Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

Pakar oleh Nadia Khan

9:21:00 PTG Hasif Hamsyari 3 Comments Category :

Ini bukan kali pertama saya membaca naskhah Nadia Khan. Sebelumnya saya pernah baca Kelabu dan Gantung. Di bawah label Buku Fixi, semestinya novel ini juga ialah novel indie yang sarat sentuhan alternatif dan berjiwa urban. Setidak-tidaknya itu adalah pada pandangan saya. Apapun, karya Nadia Khan semestinya antara yang saya ternanti-nantikan, sebagaimana novel-novel Buku Fixi yang lain kerana jalan cerita mereka yang di luar kebiasaan dan menarik.

Pakar menampilkan dua novelet - Agensi Curi Jodoh dan Pakar Sakit Hati. Novelet Agensi Curi Jodoh mengisahkan sebuah agensi yang membantu kliennya untuk mencuri cinta orang lain sampai sanggup berlaku 'sailang' dengan orang-orang terdekat mereka sendiri. Agensi ini sebenarnya bukan dinamakan Agensi Curi Jodoh, bukan juga Agensi Cari Jodoh, tapi itulah yang boleh diinterpretasikan melalui nama komersial mereka iaitu Agensi CJ. Pekerja Agensi CJ bekerja berpasang-pasangan. Antara pasangan yang cukup berkesan kerja mereka ialah pasangan Ben dan Erin (mereka bukan kekasih, setidak-tidaknya bukan pada Ben). Ada beberapa kes yang berjaya mereka setelkan dikisahkan sepanjang kisah utama mereka. Modus operandi mereka tidak ubah macam perisik - bahkan di tahap cuba merapati mangsa klien mereka, mengenali rapat dan bekerja dengan mereka. Tak mahu cerita panjang, untuk kes terbaharu ini, Ben jatuh cinta dengan mangsa kliennya walhal Erin pula memendam rasa pada Ben. Berkenalanlah dengan watak seperti Liya (klien), Julia (mangsa klien), Khairy (lelaki rebutan) dan Puan Sri (ibu lelaki rebutan) dalam konflik cinta mereka. Cerita ni berakhir dengan watak-watak utama macam Liya dan Erin baru sedar yang cinta perlu datang dengan keikhlasan dan betapa jodoh bukan di bawah kuasa mereka. Ben pula tidak betah tanpa Erin di sisi - sebagai sahabatnya.

Novelet Pakar Sakit Hati meneroka sikit dunia kedoktoran pakar psikologi dan psikiatri. Dua orang pakar psikologi dan terapi, Dr. Sandra dan Dr. Maxfuz (atau Max sahaja) membuka klinik untuk membantu pesakit mereka keluar daripada masalah kehidupan berpasangan. Antara pesakit mereka ialah Wani dan Halim, Wanda, Nina dan Ryan. Kisah-kisah mereka antara kisah terpencil yang menarik diceritakan misalnya bagaimana Nina risau apabila suaminya, Ryan yang sudah meninggal tetapi seperti masih wujud di rumah mereka - stokinnya merata seolah-olah masih hidup. Kemudian ada pula cerita tentang Fairuz yang mengadu betapa isterinya, Zila seorang yang cepat panas baran sampai satu tahap Fairuz terdorong untuk membunuhnya. Tambah-tambah dengan ada orang ketiga, Mimi Mortica yang rupanya seorang psikiatri. Selidik punya selidik, termasuk dengan bantuan dua orang kembar penyiasat yang pelik rupanya Zila tidak wujud!

Antara dua novelet, saya sukakan Pakar Sakit Hati sebab selain yang saya ceritakan tadi ada beberapa part yang saya tak ceritakan dan pengakhirannya di luar jangkaan, yang boleh saya sifatkan antara sudut penceritaan Nadia Khan yang saya kagumi.

Tapi jika dipilih antara Kelabu, Gantung dan Pakar, saya masih akan pilih Gantung. Mungkin sebab Pakar plotnya lebih pendek jadi nak menikmatinya tidak macam Gantung yang lebih panjang. Atau mungkin secara peribadi saya sukakan cerita Gantung itu sendiri. Apapun, Pakar masih tidak mengecewakan. Ceritanya santai dan bahasanya bersahaja. Bukan cerita ringan sebab ada ketika pembaca memang tertanya-tanya dan kena fikir sebelum mencari jawapan dalam ayat seterusnya.

Tebalnya 209 halaman dengan harga RM17.90, saya berikan Pakar 3.5 daripada 5 bintang.

 ===================================
HASIF BACA adalah entri ulasan buku (fiksyen dan bukan fiksyen). Cadangkan buku yang anda ingin saya ulas di media-media sosial saya. Terima kasih!

RELATED POSTS

3 komen

  1. wahhhhhh...mesti best ni ;)

    BalasPadam
  2. hey hasif,kt pun minat nadia khan jgk:)
    x sgka hasif bca buku KELABU tu..

    BalasPadam
  3. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    An Thái Sơn chia sẻ trẻ sơ sinh nằm nôi điện có tốt không hay võng điện có tốt không và giải đáp cục điện đưa võng giá bao nhiêu cũng như địa chỉ bán máy đưa võng ở đâu uy tín.

    BalasPadam

Tinggalkan komen di sini.