Harmony Clean Flat Responsive WordPress Blog Theme

Eat Travel Write & Doodle Awesome!

3:56:00 PTG Hasif Hamsyari 0 Comments Category :

Mula-mula Eat Travel Write yang telah pun masuk siri keempat dianjurkan semasa entri ni ditulis. Kemudian Eat Travel Doodle. Dan sekarang, Eat Travel Write & Doodle.

Ha... nampak tak betapa komitednya majalah Gaya Travel mengangkat industri pelancongan negara sekali gus merapatkan ukhwah bukan setakat media tempatan, bahkan antarabangsa! Buktinya, di setiap siri yang disebutkan tadi, penyertaannya turut datang dari Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia!

Kali ini, Eat Travel Write & Doodle yang diadakan pada 24 hingga 26 September 2016 ni dianjurkan bersempena penganjuran acara pelancongan terbesar Malaysia iaitu Citrawarna 2016. Sejujurnya, memang tak boleh sorok rasa bertuah kerana menjadi salah seorang peserta pada program mega kali ni!

Jadi apa aktiviti yang kami lakukan dalam program kali ni? Teruskan baca!

1. Kuala Lumpur Bird Park

Terdapat banyak merak yang berkeliaran bebas di atas tanah, mahupun di atas pokok!
Teringin masuk ke dunia 'Zootopia' di kawasan burung? Inilah tempatnya!

Persinggahan pertama kami lepas bergerak dari MaTiC ni ialah di KL Bird Park. KL Bird Park atau Taman Burung Kuala Lumpur ni diiktiraf bukan sahaja sebagai taman burung terbesar di Malaysia, bahkan taman burung dengan konsep bebas-terbang terbesar di dunia!

Memang pengalaman cukup rare sebenarnya kalau korang singgah ke sini sebab sebahagian besar burung-burungnya dibiarkan bebas berterbangan dan berkeliaran. Bahkan, tak perlu pelik apabila ada burung setinggi budak empat tahun terutama spesis burung botak upeh yang 'bersiar-siar' di sebelah korang.
Nak je tarik diorang ni lepas tu bro-hug. Haha
Jangan pelik jugak tengok banyak merak yang cantik berkeliaran!
Spesis merak betina. Katanya sekarang ni sedang musim mengawan!
Ada satu kawasan khas untuk burung-burung comel macam ni.
Sebagai burung nokturnal, nampak jelas jugak muka 'annoyed' burung-burung hantu kat sini bila kena kerumun.
Memang lain macam aura burung horn-bill lambang kemegahan negeri Sarawak ni.
Spesis kakak tua yang sangat jinak dan bijak.
Ni pun comel jugak. Serius, bulu dia lembut betul, kalah baldu!
Ni sebenarnya kolam flamingo. Tak nampak sebab kat bahagian hujung-hujung tu. Tapi burung botak upeh sibuk kat sini. Haha
Waktu makan!
Burung-burung jinak yang dibiarkan bebas ni tak agresif, paling-paling pun setakat mematuk dan menggigit dengan paruh yang sebenarnya tak mendatangkan bahaya. Jinak-jinak pun, bukan untuk dibelai-belai tau!

Kawasan 20.9 ekar yang menjadi rumah kepada 3 ribu burung daripada 200 spesis ni memang cukup luas. Kalau betul-betul mahu teroka memang makan paling kurang dua jam rasanya. Selain melihat burung-burung dengan lebih dekat, korang boleh saksikan pertunjukan burung-burung ni membuat tricks, bergambar dengan diorang, melihat kerumunan burung diberi makan dan banyak lagi. 

Burung-burung dari spesis yang agresif pula akan ditempatkan dalam sangkar contohnya macam spesis helang.

Sesuailah kalau bawak satu famili beriadah di sini! Kalau nak lari dari hiruk-pikuk bandar pun best. Lagi-lagi mendengar cicip-cicip burung yang boleh jadi terapi terbaik menghilangkan stres!

Alamat:
Kuala Lumpur Bird Park
920 Jalan Cenderawasih
Taman Tasik Perdana 50480
Kuala Lumpur.

