6 Tahun Sebagai Penulis
Assalamualaikum...
Dah lama tak menulis blog. Tapi bila lihatkan rating blog yang tak pernah senyap, saya rasa blog ini masih dikira relevan untuk saya berkongsi cerita. Hihi. Insya-ALLAH.
Alhamdulillah, hari ini, 28 Februari 2015 adalah ulang tahun keenam saya sebagai penulis. Walaupun 2014 tahun yang agak sunyi bagi saya daripada aktiviti penulisan, saya kira berbaloi juga. Iyalah, saya memulakan program Ijazah Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) di UiTM Shah Alam saya pada September 2014. Sebelum tu, saya memang nekad mahu fokus untuk pengajian saya sebab saya perlu buktikan pada beberapa orang istimewa terutama mak saya, (haha) insya-ALLAH, ini adalah pilihan saya terbaik untuk saya dan dia.
Sungguh, saya gembira dengan program pilihan saya dan Alhamdulillah, keputusan baru-baru ini, saya menerima Anugerah Dekan. Ingin saya titipkan terima kasih untuk semua atas ucapan tahniah dan yang mendoakan saya. Moga kita semua selalu dirahmatiNya.
Insya-ALLAH, 2 Mac (lusa) saya akan memulakan Semester Kedua saya. Tidak lain, saya memandang ke hadapan dan moga-moga semester ini tiada masalah dan lancar. Lagi-lagi bermulanya semester jatuh pada hari jadi saya yang genap 20 tahun. Moga ini petanda permulaan yang baik untuk tahun ini. Mudah-mudahan...
Saya perlu berterima kasih untuk banyak pihak. Daripada famili, pihak sekolah, kawan-kawan sehinggalah pihak penerbitan KarnaDya, rakan-rakan penulis, pembaca dan semua yang membantu. Mustahil untuk saya sampai ke tahap ini tanpa mereka dan anda semua. Hihi. Terima kasih beribu-ribu lemon!
Dalam itu pun, saya menerima banyak pertanyaan daripada bakal-bakal penulis melalui Facebook saya. Insya-ALLAH, rasanya setakat ini saya menjawab semua pertanyaan berkaitan penulisan. Sungguh, saya berkongsi ilmu yang saya tahu dan yang pernah pula saya ambil daripada rakan-rakan penulisan saya. Jadi, kalau ada pertanyaan, boleh saja tanyakan saya di Facebook Page saya atau melalui e-mel saya.
Pengisian blog ini insya-ALLAH akan lebih membawa manfaat. Selain coretan peribadi, saya mahu kongsikan mana-mana soalan menarik dan isu-isu yang wajar dikupas dari pandangan saya. Almaklumlah, sedikit sebanyak ini juga medan untuk saya mempraktikkan ilmu dalam program ijazah saya. Haha.
Saya tidak berani bercakap panjang tentang apa yang akan saya bawakan pada 2015 ini. Cuma doakanlah yang terbaik ya! Untuk anda yang membaca, moga 2015 membawa memori-memori manis untuk kita semua. Amin...
0 komen
Tinggalkan komen di sini.