam
  2. Tak pernah tau Macao ada tempat-tempat menarik ni. Kagum kejap lah baca entri ni. Macam travel satu dunia je rasanya kalau ke Macao ni. Paling teruja nak try Ferris 8 tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hahaha. Kan! Saya pun mula-mula tak sangka banyak boleh 'jelajah' di Macao ni! Dan, ya, Golden Wheel tu memang cukup rare dan mesti cuba!

      Padam
  3. biasanya kalau dengar lokasi percutian di macau ni, orang mesti akan teringat dengan kisah kisah perjudian kan?? tapi sekarang macau merupakan salah satu destinasi yang dipilih untuk bersantai bersama kwn2 dan keluarga.. btw, nice photo captured!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang tak dinafikan tapi Macao juga ada banyak lagi alternatif untuk pelancong Muslim! Percutian berkeluarga pun sebenarnya cukup seronok di Macao! ;)

      Padam
  4. dah 3 kali ke macao dan tak pernah jemu. suka hotel dia sebab menarik! time pergi haritu hotel eiffel tu tengah buat sekarang tak sangka dah siap

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hihi. Banyak lagi tarikan baru ni bang! Maknanya kena pergi lagi tu. XD

      Padam
  5. Macau adalah dream place akak selain Hong Kong...bestnya kalau dapat pergi...memang banyak destinasi menarik kat sini...tgok gambar2 Hasif pun akak dah berkobar2 nak pergi ni...best nyaaa

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah semoga suatu hari nanti akak pun sampai ke sini ya! Memang berbaloi sangat kak. Experiencennya memang cukup unik!

      Padam
  6. Bre, terbaiklah gambar dan description. Dah macam aku berada kat Macao, tengah google utk jalan-jalan kat sana mlm ni je..serius cantik. Ingatkan Macao ni takde apa pun..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hihi. Terima kasih, bro! Kalau ada rezeki, datanglah ke Macao! Banyak lagi sebenarnya yang menarik pasal Macao ni. Memang cukup seronok lagi-lagi kalau travel dengan member-member.

      Padam
  7. Wow! I am speechless, hasif. Beruntung dpt berjalan & tgk negara org. Alhamdulillah. Aoda kagum dgn setiap tempat yg Hasif cerita kan. Aida ni suka berjalan, maka, membaca sambil simpan impian utk sampai sana. Tq for sharing.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah... Terima kasih ya! InsyaAllah saya akan kongsikan lagi antara tempat lain yang saya singgah dalam entri akan datang. Moga-moga Aida pun sampai ke sini juga nanti. :D

      Padam
  8. Seronoknya dapat tidur enam hotel popular dan cantik kat Macao ni jelous kita nak pergi sana pun tak kesampaian lagi hehehe bilalah nak pergi yer sana...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Eh, saya tidur di Legend Palace Hotel tu je, Abang Maha. Hihi. Yang lain tu cuma singgah sekejap2 je. Nama pun hotel hopping kan? XD

      Padam
  9. Oh how I miss Macau. Been years since my last trip. The hotels are amazing, the architecture very intricate. They take pride in their hotels and services. A great place for a hotel experience

    BalasPadam
    Balasan
    1. They surely did. This is actually my first time doing hotel hopping and Macao definitely make it much more unforgettable for an obvious reason - all the hotels are amazing!

      Padam
  10. terpegun tengok kecantikan dan keindahan senibina bangunan-bangunan tu. macam-macam tarikan menarik ada di Macau kan. ok.. masuk dalam wishlist siap2

    www.maisarahsidi.com

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hihi. Betul tu. Ini baru hotel hopping! Saya akan share lebih lagi dalam artikel akan datang. Nanti kan ya! ;)

      Padam
  11. Alahaiii..tengok gambar-gambar kat Macau ni terasa nak pergi lagi. Masa sis ke sana dengan kengkawan..memang seronok sangat. Yang best kebanyakkan building dia cecantik. Bila malam fuhh lagi lah cantik, masing2 berlumba2 nak cantikkan bangunan memasing. Rasa cam nak pergi lagi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Haah betul tu! Malam sebenarnya lagi hidup kat hotel2 ni! Pergilah lagi, mesti banyak tarikan baru akan dibina. Macao memang cukup exciting!

      Padam
  12. I am so happy that I can say I visited most of the places you had been to last year...although I wish to visit macao again for the MGM Cotai, coz it wasn't around yet when i visited the place...

    BalasPadam
    Balasan
    1. MGM Cotai is too new. I guess you should plan a next trip to Macao to experience it more! Hehe.

      Padam
  13. Alah dah mula rindu Macao pulau. Haritu just pergi sana 2 day je dari HongKong. Sempat visit beberapa tempat termasuk Venetian tu. Lepas ni kalau pergi sana lagi, nak visit tempat lain pulak.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hihi.. InsyaAllah, kalau ada rezeki datanglah ke Macao lagi dan experience lebih lagi. Memang berbaloi dan seronok! :D

      Padam
  14. Bestnya hasif dah sampai macao. Macao ni salah satu tempat yang ada dalam travel list emi. InshaAllah ada rezeki nanti boleh ke sana

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah... Moga-moga Emi pun akan sampai ke sini juga ya! Banyak sebenarnya tarikan di Macao yang cukup exciting! :D

      Padam
  15. Menarik sgt hotel2 ni. Betul tu setiap hotel ada tarikan tersendiri. Ika suka hotel yang ada design unik2 ,baru take picture cantik je

    BalasPadam
    Balasan
    1. Haha. Salah satu sebab best di Macao ni banyak sangat tempat cun untuk bergambar! Silap hari bulan boleh buat stok gambar Instagram sampai sebulan! Hihi.

      Padam
  16. Wah best nya...hilma teringin la nak kesana.best tau blog hasif ni..hilma suka travel n your blog betul2 adventures tau..keep it up

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah... Terima kasih, kak! InsyaAllahs semoga satu hari nanti akak pun akan sampai ke sini ya. :)

      Padam

Tinggalkan komen di sini.