DIARI WIRA - 1
Lagu: Hasif Hamsyari
Lirik: Mohd Haniff Mohamad Yusoff
Pilih Bab Pilihan:
Untuk Kem Komandan dan Timbalan Komandan Latihan Kem Nasuha,
Untuk para jurulatih dan pelatih Kumpulan 2 Siri 10/2013,
Untuk ahli Bravo,
Untuk Dorm 32 (Amirul, Muresh, Wan, Shah, Efy, Azhar, Bob, Mok dan Tuah),
di Kem PLKN Nasuha Pagoh, Johor.
Dan untuk anda yang bakal bergelar wira atau wirawati PLKN.
Serta pembaca-pembaca saya yang setia menanti.
HASIF HAMSYARI
(Bekas) Wira Bravo 233
Malim, Melaka
--------------------------------------------------------------------------
Ahad, 31 Mac 2013Ditakdirkan aku bertolak dari MITC, Melaka seawal jam 8.30 pagi. Dan perpisahan aku dengan emak dan abah adalah sesuatu yang tidak terlalu tragis tapi cukuplah untuk buat aku menangis.
Suka hati untuk apa jua label yang kau orang beri atas pengakuan aku tadi. Tapi untuk seorang lelaki yang sangat rapat dengan emak dan abah, perpisahan tiga bulan bukan perkara yang mudah. Ingat itu.
Ketika mana orang lain siap berseluar jean dan berpakaian kemas macam mahu ke Mahkota Parade, Dataran Pahlawan atau Sunway Piramid, aku hanya berseluar slack dan t-shirt biasa. Dari rumah aku sudah fikir, pakai serabai pun tak kisah. Bukan apa, sebab tempat yang aku nak tuju nanti bukan seindah dan semegah Mahkota Parade, Dataran Pahlawan atau Sunway Piramid yang menggemakan lagu mengasyikkan dan suasana urban yang menghiburkan itu, sebaliknya hanyalah hutan dan suasana suram yang melagukan suara unggas dan kera hutan. Aduhai.
KETIBAAN
Sampai sahaja di Kem Nasuha Pagoh, aku agak terkilan kerana sangkaan aku agak meleset juga. Aku mengimpikan kem yang indah, yang cantik dan kalau tidak baharu pun, nampak macam baharu pun jadilah. Tapi... Sedih betul nak teruskan ayat.
Lepas spot-check semua, pendaftaran dan segala bagai, aku dimaklumkan berada dalam kompeni Bravo. Sekali lagi aku agak terkilan sebab kawan sama sekolah dengan aku, Iqbal pula dalam kompeni Alfa. Bukan mudah aku nak sesuaikan diri dengan satu-satu situasi, apalagi tanpa bantuan orang yang aku kenali. Maka ketiadaan Iqbal di sisi aku nanti merunsingkan aku, entah apalah yang bakal terjadi nanti.
BOTAK!
Dan igauan paling mendebarkan untuk setiap pelatih baharu pastilah kepala yang akan menjadi botak. Tapi pastilah lelaki sahaja yang kena. Apapun stail rambut yang kau orang simpan dan jaga rapi sejak azali, akan menjadi botak dan dalam kerumunan remaja-remaja lelaki itu, langsung tidak ada variasi.
Situasi ini mungkin pernah terjadi di mana-mana kem PLKN. Situasi di mana bila ada orang yang panggil kau botak, maka semua yang botak-botak itu akan perasan dan menoleh, memikirkan dirinya yang dipanggil sebab botak. Hahaha.
Berdekatan dengan pondok kuliah; iaitu tempat rehat jurulatih menjadi saksi kelahiran Melayu iras Shaolin yang buat semua orang keliru tentang status bangsanya. Ya, akulah tu. Tak cukup dengan itu, kewujudan kembar yang kebetulan sama-sama bercermin mata yang kebetulan berasal dari Melaka yang kebetulan ditakdirkan satu dorm yang sama yang kebetulan tidur sebelah-menyebelah pula yang kebetulan gaya rambutnya – botak – pun sama sahaja.

Dan kembar aku itu namanya Amirul, remaja Alai, Melaka. Dialah teman pertama yang rapat dengan aku pertama kali menjejakkan kaki di sini selepas Iqbal yang semakin menjauh. Aduh, sayunya hati macam berpisah dengan kekasih hati.
PENYAMBUT TAMU
Aku kira gembira juga sebab masa turun bas itu aku disambut dengan jurulatih yang 'nampak' baik hati. Tidak tahulah kalau esok lusa baik hati itu berubah menjadi tidak baik hati. Siapa tahu?
Tapi aku tak sangka, masa aku nak masuk dorm dengan Amirul itupun masih ada penyambut tamu lagi. Penyambut tamu tu bukan manusia. Ia kecil sahaja. Tapi lincah bukan main. Ligat!
Ular lidi namanya. 'Lidi' itu memang tak akan buat kau orang histeria. Tapi 'ular'! Sudahlah bawa beg bagasi gedabak bukan main besarnya, terlanggar tong sampah, ular pulak yang keluar buat prank dekat aku. Mana aku tak gabra. Walaupun orang kata mulut jangan celupar, tapi aku tetap merasakan ular ini macam bawa petanda. Baik atau tidak, itu yang aku tak berani nak cakap. Terkejut betul.
PAKAIAN
Petang itu, aku dan Amirul sama-sama mengambil pakaian kami sepanjang di kem PLKN ini. Aku terima dua helai seluar sukan, dua helai seluar slack, dua helai baju kelas, sepasang kasut kulit, sepasang kasut sukan dan dua pasang stokin hitam serta seutas tali pinggang berlambang PLKN. Tak cukup dengan itu, aku dan pelatih yang lain disediakan dengan set pakaian rasmi yang menjadi identiti wajib PLKN - satu beret, seutas tali pinggang hutan (atau disebut juga tali pinggang medan), sepasang baju loreng dan kasut but. Pengilat kasut dan berusnya pun disediakan. Insya-ALLAH, yang aku tulis ini rasanya lengkap sudah kot.
Kesimpulannya, bawa baju banyak-banyak pun tak guna sebab sepanjang menjalani aktiviti dekat sini, setiap pelatih diwajibkan memakai pakaian yang disediakan sahaja. Paling tidak pun, baju yang dibawa hanya boleh dipakai waktu malam sajalah. Dan aktiviti dan hari tertentu contohnya hari Ahad.
0 komen
Tinggalkan komen di sini.