Dare to be a Champion oleh Datuk Lee Chong Wei
Sebagai pemain badminton bertaraf dunia, beliau sudah semestinya menjadi idola kepada kebanyakan atlet-atlet junior. Tapi lebih daripada kejayaannya, Datuk Lee Chong Wei ada kisah menarik dalam buku beliau, Dare to be a Champion.
Penulis
Kaver
Bagi seorang tokoh sukan, kaver autobiografi ini adalah sangat grand. Tanpa memerlukan props, susuk figura ini dengan sut sukan badminton sendiri sudah cukup menyempurnakan kaver kerana beliau memang seorang yang cukup dikenali. Namun itu adalah kaver luaran. Kaver asal buku memaparkan Datuk Lee Chong Wei tanpa berbaju. Tiada blurb yang disediakan di belakang buku, hanya paparan belakang badan Datuk Lee Chong Wei sambil memegang senjata utama sukan badminton, raket Yonex.
Isi kandungan
Datuk Lee Chong Wei bukan seorang penulis. Maka apabila seorang tokoh sukan menulis sebuah autobiografi, sudah pasti kelihatan agak janggal. Namun kejanggalan itu bukanlah suatu masalah dan kejanggalan itu sudah pastinya boleh dimaafkan. Tanpa perlu kiasan-kiasan dan bunga-bunga bahasa, penulisannya lebih straight to the point dan mudah difahami - antara sebab buku ini sesuai dibaca semua peringkat usia terutama remaja sekolah.
Dare to be a Champion menepati kriteria sebuah autobiografi yang mutakhir bagi menjelaskan kehidupan seorang figura ternama - apatah lagi di tangan figura itu sendiri. Buku dibahagikan dengan lapan bahagian dari zaman kanak-kanak beliau hinggalah visi dan masa depannya sendiri. Namun, bahagian kata-kata aluan menampilkan sepatah dua kata daripada Datin Paduka Seri Rosmah Mansor (isteri Perdana Menteri Malaysia), Minoru Yoneyama (pengasas Yonex Co., LTD.), Ben Yoneyama (presiden Yonex Co., LTD.), DK Seth (pengarah urusan Sunrise & Company Pte Ltd) serta prakata daripada Datuk Lee Chong Wei sendiri.
Menceritakan kehidupan peribadi sebagai figura awam, Datuk Lee wajar dipuji kerana memahami bahawasanya pembacaan bukan hanya tertera dengan kisah kehidupannya semata-mata, bahkan kata-kata yang mampu merangsang dan menaikkan semangat pembaca terutama pembaca-pembaca muda. Banyak tiupan kata-kata semangat yang dicoretkan beliau.
Melengkapkan ciri sebuah autobiografi adalah paparan gambar-gambar peribadi beliau yang pastinya eksklusif dari zaman kanak-kanak hingga kini. Lewat buku ini juga memaparkan sisi berbeza seorang bintang sukan yang juga seorang remaja biasa yang punya tanggungjawab sebagai pelajar, anak dan lain-lain.
Secara keseluruhan, buku berbahasa Inggeris terbitan Bukuganda berharga RM38 senaskhah ini berbaloi untuk dibeli dan dibaca. Untuk saya yang bukan terlalu minat pada sukan, tertarik untuk membaca buku ini bukan kerana sukan, bahkan kerana Datuk Lee Chong Wei itu sendiri. Banyak pengajaran dan iktibar boleh diteladani daripada insan-insan hebat seperti beliau yang bermula hanya sebagai remaja kampung namun kini menjadi pemain badminton nombor satu dunia.
Apabila bercakap tentang bintang badminton, barangkali satu kemestian untuk diadakan satu bahagian yang menceritakan secara lengkap latar belakang sukan badminton dan cara bermain serta pengenalan bulu tangkis dan raket - Dare to be Champion tidak terlepas daripadanya. Autobiografi ini turut dilengkapkan dengan mendedahkan raket-raket yang diguna pakai Datuk Lee, antara iklan-iklan yang melantik beliau sebagai duta serta senarai pencapaian Datuk Lee dalam bidang sukan.
Untuk buku ini, saya berikan lima bintang.
--------------------------------------
HASIFBACA adalah entri ulasan buku (fiksyen dan bukan fiksyen).
Jika anda ada cadangan buku atau mahu saya mengulas karya anda
(buku yang telah diterbitkan secara sah sahaja),
(buku yang telah diterbitkan secara sah sahaja),
hubungi saya di hasifhamsyari@yahoo.com . Terima kasih!
0 komen
Tinggalkan komen di sini.