Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

Awak Ni Hantu Ke? oleh A. Darwisy

11:53:00 PG Hasif Hamsyari 0 Comments Category :


JUDUL: Awak Ni Hantu Ke?
PENULIS: A. Darwisy
PENERBIT: Buku Prima, Grup Buku Karangkraf
GENRE: Seram Ringan 
TAHUN TERBITAN: 2015
MUKA SURAT: 290
HARGA: RM15 (Semenanjung Malaysia) / RM18 (Sabah/Sarawak)

Sebelum saya memulakan lanjut, harus saya katakan ini adalah novel seram ringan yang difokuskan pembacanya kepada khalayak remaja. Sebab itu buku ini dilabelkan di bawah imprint Prima Teens.

Penulis, A. Darwisy ialah antara nama yang makin dikenali dengan penulisan novel seram di bawah Buku Prima walaupun sebelum ini dikenali melalui novel-novel cinta komedi. Antara novel seram terbaharu beliau untuk bacaan dewasa ialah 'Jangan Biar Dia Masuk'. Novel pendek beliau turut diterbitkan dalam antologi 'Projek Seram Lombong' dan 'Kala Senja Dia Datang'. Justeru, bolehlah disifatkan bahawa penulis ini agak bijak dalam pengolahan novel seram.

Ceritanya berkisar tentang satu rumah di kawasan perumahan Bukit Astana yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan kejam seorang remaja perempuan. Rumah yang sudah lama tidak berpenghuni itu dikatakan berpenunggu gara-gara wujudnya roh remaja perempuan itu yang tidak tenteram.

Syafiyah baru berpindah ke rumah sebelah rumah itu. Sampailah kemudian keluarga sepupunya, Darius, berpindah ke rumah yang kononnya berhantu itu.

Di kejiranan itu, Syafiyah cuba merungkai misteri rumah itu daripada sumber pertamanya iaitu Mei Lin yang selalu ditemani kucing peliharaan digelar Snowy.

Syafiyah yang merupakan seorang anak tunggal ditinggalkan di rumah Darius sementara ibu bapanya ke Singapura. Di sinilah gangguan demi gangguan yang ketara dan cukup traumatik mengganggu Syafiyah dan keluarga Darius.

Tidak berpuas hati dengan gangguan demi gangguan, Syafiyah dan Darius sambil dibantu sahabat bernama Syazwina, cuba merungkai sendiri misteri di sebalik rumah itu sehingga menemukan mereka dengan Adam.

Adam merupakan sahabat baik remaja perempuan yang terbunuh itu dan turut berada di lokasi kejadian sewaktu gadis itu terbunuh. Pembongkaran rahsia oleh Adam membawa kepada jawapan yang cukup mengejutkan. Tinggal sekarang, mereka harus memikirkan cara untuk membuat roh berkenaan menjadi tenteram.

Demikianlah sedikit ringkasan yang boleh saya ceritakan. Selebihnya anda kena miliki sendiri naskhah ini.

Bagi saya, buku ini amat mudah dihadam. Tiada apa yang agak traumatik untuk saya barangkali kerana faktor umur saya juga pembacaan saya yang sebelum ini lebih kepada genre seram dewasa. Paling-paling pun ialah pembunuhan kejam gadis itu yang dikatakan dipenggal kepalanya dan digantung di pagar kuning rumah itu oleh perompak yang tidak berperikemanusiaan.

Saya harus memuji penulisnya kerana bijak menyampaikan mesej kepada cerita ini dengan sangat jelas dan mudah ditangkap. Dari pengajaran untuk berkawan dengan ikhlas, menjaga hubungan antara ahli keluarga terutama dengan ibu bapa, kebergantungan kepada kekuasaan yang Maha Esa hinggalah kepada semangat kejiranan yang makin pudar dalam kalangan masyarakat hari ini. Semuanya menyuntih rencah penceritaan yang cukup bermakna dan pada akhir cerita, pembaca dapat banyak pengajaran, yang tersurat mahupun yang tersirat.

Dari sudut teknikal, kaver buku ini agak menyeramkan juga. Grafik kartun yang digunakan pada babak-babak tertentu membantu menyedapkan pembacaan khususnya bagi pembaca remaja.

Secara keseluruhan, saya berikan naskhah ini 3.5 bintang.

RELATED POSTS

0 komen

Tinggalkan komen di sini.