DIARI WIRA - 13
Lagu Tema: Tentang Kita
Lagu: Hasif Hamsyari
Lirik: Mohd Haniff Mohamad Yusoff
Pilih Bab Pilihan:
<<< Klik untuk baca DIARI WIRA - 12
Sabtu, 18 Mei
DERMA DARAH
![]() |
Bukti. Haha. |
Waktu kau tanya masa sunat ke, ambil darah ke, mana-mana doktor akan beri jawapan yang klise. Tak sakit... Kalau sakit pun, sakit macam semut gigit saja. Huh...
Alhamdulillah, semua berjalan dengan baik. Ini kali pertama aku menderma darah dan aku rasa cukup berbangga. Moga-moga dengan darah aku ini dapat menyelamatkan nyawa.
Selesai derma darah, aku dibenarkan berbaring dalam sepuluh minit sebelum perlu duduk dan makan biskut dan air yang disediakan. Waktu itulah aku rasa macam nak pitam, sangat teruk. Tapi aku duduk diam dan lebih kurang setengah jam, barulah aku kuatkan diri untuk berjalan. Alhamdulillah, sihat. Haha.
Kalau hendak tahu, aku berdarah O. Aku derma sebanyak 350ml saja, sebab berat aku ringan sangat katanya. Lepas derma darah, aku dimestikan berehat enam jam daripada melakukan aktiviti-aktivit berat. Baru terfikir hendak basuh baju lepas ini.
Aku jadi muazzin semasa solat Asar. Alhamdulillah...
SEMBUR NYAMUK
Ada satu insiden agak melucukan. Ketika kami sedang mengaminkan doa selepas solat Maghrib, adalah manusia-manusia yang sembur nyamuk di sekitar kawasan kem itu dan semakin menghampiri kawasan surau.
Hendak dijadikan cerita, maka bertempiaranlah semuanya keluar daripada surau untuk mengelak daripada terhidu asap semburan itu. Adalah dalam sepuluh minit, kami masuk semula dan meneruskan aktiviti semula seperti biasa.
SALAH FAHAM
Lepas minum malam, wira Bravo berjumpa dengan cikgu yang dilapor ke tatatertib itu. Nyata, dia telah salah faham dengan kami. Dia beranggapan bahawa kami bencikan dia. Maka dia putuskan bahawa selepas ini, dia tidak mahu 'cuit' kami langsung dan dia terus beredar pergi.
Ahli-ahli Bravo berpecah menjadi dua puak yang beremosi memikirkan jalan yang terbaik. Ini mungkin konflik untuk diari aku ini yang aku harapkan akan mendapat klimaks dan penamat yang bahagia sebelum aku balik ke rumah pada 23 Mei ini.
Tangan kanan aku masih agak kekok menulis dan rasa cepat lenguh selepas diambil darah tengah hari tadi. Maka cukuplah rasanya aku tulis setakat ini sahaja dulu.
Ahad, 19 Mei
Rutin hari Ahad yang klise, sarapan pagi dengan Koko Crunch. It's not Koko Crunch actually. Tapi biasalah, kalau yang terkenal adalah Colgate, baik ubat gigi Safi ke, Junior Kids ke, White apa benda semua dihentam sebagai Colgate juga. Got it?

Terserempak dengan Tuah. Dan dia sedang bermain-main dengan anak ular. Akhirnya aku sekali main dengan ular itu. Hahaha.
Dan akhirnya, aku dapat tahu yang aku akan lapor di universiti tersebut pada 2 Jun nanti. Kalau 23 Mei ini aku balik, aku sempatlah menghadiri majlis kahwin sepupu, Kak Nadia. Aku pernah dibela dan dijaga oleh keluarga Kak Nadia yang mana ibu bapanya yang sepatutnya aku gelar Maklang dan Paklang tapi aku gelarkan abah dan mama.
![]() |
Dengan Kak Nadia dan suami di Tanjung Piai, Johor. Gambar daripada pos ini. |
Isnin, 20 Mei
TALI TINGGI!