Waktu Perkhidmatan:
Setiap Hari (termasuk Cuti Umum & Cuti Sekolah)
9 pagi hingga 6 petang

Harga Tiket:
Dewasa (dengan MyKad) : RM27
Kanak-Kanak 3-11 Tahun (dengan MyKid) : RM13
Dewasa (tanpa MyKad): RM50
Kanak-Kanak 3-11 Tahun (tanpa MyKid): RM41

Laman Web:

2. Restoran Rebung Dato Chef Ismail 
Antara makanan yang disediakan.
Nama chef selebriti, Dato' Chef Ismail memang tak asing lagi dalam seni masakan tempatan malah namanya turut disebut-sebut di peringkat antarabangsa. Maka, diberi peluang bertandang ke teratak istimewa Dato' Chef Ismail dengan rakan kerjasamanya, iaitu angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ni memang sukar dilepaskan!

Di restoran ni, saya dan rakan-rakan media dibawa untuk melihat dan merasai sendiri masakan Melayu yang diiktiraf antara yang terbaik di Malaysia. Manakan tidak, Dato' Chef Ismail memang terkenal dengan sifat yang penuh teliti dan berhati-hati dalam penghasilan satu-satu makanan! 

Setiap makanan dihasilkan dengan kualiti terbaik supaya rasa asal makanan dapat dikekalkan. Dalam erti kata lain, kami dapat merasai makanan dengan kenikmatan maksima!
Sebagai sebuah restoran masakan tempatan, dekorasinya juga dihias dengan cukup unsur keMelayuan.
Antara ruang makan yang terdapat di sini.
Ruang alfresco.
Lagi ruang alfresco.
Tertarik dengan keunikan lampu dengan motif abstrak ni.

Dengan harga buffet cuma RM40++ untuk makan tengah hari dan RM50++ untuk makan malam, memang sangat berbaloi sebenarnya apalagi dengan hasil air tokoh masakan yang disayangi ramai ni!

Alamat:
5-2, Aras 5, Parkir Bertingkat Bukit Aman,
No. 1, Jalan Tanglin,
Taman Botani Perdana,
50480 Kuala Lumpur.

No. Telefon:
03-2276 3535

Waktu Perkhidmatan:
Isnin - Ahad (7 pagi hingga 10 malam)

Laman Web:

Di sini jugalah program Eat Travel Write & Doodle dilancarkan oleh Timbalan Setiausaha Kementerian Pelancongan Malaysia, Datuk Rashidi Hasbullah

Uniknya lokasi ini dipilih adalah kerana perkataan 'rebung' itu sendiri merujuk pucuk buluh yang masih muda atau secara simboliknya bermaksud 'permulaan'. 
Selfie!

3. MUD: Our Story of Kuala Lumpur The Musical
Semua pelakon asal ada pada hari itu!
Salah satu cara terbaik untuk mengenali sejarah terbinanya ibu negara kita, Kuala Lumpur ni adalah dengan menonton teater muzikal ni. Dengan konsep yang cukup berwarna-warni lagi persembahan yang mantap, korang mesti akan terpegun sepanjang lebih kurang satu jam dipentaskan!

Di sepanjang penceritaan yang turut ditemani dengan props dan paparan visual yang cantik, korang akan turut dibawa menyelami hati tiga sahabat baik iaitu Mamat, Meng dan Muthiah. Malah, dengan konsep interaksi dengan penonton membolehkan korang turut sama menari dan menyanyi di atas pentas bahkan menjadi 'penyelamat' kepada tragedi kebakaran besar di Kuala Lumpur!

Sebenarnya, ini kali kedua saya menonton teater ni selepas program Eat Travel Doodle sebelum ni. Bertuahnya saya kali ini ialah keseluruhan tenaga pelakon asal ada di teater ini!
Saya dan rakan-rakan media lain termasuk media negara ASEAN, teruja bergambar dengan pelakon-pelakon.
Di sinilah Panggung Bandaraya KL, lambang kemegahan teater muzikal paling lama dipentaskan di Malaysia!

Alamat:
Panggung Bandaraya,
Jalan Raja, Dataran Merdeka,
50100 Kuala Lumpur,
Malaysia

Waktu Tayangan:
Setiap Hari
3 petang dan 8.30 malam

Harga Tiket:
 Bermula RM45

Laman Web:

4. Hotel Maya
Rupa bilik saya.
Lokasi penginapan kami sepanjang tiga hari dua malam untuk program ini ialah di hotel lima bintang, Hotel Maya. Hotel yang mengetengahkan 'boutique urban resort' ni terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur. 

Selain bilik yang banyak dan cukup selesa, ada juga kemudahan macam kolam renang, spa, studio gim dan restoran selain turut menawarkan lokasi untuk acara korporat. 

