Citrawarna 2016 memang terbaik tapi...
Memang rata-rata 10 ribu penonton yang hadir ke Citrawarna 2016 cukup berpuas hati dengan penganjurannya yang dimulakan sejak 1999 ni. Malah Citrawarna 2016 juga disebut-sebut yang terbaik pernah diadakan dengan tema yang mengangkat citra mitos dan dongeng rakyat.
18 slot persembahan dalam tempoh lebih kurang tiga jam betul-betul memukau dengan mainan warna yang indah, baik pada kostum mahupun lampu LED, serta kualiti audio yang cukup hebat membuatkan suasana di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur betul-betul 'hidup' malam tu!
Ya, tema kali ini ialah 'Mitos dan Dongeng Rakyat'. Sesuai juga dengan tagline kali ni, 'Unleash the moment, unfold the Stories'. Keunikan tema kali ni memang mengundang teruja semua yang menantikannya.
Tapi di sebalik kehangatan persembahan menakjubkan atas tema ini, mungkin ramai tak tahu apa sebenarnya apa yang cuba disampaikan melalui setiap slot persembahan. Jadi, inilah cerita di sebaliknya...
1. Hikayat Merong Mahawangsa (KEDAH)
Membuka tirai persembahan malam itu ialah hikayat sastera lama yang cukup epik dari negeri Kedah, apalagi kalau bukan Merong Mahawangsa. Dalam persembahan cukup menakjubkan di Citrawarna 2016 ni, kisahnya bermula dengan pelayaran rombongan Raja Merong Mahawangsa dari Rom ke negeri China.
Dalam pelayaran itu, mereka telah diserang burung Garuda. Selepas berjaya menewaskan burung itu, Raja Merong Mahawangsa berhenti daripada meneruskan pelayarannya dan membuka sebuah tanah baru dikenali Langkasuka. Dan baginda hanya pulang ke Rom selepas menabalkan puteranya, Raja Merong Mahapudisat menjadi Raja.
Dan akhirnya, Langkasuka kini menjadi Kedah.
Persembahan pembuka tirai dengan sebuah bahtera gergasi cukup membuatkan penonton enggan berganjak untuk persembahan seterusnya.
2. Legenda Tasik Chini (PAHANG)
Persembahan dibuka dengan sekumpulan orang asli menemui tempat baru untuk diterokai tapi kemudian, ada seorang nenek tua mengakui bahawa itu ialah tempat miliknya. Mereka meminta izin untuk menetap di situ dan nenek tua itu pun bersetuju.
Tapi setuju nenek tu tak datang tanpa syarat. Syaratnya, jangan sesekali mencabut tongkat yang diletak di kawasan penempatan mereka itu. Sifat manusia, suka bertindak melawan kata, maka terjadilah satu malapetaka dengan menjelmanya seekor naga.
Dengan penambilan pelakon veteran, Ruminah Sidek sebagai nenek tua, persembahan kedua ni jugak cukup memberikan petanda bahawa setiap persembahan seterusnya pasti menjanjikan persembahan tak kurang hebatnya.
3. Upu Chendera (SELANGOR)
Mitos ini mungkin jarang didengar lagi-lagi bagi yang bukan tinggal di Selangor. Melalui Citrawarna 2016, mitos ni diangkat menjadi tarikan yang cukup memukau!
Kisahnya bermula tentang seorang pemimpin wanita berbangsa Bugis pertama di Selangor iaitu Upu Chendera Burung atau dikenali jugak sebagai Raja Siti. Berlainan dengan persembahan sebelum ini yang membawa konsep penceritaan, persembahan dari negeri Selangor pula lebih mengangkat tokoh yang cukup disayangi rakyat Selangor waktu itu dengan keharmonian yang cukup jelas.
Manakan tak, sampaikan pada masa itu, penduduk asal di Kuala Selangor bersumpah tak akan melantik ketua selain daripada keturunan Bugis. Begitulah setianya mereka.
4. Misteri Lata Kijang (NEGERI SEMBILAN)
Sang Kelembai cukup digeruni kerana bersaiz gergasi, berwajah hodoh, berperwatakan bengis dan berambut panjang berwarna merah. Tapi yang paling ditakuti manusia, menurut legenda ialah sesiapa yang ditegur Sang Kelembai akan menjadi batu.