Sejarah tercipta lagi. Pertama kali dalam seumur hidup aku merasai pengalaman flying fox dan repelling. Sangat awesome! Bukan aku tidak pernah menghadiri mana-mana kem sebelum ini, cuma semua kem yang pernah aku pergi tidak menawarkan aktiviti flying fox! Aku tidak gayat pada ketinggian malah aku sukakannya. Masih aku ingat bagaimana gembiranya aku naik kereta kabel semasa di Langkawi dan meniti jambatan gantung di Taman Negara Pahang. Awesome gila! Macam nak pergi tiap hari. Haha.
Waktu aku pakai kelengkapan semua, cikgu-cikgu mula berbicara tentang aku rupanya seorang penulis novel. Cikgu Ain yang mulakan dulu. Dan beralih pula soal buku mengenai pengalaman di PLKN ini.
PETANDA?
Hari ini aku lelah dan lesu gila. Baru aku perasan, syampu aku sudah hendak habis. Begitu juga dengan sabun dan pencuci muka aku. Ini macam bagi petanda yang aku akan meninggalkan kem ini tidak lama lagi.
Apalagi, aku sendiri tidak pasti apa sebabnya demam yang aku dapat petang itu. Adakah sebab aku gembira atau sedih hendak balik? Sungguh, aku rasa tidak bersemangat sekarang.
Petang itu suhu aku panas. Perkara ini disahkan sendiri kawan-kawan dalam dorm aku. Memang semua tidak sangka, aku yang selalunya paling sihat dalam kalangan mereka semua demam juga pada akhirnya.
Tapi malam selepas solat Isyak, ketika mana aku hendak ambil ubat batuk dan sekali gus mahu memastikan suhu badan aku, alat pengukur suhu menunjukkan aku normal.
Pelik, kan? Demam pulih dalam tempoh yang sangat sekejap. Ini betul-betul rekod.
Selasa, 21 Mei
LATIHAN KAWAD TERAKHIR
![]() |
Rehat sekejap. |
Pertama, berdasarkan pengalaman budak-budak Alfa dan Charlie, mereka kata latihan kawad ini sangat menyeksakan!
Kedua, awal-awal lagi Cikgu Adnan, cikgu yang bakal ajarkan kami kawad marah-marah. Seolah-olah bagi petanda tidak baik.
Tapi rupa-rupanya, kawad ini tidaklah sebosan mana pun. Dengar cerita, Bravo dan Delta beruntung sebab banyak rehat. Tidak tahu hendak komen apa. Keseluruhannya, aku tetap merasakan tali tinggi lebih memenatkan tapi sangat menyeronokkan. Mananya tidak penat? Berjemur bahawa matahari, mendaki pula bukit untuk sampai ke menara tali tinggi yang sememangnya terletak di atas bukit. Ini bermakna stamina yang dituntut bukanlah sedikit!
Cikgu Adnan rupa-rupanya ada sisi bergurau di sebalik perwatakannya yang garang tadi. Dia sempat mengenakan beberapa ahli Bravo macam Bob, Panjang, Amir dan Karau yang dibasahkan kepala botak mereka dengan air.
PULAU BERACUN
Petang itu ada aktiviti dipanggil Pulau Beracun dengan dikendalikan oleh Cikgu Harun. Aku main sama memandangkan tidak lama lagi, aku akan meninggalkan kem ini. Maka inilah antara masa-masa keemasan untuk aku mencipta kenangan manis sepanjang berada di sini.
Kenangan manis yang aku maksudkan ialah mencapai kemenangan untuk kompeni aku, Bravo. Tapi aku silap! Bravo bermain dengan sikap betul-betul hendak bermain. Susah aku mahu terangkan tapi mereka sangat seronok bermain-main!!
Dalam erti kata lain, kami semua macam sudah tidak peduli soal menang atau kalah. Habis tiga baldi air yang sepatutnya dijaga daripada tumpah disimbah pada aku yang bermain dengan skema dan bersungguh-sungguh. Ya, aku basah kuyup.
Aku fikir, aktiviti ini sememangnya diwujudkan untuk pelatih berseronok cuma... caranya yang kami, Bravo mainkan adalah terlebih ekstrem. Haha.
Bila aku fikirkan, aku sudah tidak lagi kecewa apabila Bravo kalah di tangan Delta. Malah aku mampu ketawa bermain air bersama-sama mereka. Ini mengingatkan aku tentang satu madah puitis...
"Kenangan yang buruk pun boleh menjadi kenangan terindah."