Ya, ya, saya tahu... Kalau korang Google nama Hotel Maya, akan keluar satu cadangan carian yang kurang enak dan mungkin boleh membuatkan korang terfikir dua kali. Sejauh mana kebenarannya, saya tak layak untuk pastikan tapi yang pasti, sepanjang satu malam (saya balik tengah malam hari kedua atas sebab ada kelas keesokannya), tidur saya dan rakan media dari Filipina sangat tenteram dan lena.
Ada bath tub! Ruang mandi dipisahkan dengan cermin lutsinar yang boleh terus nampak katil.
Jangan risau kata orang kerana di sebalik ura-ura tu semua, Hotel Maya masih boleh menjadi pilihan yang terbaik untuk merehatkan diri dengan kelas hospitaliti yang cukup tinggi!

 Alamat:
Hotel Maya Kuala Lumpur
138, Jalan Ampang,
50450 Kuala Lumpur, Malaysia
Nombor Telefon:
03-2711 8866
 Laman Web:

5. Kuala Lumpur Night Walk
Masjid Jamek antara yang menjadi perhatian.
Mungkin berjalan di tengah bandaraya Kuala Lumpur dah menjadi kebiasaan bagi sesetengah orang, apalagi bagi orang Kuala Lumpur sendiri. Tapi pernah tak terfikir untuk satu hari, berjalan malam di Kuala Lumpur sambil menghayati nilai dan sejarah dan membayangkan bagaimana kota metropolitan ni berpuluh atau beratus tahun yang lalu?

Kalau korang berminat mengetahui lebih mendalam tentang sejarah Kuala Lumpur dengan pemandu pelancong yang sangat berpengetahuan, Kuala Lumpur Night Walk ni sangat saya cadangkan. Apatah lagi, perkhidmatan daripad Biro Pelancongan Kuala Lumpur ni adalah 100% percuma!

Bermula dari Arch Café dekat Chinatown, korang akan dibawa melalui beberapa point seperti Dataran Medan Pasar, Masjid Jamek, Covered Street Bazaar, Pasar Malam, Coliseum Café & Cinema, Dataran Merdeka dan Panggung Bandaraya. Perjalanan ni akan tamat dalam anggaran masa 2 jam 30 minit.
Tekun semuanya mendengar penerangan daripada pemandu pelancong, Jane Rai.
Dataran Medan Pasar yang pernah menjadi pusat bandar dan pasar terbuka di Kuala Lumpur sekitar 1860-an.

Cempedak yang ranum!
Saya dan rakan-rakan media cuma berkesempatan berjalan sehingga ke Coliseum Café saja untuk makan malam. Tapi pengetahuan yang kami dapat sepanjang perjalanan cukup membuatkan kami, terutama media dari negara jiran berasa kagum!

Tambah-tambah di tangan Jane Rai, antara pemandu pelancong yang diiktiraf terbaik di Kuala Lumpur, memang maklumat yang diberikan serba lengkap!
Mana boleh lepaskan peluang bergambar dengan 'duta' Kuala Lumpur yang serba tahu ni! Jane Rai!
Sebenarnya, ada beberapa lagi laluan (trails) yang ditawarkan. Korang boleh mana-mana yang korang mahu. 
  1. Trail 1: Kuala Lumpur Heritage Trail
  2. Trail 2: Old KL & Nature Walk
  3. Trail 3: Jalan-Jalan at Kampong Bharu
  4. Trail 4: Kuala Lumpur Night Walk
Apa yang perlu dipakai dan dibawak? Pakaian yang selesa, kasut yang sesuai, topi, payung, botol air mineral, baju hujan dan kamera, semuanya bergantung mengikut keselesaan dan masa.

Nombor Telefon:
03-2698 0332

E-mel:
enquiries@kltourismbureau.com.my

Laman Web:

6. Coliseum Café
Coliseum Cafe masih mengekalkan dekorasi asal sejak dibina pada 1922.
Dibina sejak 1921, Coliseum Café suatu ketika dahulu menjadi kedai minum kopi pilihan penjajah British. Malah, di atas kafe ni jugak terdapat hotel dan di sebelahnya pula terdapat pawagam yang masih digunapakai sehingga sekarang.
Sup cendawan sebagai pembuka selera.
Chicken chop!
Pai ayam yang cukup rasa.
Pisang goreng dengan aiskrim, sedap!
Maka, tak hairanlah kafe ni hari ini menjadi antara tarikan yang cukup ikonik lagi bersejarah. Dengan hidangan ala Barat serta makanan tempatan, kafe berusia lebih 100 tahun ni masih mengekalkan ciri-ciri kolonial British. Strukturnya yang masih kukuh sangat jelas pengaruh British seawal pandangan pertama iaitu pada pintu masuknya yang diperbuat daripada kayu macam dalam filem-filem koboi.