Di Lata Kijang juga terdapat haiwan seperti kambing gurun, kijang dan termasuklah harimau akar. Haiwan-haiwan ini juga antara yang disumpah menjadi batu.
Misteri legenda Sang Kelembai sememangnya tak asing lagi dalam masyarakat Melayu. Tak hairanlah legendanya menjadi pilihan untuk dipersembahkan.
5. Tarian Bunga Teratai (mewakili kaum Cina)
Cina adalah populasi kaum kedua terbesar di Malaysia selepas Melayu. Jadi signifikannya budaya kaum Cina yang jauh berbeza ini menjadikan Malaysia sebuah negara bermasyarakat majmuk yang sangat unik!
Simbolik tarian bunga teratai ialah mesej keamanan dan kegembiraan yang dipersembahkan oleh wanita-wanita yang cantik dan lemah-lembut.
Bunga teratai sememangnya sinonim dengan masyarakat Cina dan menjadi salah satu identiti kebudayaan mereka. Sejak dahulu lagi, penari mempersembahkan tarian ini dengan suasana cukup riang lagi meriah.
6. Puteri Gunung Ledang (JOHOR)
Apabila Majapahit menjadi huru-hara akibat peperangan dengan Putera Demak dari Jawa, Raja Majapahit Gusti Adipati Hendaya Nengrat menawarkan Demak berkahwin dengan adiknya Gusti Putri Raden Ajeng Retro Dumillah.
Merajuk dengan keputusan itu membawa Gusti Putri memberitahu dayang-dayangnya niat mahu berlayar dan bersembunyi di Gunung Ledang. Di situlah kemudian bermula satu legenda cinta agung sampai turun darjat dari seorang raja menjadi hamba antara Gusti Putri, Hang Tuah dan Sultan Melaka.
Saya sendiri selalu diperdengarkan dengan kisah Puteri Gunung Ledang sejak kecil lagi. Kisahnya memang membuai perasaan dan unsur mistik dan misteri menjadi rencah yang cukup menjadikan kisahnya epik yang sangat dahsyat!
Di Citrawarna 2016, korang pun pasti terpukau dengan persembahan menakjubkan.
7. Legenda Bukit Puteri (TERENGGANU)
Salah satu negeri yang kaya dengan tarikan pelancongan yang luar biasa, Terengganu jugak kaya dengan kisah-kisah rakyat yang cukup mendewasakan kita. Salah satunya, Legenda Bukit Puteri.
Dikisahkan ada tujuh puteri yang tinggal di atas bukit berhampiran sebuah kampung nelayan. Semasa penduduk kampung menganjurkan kenduri, puteri tersebut bermurah hati meminjamkan barangan seperti pinggan, mangkuk, sudu, garfu dan pisau. Malangnya, ada yang tidak dipulangkan bahkan ada pula yang dipulangkan dalam keadaan pecah tak sempurna.
Disebabkan itu, tuan puteri telah merajuk dan menghilangkan diri daripada bukit itu.
8. Hang Tuah (MELAKA)
Kisah di Zaman Kesultanan Melayu Melaka disebut-sebut dalam banyak sejarah dunia dan legenda cinta terhalang antara Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang kerana cinta Sultan Melaka adalah salah satu kisah legenda paling agung di Malaysia.
Tapi di Citrawarna 2016, penonton diimbas pula bagaimana Hang Tuah menjadi Laksamana. Kisah bermula bagaimana Hang Tuah dan empat lagi sahabatnya bertapa di Gunung Ledang sebelum menyelamatkan Dato' Bendahara Tun Perak dan orang kampung daripada seorang lelaki mengamuk.
Keperkasaan Hang Tuah dan sahabatnya mengagumkan Dato' Bendahara Tun Perak lalu dikhabarkan kepada Sultan yang melantik mereka sebagai Hulubalang Istana dan Hang Tuah sebagai Laksamana.