Cikgu Harun hanya geleng kepala. Aku tak rasa dia marah, sebab ada senyuman menyertai gelengan kepalanya. Benar-benar memahami, layaknya seperti seorang bapa kami.
SESI KARAOKE
Semalam, macam-macam lagu jiwang karat mereka semua dendangkan ramai-ramai. Petang ini pun.
Kau orang pun mungkin tidak akan percaya bila kawan bilik aku yang berbangsa India, Muresh pun mampu menyanyi lagu-lagu Melayu era dulu-dulu. Malah, dia puji mengatakan lagu-lagu Melayu sedap-sedap belaka!
Cikgu Fairuz yang tiba-tiba masuk dalam dorm kami pun sudah tidak mampu berkata apa selain "Teruskan" tanda memahami kami sedang bergembira, menghabiskan sisa-sisa hari terakhir untuk bersama-sama.
Tidak tahulah apa silapnya, sejak derma darah hari tu, tangan kanan aku cepat lenguh masa menulis. Dan perkara ini sedikit sebanyak agak mengganggu aku yang memang suka menulis. Risau pun ada juga.
Rabu, 22 Mei
SUDIRMAN SEKETIKA
Kelas Kenegaraan hari ini, kami belajar tentang elemen rakyat. Macam-macam misi kami laksanakan tapi yang paling mencuri tumpuan sudah tentulah sketsa. Kumpulan aku, 1Padu kena buat sketsa berkenaan tokoh bernama Sudirman Haji Arshad. Tiga kumpulan lain kena buat sketsa berkenaan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, pereka kasut terkenal dunia kelahiran Malaysia iaitu Datuk Jimmy Choo dan pemain badminton nombor satu dunia juga kelahiran Malaysia, Datuk Lee Chong Wei. Sedikit iklan mengenai Datuk Jimmy Choo, ada satu babak dalam muzik video nyanyian kumpulan terkenal Korea iaitu BEAST bertajuk Beautiful Night yang memaparkan kasut yang dipakai salah seorang anggota kumpulan, jelas tertera 'Jimmy Choo'. Ada banyak lagi artis antarabangsa dan bangsawan ternama yang pernah menggayakan kasut Datuk Jimmy Choo. Hebat, bukan?
Kami diberikan teks berkenaan latar belakang dan sejarah hidup tokoh terpilih dan diberi setengah jam untuk berlatih. Dan tak pasal-pasal ahli kumpulan aku lantik aku sebagai Sudirman. Aku tidak boleh terima kenyataan bila kena baring dan kena pukul dengan bapanya yang emosi tak tentu pasal. Nasib emaknya baik dan manis saja menangis di sisi. Hahaha.
OBJEK 1PADU
Misi ini pun sangat menyeronokkan di mana kami kena reka satu produk yang melambangkan negara ciptaan kami. Kami antara yang paling lambat dapat idea untuk cipta produk sampailah ahli kumpulan aku yang dipanggil 'K', cadang tentang vakum. Bincang punya bincang, maka kami sepakat menghasilkan 1Padu Super Vacuum P5000. Kami reka produk dengan bahan-bahan terpakai dan siapa sangka, kami menang!
Mana tidaknya, vakum kami ini sangatlah bagus sehingga boleh terbang dan membersihkan sesawang labah-labah. Tambah canggih, ia hanya dikawal dengan alat kawalan jauh! Touch screen lagi. Haha.
Agak sedih bila kami yang bakal balik 23 Mei dipanggil ke hadapan dan diberi ucapan penghargaan. Sebelum balik, aku dapatkan autograf daripada cikgu-cikgu di kelas Kenegaraan ini. Oh ya, termasuk Melody, gadis Cina yang sangat pendiam dan manis orangnya namun siapa sangka, dia Ketua Wirawati Delta! :)
Kelas seterusnya akan sentuh elemen kerajaan yang mana akan ada pilihan raya olok-olok dijalankan di kem ini. Aku sudah semak komponen terlibat dan nama aku tersenarai sebagai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tapi apakan daya, aku tidak mungkin akan sempat melaluinya... :(
![]() |
Waktu nak balik, pelajar lain sedang bersedia untuk pilihan raya. Berbaju Melayu ialah bakal 'wakil rakyat'. Haha. |
0 komen
Tinggalkan komen di sini.