Walaupun terdapat bar, kafe ini hanya menggunakan bahan masakan yang halal dan selamat dikunjungi baik pelancong Muslim mahupun bukan Muslim. 
Ruangan bar yang terdapat di sini.
Alamat:
Coliseum Cafe,
98-100 & 102
Jalan Tuanku Abdul Rahman
50100  Kuala Lumpur, Malaysia

Nombor Telefon:
03-2692 6270

Laman Web:

7. Rumah Terbalik Menara KL
KL Upsidedown House ni ialah yang pertama di Kuala Lumpur.
Seni lukisan terbalik memang sedang menjadi trend di galeri-galeri seluruh Malaysia ni. Tapi, dulu cuma satu sahaja yang betul-betul memiliki satu rumah terbalik iaitu di Tamparuli, Sabah. Saya pernah ke sini dua tahun lepas. Boleh baca KAT SINI.

Tapi sekarang, Kuala Lumpur sendiri dah ada rumah terbalik! Lokasi menarik ni terletak bersebelahan je dengan Menara Kuala Lumpur.

Rumah terbalik ni baru je dibuka 8 Jun lepas. Berbanding di Tamparuli yang tak boleh bergambar di dalamnya, Rumah Terbalik Menara KL pulak korang boleh bergambar dengan sepuas-puasnya!
Dengan rakan blogger dari Filipina, Cai. Seronok betul bergaya sakan di sini!
Bahagian loteng rumah.
Bahagian tandas yang agak bikin 'kontroversi' dengan props pakaian dalam. Haha.
Selain tu, bukan rumah dan perabot dalamnya je yang terbalik, bahkan ruang tamannya jugak. Memang banyak jugak tempat yang korang boleh bergambar. Kalau tak ada idea, ada ditampalkan rujukan bagaimana korang boleh bergaya.
Taman elf yang kecil-kecil je.
Di salah satu sudut bergambar.
Alamat:
KL Upside Down House,
Menara Kuala Lumpur
Jalan Puncak, 50250
Kuala Lumpur.

No. Telefon:
+6 03 5523 0840 atau +6 010 802 7547

Website:

8. Starbucks Ampang Drive-Thru
Satu lagi cawangan Starbucks Coffee yang cukup selesa dan menarik!
Kalau nak tau, Starbucks Ampang Drive-Thru waktu kami singgah ni baru enam hari dibuka. Tak sampai pun seminggu!

Apa yang boleh saya katakan, cawangan Starbucks terbaru ni memang sangat luas dan lebih selesa dengan gaya yang sangat santai dan sangatlah Instagrammable. Haha.
Ruangan dalamnya yang cukup luas dengan dekorasi minimal dan susun atur perabot yang vintaj.
Rak untuk mendapatkan cenderahati untuk dibawa pulang.
Salah satu ruangan yang terdapat di sini.
Tapi apa yang lagi best, saya jugak dapat pengalaman baru kat sini yang mana saya dan rakan media lain diberi peluang untuk mengikuti sesi Cafe Explorer yang mana dikendalikan oleh satu-satunya duta Starbucks Coffee iaitu Ayesha Dahalan.
Satu-satunya duta Starbucks Coffee, Ayesha Dahalan membantu kami untuk sesi 'Coffee Journey'.
Set pertama untuk food pairing iaitu Willow Blend dengan fruitcake, epal hijau, sandwich dan muffin.
Sesi kedua dengan kopi Sumatra dipadankan dengan kek marble cheese, honey waffle, chicken lemongrass pizza dan pai cendawan.
Melalui sesi ni, kami diberi pendedahan tentang merasai kopi (coffee testing) dan menyuai-padan makanan (food pairing) dengan kopi. Barulah tahu bagaimana kopi yang pahit tu boleh sebati dengan cukup sempurna dengan makanan-makanan yang disediakan!