9. Tarian Klasikal & Bangra (mewakili kaum India dan Sikh)
Sebagai satu antara tiga populasi masyarakat terbesar di Malaysia, kaum India dan Sikh juga mempunya budaya unik yang cukup menjadikan Malaysia lebih pelbagai dari segi budaya dan agama. Sebagai meraikan keunikan ini, maka slot khas yang mengangkat tarian kaum India dan Sikh dipentaskan dengan penuh meriah.
Saya sendiri cukup terpegun dengan keindahan persembahan ini. Dengan segmen yang bergerak pantas dan lincah, serasa penonton macam saya pun mahu ikut menari sama! Haha.
10. Jentayu (PERLIS)
Negerinya kecil je tapi kisah cinta legenda yang dimiliki memang sangat epik! Persembahan ni bermula dengan perkhabaran Maharaja Rom akan mengahwinkan puteranya dengan puteri Maharaja China. Garuda tak setuju sampaikan sanggup bersumpah, kalau dia gagal menghalang perkahwinan itu, dia akan mengurung dirinya di dalam kawah gunung berapi.
Maka berlakulah pertarungan epik antara Jentayu dengan Garuda yang menyebabkan negeri itu umpama ditimpa bencana akibat tekanan kesaktian kedua-duanya. Sampailah Jentayu mengorbankannya nyawanya di tangan kawan baiknya sendiri, Garuda demi menyelamatkan perkahwinan itu.
Sebelum menghembus nafas terakhir, air mata Jentayu jatuh ke dalam laut dan disambut Sang Tiram lalu menjadilah mutiara manakala jasadnya tenggelam ke laut khalzum.
11. Cik Siti Wan Kembang (KELANTAN)
Sebut je Kelantan, mesti tak boleh lari daripada satu nama yang cukup keramat - Cik Siti Wan Kembang. Tapi tahukah cerita di sebalik nama yang indah ni?
Kisah bermula tentang kemasyhuran kecantikan, kebijaksanaan dan kepemimpinannya yang cukup menjadi kebanggaan. Dengan kualiti-kualiti itulah, baginda menjadi pemimpin yang cukup disayangi rakyatnya.
Disebabkan itu juga, baginda mendapat banyak lamaran putera raja yang mahu menyuntingnya menjadi permaisuri. Tapi baginda menolak dengan baik. Kerana khuatir dengan ancaman malapetaka dan persengketaan, baginda bersemayam di tempat baru dinamakan Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong.
Cik Siti Wan Kembang kekal menjadi ikon yang cukup sinonim dengan Kelantan dan kemasyhurannya diiktiraf penuh sempurna di Citrawarna 2016 ini.
12. Pertemuan (PULAU PINANG)
Berlainan sikit dengan persembahan lain, Pulau Pinang mengetengahkan konsep penceritaan berkenaan seni tarian yang dimilikinya termasuklah ghazal pharti, hadrah dan tarian joghee. Dikisahkan tarian-tarian ini dipengaruhi budaya Arab kerana suatu ketika dahulu, Pulau Pinang sangat terkenal sebagai pelabuhan pilihan pedagang Arab dan Asia Tenggara.
13. Sawai (mewakili masyarakat Orang Asli)
'Sawai' maknanya 'ubat'. Tarian ini dipilih kerana menggabungkan ciri-ciri perubatan dari tiga kelompok Orang Asli iaitu Negrito, Semai dan Melayu Asli.
Upacara sawai ini bertujuan memulihkan penyakit, merupakan satu ritual bagi meminta bantuan roh-roh. Melalui tarian ini, Tok Batin atau Tok Halak akan memuja semangat dikenali Gunik. Gunik akan masuk ke dalam tubuh Tok Halak melalui Tamu, iaitu gelung rotan dihiasi daun-daun dan bunga-bungaan. Gunik akan keluar dari tubuh Tok Halak dan pesakit akan sembuh.
Ada jugak rakan-rakan blogger yang merasakan persembahan ni antara yang terbaik antara semua!
14. Raja Naga (mewakili masyarakat Siam)
Masyarakat Siam juga antara komuniti yang wujud di Malaysia. Di Citrawarna 2016, mitos Raja Naga dipilih untuk diperkenalkan kepada semua penonton.
Dikatakan, Raja Naga yang boleh menjelma menjadi manusia bermadu kasih dengan Puteri Taravadi. Sampailah dalam satu perayaan menuai, Raja Naga telah memunculkan dirinya sebagai putera yang gagah perkasa dan membawa keluar Puteri Taravadi. Tindakannya itu menimbulkan kehairanan penduduk kerana wajah yang tak pernah dilihat.
15. Cempaka Sari (PERAK)
Persembahan negeri Perak mengisahkan sejarah bagaimana bermulanya negeri ini. Putera kedua Raja Merong Mahapudisat telah melepaskan anak panah diperbuat daripada Perak dan busurnya dinamakan Indera Sakti dan berniat bahawa di mana jatuh anak panah itu, di situlah tempat baginda akan membuka negeri.
Bagaimanapun, anak panah itu hilang. Misi mencari menjadi satu pengembaraan yang menemukan sebuah kampung yang sedang mengadakan persembahan tarian Menora, sekumpulan orang kampung yang sedang menangkap ikan dengan bubu dan akhirnya ke sebuah tempat dinamakan Cempaka Sari.
Cempaka Sari ditukar namanya menjadi Indera Sakti dan negerinya dinamakan Perak.
16. Huminodun (SABAH)
Huminodun menceritakan asal sambutan Pesta Kaamatan. Dikatakan, Hominodun telah dikorbankan oleh penduduk kampung bagi mengelakkan malapetaka dan menjaga kesuburan tanaman. Pengorbanannya itu menjadi semangat kepada penduduk kampung untuk menyuburkan tanaman dan memberi kesejahteraan pada kampung.
Sebab itulah Pesta Kaamatan disambut saban tahun!
Persembahan ini antara yang paling mencuri perhatian, apatah lagi dengan penghayatan penari dan pelakonnya dalam menyampaikan mesej yang sangat bermakna. Tak keterlaluan kalau boleh saya sifatkan, persembahan ini antara yang paling diingati para penonton.
17. Tugau (SARAWAK)
Tugau, seorang raja yang dikatakan penuh kesaktian. Untuk mengahwini puteri Raja Kau, Tugau diminta menyediakan hantaran seperti pedang emas, mangkuk emas dan sembilan bakul ikan dipenuhi emas.
Tugau berjaya melaksanakannya dengan bantuan keluarga asalnya iaitu Kerajaan Langit dan nenek beliau pemerintah bumi. Maka tersebarlah cerita kesaktiannya sehingga menjadi raja masyarakat Melanau. Beliau menjadi seorang raja yang adil, saksama dan disegani.
Kisah legenda ini mungkin biasa didengar bagi masyarakat Sarawak khususnya kaum Melanau tetapi ia masih agak kurang diketahui di luar Sarawak. Tapi kisah ini sebenarnya cukup menarik, apalagi di tangan penari dan pelakon kreatif di Citrawarna 2016 ini. Legenda ini pastinya akan lebih diingati selepas ini.
18. Cuti-Cuti Malaysia & Mega Sales (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)
Sebagai menutup tirai, Kuala Lumpur membawakan intipati persembahan yang mencakupi unsur pelancongan Malaysia secara keseluruhan, daripada tempat-tempat menarik dan jualan mega yang diadakan setiap tahun.
Citrawarna 2016 boleh dikira cukup berjaya untuk edisi kali ini dengan penyertaan lebih satu ribu penari! Bayangkanlah betapa meriahnya kawasan Dataran Merdeka ketika tu! Cukup rugi untuk korang yang tak datang.
Tapi jangan bimbang! Citrawarna akan kekal sebagai acara pelancongan terbesar dianjurkan saban tahun dan pastikan jangan terlepas peluang akan datang!
Entri ini terlaksana dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia (MOTAC) dan Tourism Malaysia dan pastinya melalui rakan strategik Gaya Travel Magazine.
4 komen
lengkap betul hasif ๐๐
BalasPadamhihi.. iyalah, sambil travel sambil kenal ceritanya. haha :D
PadamSo detail, I would make this as some source of my writing. Thank you Hasif
BalasPadamhihi. sure! thank you to you too! :D
PadamTinggalkan komen di sini.