9. Jalan-Jalan at Kampong Bharu
Salah satu pemandangan menakjubkan bagaimana sebuah kampung dilatari pemandangan sebuah kota metropolitan termasuk menara berkembar tertinggi dunia, Menara Berkembar Petronas.
Kalau malam tadi kami mengharungi Kuala Lumpur Night Walk, petang ni kami Jalan-Jalan at Kampong Bharu pulak.

Di laluan (trail) Kampong Bharu ni, kami memulakan perjalanan dari Kelab Sultan Sulaiman sebelum ke beberapa spot iaitu Rumah Tuan Mat (Rumah Melayu Tradisional), Galeri Kelab Sultan Suleiman, Malay Food Street, Masjid Jamek Kampong Bharu, Kedai Herba, Rumah Ibadat Kaum Sikh Gurdwara Tatt Khalsa, pasar petang Jalan Raja Alang dan berakhir di Rumah Limah.
Duit poket, baucer Starbucks dan brochure Kampung Bharu. Let's get our educational tour started!

Pemandu pelancong kami, Norazleeta yang turut menyelitkan pengetahuan berkaitan budaya masyarakat Melayu, kaum majoriti mendiami Kampung Bharu ni.
Rumah Master Mat, bekas guru besar sebuah sekolah Inggeris yang kekal bertahan sehinggga sejak 1921.
Gurdwara Tatt Khalsa yang menjadi rumah ibadah bagi Kaum Sikh yang merupakan kuil kaum Sikh terbesar di Asia Tenggara.
Masjid Jamek Kampung Bharu yang telah menjadi pusat komuniti lebih 100 tahun, cukup simbolik dengan pengedaran bubur lambuk Kampung Bharu. Bangunannya dipengaruhi seni bentuk Mughal dan Melayu.
Putu bambu, antara kuih tradisional yang merupakan favourite saya.
Pelancong jugak akan dibawa melepasi pasar basah dan di gambar atas ni ialah siput sedut. Buat masak lemak sedap nih!

Melalui laluan ni jugak, pemandu melancong memberikan kami pengetahuan yang cukup padat bukan setakat pada sejarah kawasan-kawasan yang terlibat, bahkan melalui budaya masyarakat di sekitar Kampong Bharu.

10. Citrawarna 2016
Antara persembahan yang cukup memukau!
Inilah highlight utama program Eat Travel Write & Doodle ni!

Sebagai acara pelancongan terbesar di Malaysia, Citrawarna sememangnya acara tahunan yang sentiasa dinantikan. Di sinilah korang akan menyaksikan satu festival seni dan kebudayaan yang berskala mega di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur!

Memang menjadi impian jugak sebenarnya mahu menyaksikan sendiri kemeriahan Citrawarna 2016. Iyalah, selama ni sekadar menonton di televisyen je kan. Tapi dengan peluang daripada Tourism Malaysia dan Gaya Travel Magazine, dapatlah merasa di kerusi media, sangat dekat dengan pentas VIP.

Tema kali ini ialah Mitos dan Dongeng Rakyat yang mana setiap negeri akan mempamerkan keunikan mereka melalui penceritaan kisah legenda yang menjadi sebutan. Contohnya, Perlis dengan mitos Jentayu, Melaka dengan kisah Hang Tuah, Johor dengan Puteri Gunung Ledang, Sarawak dengan dengan kisah Tugau, Pahang dengan kisah Naga Tasik Chini dan banyak lagi!

Dengan kesan visual, sistem audio, seni lakonan dan tarian serta kostum yang hampir sempurna, memang tak syak yang Citrawarna 2016 memang terbaik. Malah saya sendiri banyak mendengar komen positif daripada kawan-kawan media ASEAN.

Ya, memang Citrawarna 2016 terbaik tapi... (BACA LANJUT TENTANG CITRAWARNA 2016 KAT SINI)
Selain tarian, sketsa ringkas berkaitan mitos dan legenda turut diselitkan.
Dengan dua puteri dalam mitos Melayu yang cantik... kostum diorang. Haha
Itulah serba sedikit aktiviti yang saya dan kawan-kawan media ASEAN lakukan. Memang cukup happening sebenarnya berkumpul dengan kawan-kawan blogger khususnya yang banyak meluahkan pendapat dan bertukar pandangan.

Entri ini terlaksana dengan kerjasama Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dengan rakan strategiknya, Gaya Travel Magazine. Terima kasih!

RELATED POSTS

0 komen

Tinggalkan komen di sini.